Kenapa Kadar Pengangguran Thailand Lagi Rendah Dari Malaysia?

Share it

Pada pandangan pertama, angka rasmi menunjukkan jurang yang ketara. Thailand secara konsisten merekodkan kadar pengangguran sekitar atau di bawah 1% dalam tempoh pra-pandemik dan selepas pemulihan ekonomi.

Malaysia pula lazimnya mencatat kadar antara 3% hingga 4% dalam keadaan ekonomi normal, dengan lonjakan ketara ketika krisis seperti pandemik Covid-19.

Namun angka ini, walaupun tepat dari sudut statistik rasmi, tidak semestinya menggambarkan perbezaan kecekapan ekonomi.

Ia lebih banyak menceritakan tentang struktur pasaran buruh, komposisi sektor pekerjaan dan ciri demografi kedua-dua negara.

Statistik Yang Sama, Struktur Yang Berbeza

Kedua-dua negara menggunakan takrif pengangguran yang selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), seseorang dianggap bekerja jika melakukan sekurang-kurangnya satu jam kerja dalam minggu rujukan.

Perbezaannya terletak pada struktur ekonomi.

Thailand mempunyai sektor tidak formal yang besar. Sebahagian besar tenaga kerjanya bekerja sebagai penjaja, petani kecil, pekerja keluarga tanpa gaji tetap atau bekerja sendiri dalam perniagaan mikro.

Menurut Thailand Informal Employment Survey 2024, lebih 52.7% daripada jumlah pekerja di Thailand adalah pekerja dalam sektor tidak formal, iaitu sekitar 21.1 juta orang daripada keseluruhan tenaga kerja yang dianggarkan 40.1 juta.

Individu dalam kategori ini tetap dikira sebagai bekerja, walaupun pendapatan tidak menentu dan bilangan jam bekerja tidak penuh.

Malaysia pula mempunyai struktur pekerjaan yang lebih formal dan berasaskan gaji tetap, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan moden.

Pekerja informal Malaysia pada tahun 2023 mencecah seramai 3.45 juta orang, merangkumi 21.8% daripada jumlah guna tenaga negara. Apabila berlaku kehilangan pekerjaan dalam sektor formal, individu tersebut lebih jelas direkodkan sebagai penganggur.

Angka pengangguran Thailand yang rendah, sebahagiannya mencerminkan kapasiti ekonomi tidak formal untuk “menyerap” tenaga kerja dengan cepat walaupun dalam bentuk pekerjaan berproduktiviti rendah.

Jaringan Keselamatan Sosial

Malaysia mempunyai sistem perlindungan sosial yang lebih meluas dalam sektor formal, termasuk skim insurans pekerjaan (PERKESO).

Ini memberi ruang kepada pekerja untuk mencari pekerjaan yang setara selepas diberhentikan, sekali gus meningkatkan tempoh mereka diklasifikasikan sebagai penganggur.

Di Thailand, perlindungan sosial untuk sektor tidak formal adalah lebih terhad. Dalam ketiadaan sokongan pendapatan yang kukuh, individu cenderung segera beralih kepada sebarang bentuk pekerjaan untuk kelangsungan hidup.

Secara statistik, ini mengekalkan kadar pengangguran pada paras rendah.

Namun kadar pengangguran yang rendah tidak bermaksud ketiadaan masalah pasaran buruh.

Isu seperti pekerjaan yang setara dengan kelayakan pendidikan tidak mencukupi (underemployment) dan produktiviti rendah sering menjadi perbahasan dalam konteks Thailand.

Faktor Demografi

Demografi turut memainkan peranan. Thailand sedang berdepan penuaan penduduk yang lebih cepat berbanding Malaysia.

Kira-kira 40% rakyat Thailand berusia lebih 65 tahun masih bekerja, dan hanya 4% warga emas mempunyai pencen.

Kadar kelahiran yang rendah turut mengehadkan pertambahan tenaga kerja baru dan mengurangkan tekanan terhadap pasaran pekerjaan.

Malaysia pula mempunyai struktur penduduk yang lebih muda dan pertumbuhan tenaga kerja yang lebih dinamik.

Setiap tahun, kemasukan graduan dan belia ke dalam pasaran kerja memerlukan penciptaan pekerjaan baharu yang konsisten untuk mengekalkan kadar pengangguran rendah.

Cabaran yang Masih Wujud

Kadar pengangguran yang rendah tidak semestinya bermaksud ekonomi sesebuah negara berada dalam keadaan baik.

Jika kebanyakan orang bekerja dalam pekerjaan yang gajinya rendah, tidak stabil dan tiada perlindungan sosial, itu menunjukkan masih banyak masalah dalam pasaran buruh.

Di banyak negara Asia Pasifik, sistem perlindungan sosial masih lemah dan tidak menyediakan insurans pengangguran.

Ini bermaksud ramai orang tidak mampu untuk tidak bekerja walaupun kehilangan pekerjaan.

Apabila mereka diberhentikan, mereka terpaksa segera menerima apa sahaja pekerjaan yang ada.

Selalunya pekerjaan tersebut berada dalam sektor tidak formal.

Pekerjaan seperti ini biasanya menawarkan pendapatan yang rendah dan tidak menentu, tiada caruman keselamatan sosial, dan pekerja juga tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan hak atau berunding mengenai keadaan kerja mereka.