Menakrif Semula Erti Kebebasan Kewangan: Jaminan Kestabilan untuk Rakyat

Share it
Penulis: Nurlin Mohd Salleh, Managing Director and Partner, and Head of BCG Malaysia

Kebebasan kewangan muncul di tangga teratas sebagai impian paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, sejauh manakah kita benar-benar memahami maksud di sebalik konsep ini?

Untuk menjawab persoalan ini, Boston Consulting Group telah menjalankan kajian MY Impian melibatkan 1,501 rakyat Malaysia bagi mengenal pasti lima impian utama daripada enam belas pilihan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Dapatan menunjukkan keinginan untuk mencapai kebebasan kewangan menduduki tempat pertama merentas faktor umur, tahap pendapatan, dan kumpulan etnik. Pencapaian ini mengatasi aspirasi lain seperti kejayaan kerjaya, pemilikan rumah, mahupun gaya hidup.

Walau bagaimanapun, erti sebenar kebebasan kewangan sering disalah tafsir. Dalam soalan susulan yang meneliti pemahaman responden, penekanan diberikan bukan kepada kemewahan atau persaraan awal. Sebaliknya, pilihan ini berkait rapat dengan kestabilan kewangan seperti kemampuan menampung keperluan asas, mengurus perbelanjaan kecemasan, dan merancang masa depan tanpa kebimbangan kewangan yang berterusan. Kesimpulannya, kebebasan tersebut bukanlah tentang memiliki kekayaan, tetapi tentang kurangnya kebimbangan terhadap kewangan.

Laporan MY Impian boleh diakses di [sini]

Kefahaman ini penting bagi menjelaskan kedudukan kebebasan kewangan yang setara dengan kesihatan sebagai keutamaan negara. Kedua-duanya mencerminkan keperluan terhadap keterjaminan tatkala ketidaktentuan kos hidup melanda dan jaringan perlindungan kewangan kian menipis.

Cabaran memenuhi keperluan kewangan di semua peringkat pendapatan

Tinjauan ini turut menilai persepsi responden terhadap kesan komitmen bulanan ke atas keupayaan menabung bagi mengukur sejauh mana rakyat Malaysia hampir mencapai impian tersebut. Dapatan menunjukkan bahawa tekanan kewangan tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah. Walaupun kadar persetujuan paling tinggi adalah daripada responden kumpulan isi rumah berpendapatan rendah, tekanan ini kekal ketara dalam kalangan kumpulan pertengahan dan tinggi.

Malahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih berada, enam daripada sepuluh responden bersetuju bahawa komitmen bulanan tetap menghalang keupayaan untuk menyimpan. Bagi isi rumah berpendapatan sederhana yang perlu mengimbangi ansuran perumahan, penjagaan anak, pengangkutan, dan pendidikan, tekanan ini dirasai dengan paling kuat.

Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa kekangan untuk menabung bukanlah akibat kemewahan, sebaliknya belanjawan yang terbeban demi keperluan asas. Oleh itu, bagi kebanyakan isi rumah, kemampuan untuk menabung hanya wujud sekiranya terdapat lebihan perbelanjaan pada penghujung bulan.

Persepsi ini diperkukuh oleh corak penggunaan kredit. Responden menilai kenyataan bahawa sebahagian besar pinjaman mereka digunakan untuk keperluan asas seperti perumahan, pekerjaan, pengangkutan, pendidikan, dan perubatan, bukannya untuk pembelian berasaskan gaya hidup. Tahap persetujuan yang tinggi ini merangkumi semua kumpulan pendapatan, termasuk golongan berada.

Hal ini mencabar tanggapan umum bahawa hutang isi rumah didorong oleh perbelanjaan bukan keperluan. Bagi rakyat Malaysia, pinjaman telah menjadi mekanisme untuk menampung kos kelangsungan hidup seharian.

Tekanan kos yang dialami isi rumah melebihi angka rasmi inflasi 

Bagi memahami mengapa tekanan ini dirasakan secara berterusan, tinjauan turut menilai persepsi responden terhadap perubahan harga sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya bagi keperluan harian. Majoriti menyatakan kos barangan asas, terutamanya makanan, perbelanjaan berkaitan perumahan, dan utiliti telah melonjak.  Malah, skala kenaikan yang dialami adalah lebih tinggi berbanding ukuran rasmi inflasi.

Walaupun data rasmi inflasi menyediakan penanda aras penting dalam mengukur tekanan kos sara hidup, pengalaman sebenar masyarakat yang membentuk tingkah laku. Apabila isi rumah percaya bahawa kenaikan barangan asas semakin mahal, mereka bertindak secara rasional untuk mengukuhkan kewangan dengan menangguhkan simpanan, mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan, dan komitmen jangka panjang.

Persepsi ini menjelaskan mengapa kebebasan kewangan terasa sukar dicapai walaupun pendapatan meningkat. Jika kenaikan pendapatan digunakan sepenuhnya untuk kos tetap yang lebih tinggi, pengukuhan kewangan tidak lagi dirasai sebagai satu kemajuan.

Perkara ini juga menerangkan perkaitan rapat antara kebimbangan kewangan dengan matlamat hidup lain. Apabila kedudukan kewangan tidak stabil, risiko kesihatan akan terasa lebih mengancam, dan perancangan jangka panjang untuk pendidikan, perumahan, atau persaraan akan menjadi semakin sukar.

Keyakinan tipis terhadap persaraan mendedahkan jurang struktur

Isu keselamatan kewangan menjadi lebih ketara apabila menyentuh soal masa hadapan. Hanya pemilik perniagaan dan mereka yang bekerja tetap menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap kecukupan simpanan persaraan termasuk simpanan dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

Sebaliknya, pekerja bebas dan individu yang bekerja sendiri mencatatkan keyakinan terendah terhadap kecukupan simpanan persaraan. Walaupun golongan tanpa pendapatan semasa seperti pelajar, penganggur, dan suri rumah turut menunjukkan kebimbangan serupa, cabaran bagi pekerja bebas dan individu yang bekerja sendiri lebih bersifat struktur, bukannya sementara. Faktor seperti pendapatan tidak tetap, caruman tidak konsisten, dan ketiadaan mekanisme simpanan automatik menyebabkan golongan ini khuatir sekiranya simpanan mereka tidak mencukupi untuk hari tua.

Dalam pasaran buruh yang sedang mengalami transformasi dengan pekerjaan menjadi lebih fleksibel dan fragmentasi, keselamatan persaraan kini tidak lagi tertumpu pada perancangan individu semata-mata, akan tetapi ditentukan oleh reka bentuk sistem. Apabila simpanan bergantung sepenuhnya kepada disiplin diri yang berterusan, jurang akan semakin melebar, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pendapatan tidak konsisten setiap bulan.

Implikasi terhadap perniagaan dan dasar awam

Dapatan MY Impian menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap aspirasi kewangan rakyat Malaysia memerlukan anjakan daripada sekadar retorik kepada pelaksanaan inisiatif berimpak untuk memudahkan pencapaian kestabilan kewangan.

Bagi pembuat dasar, keutamaan harus diberikan kepada usaha untuk mengurangkan kerumitan dan ketaktentuan. Galakan untuk menabung adalah penting, namun amalan ini hanya berkesan apabila aliran tunai adalah tekal dan pilihan kewangan mudah difahami oleh rakyat.

Piawaian pendedahan maklumat yang jelas bagi produk kewangan serta insurans mampu merapatkan jurang keyakinan yang didedahkan oleh tinjauan ini. Langkah-langkah ini menyokong pembinaan dana kecemasan seperti caruman padanan atau mekanisme automatik yang membantu isi rumah membina penampan kewangan tanpa memerlukan pemantauan yang berterusan.

Secara khususnya, aspek kecukupan persaraan memerlukan perhatian segera seiring dengan evolusi corak pekerjaan. Apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada pekerjaan kontrak atau bebas, sistem simpanan yang dibina berasaskan gaji bulanan tetap akan meninggalkan jurang perlindungan.

Pelaksanaan mekanisme simpanan mudah alih dan automatik yang mengikuti pekerja merentasi setiap peralihan kerjaya serta memerlukan pengurusan aktif yang minimum adalah lebih penting berbanding kempen pendidikan semata-mata.

Langkah strategik ini perlu diperkukuh dengan memudahkan pekerja memahami pelbagai skim yang disertai seperti insurans kesihatan, unit amanah, simpanan Umrah/Haji, dan anuiti bagi membolehkan mereka mengagih semula dana atau menetapkan keutamaan berdasarkan pertimbangan risiko serta manfaatnya.

Majikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk keselamatan kewangan pekerja daripada yang kita sering sedari. Penjadualan kerja yang boleh dijangka, struktur gaji yang telus, dan pengurangan perubahan saat akhir memastikan belanjawan isi rumah mudah dirancang.

Pekerja bergaji mengikut jam atau kontrak berdepan ketaktentuan pendapatan yang menjadi halangan utama untuk menabung, malah faktor ini lebih signifikan berbanding isu tahap pendapatan. Justeru, majikan dan platform yang menyediakan saluran simpanan automatik walaupun secara sederhana berpotensi untuk meningkatkan pengekalan serta keterlibatan pekerja.

Untuk institusi kewangan pula, peluang sebenar terletak pada reka bentuk produk yang mengambil kira cara masyarakat menguruskan kewangan secara praktikal iaitu dalam kitaran bulanan, bukannya purata tahunan. Produk yang membantu isi rumah mengurus kejutan jangka pendek, mengurangkan perbelanjaan, dan memahami risiko dengan jelas akan lebih selari dengan aspirasi kebebasan kewangan bagi rakyat Malaysia. Kepercayaan pengguna bukan lagi bersandarkan pada pulangan tertinggi, sebaliknya pada tawaran yang paling jelas dan boleh dijangka.

Penulis ingin merakamkan penghargaan kepada Amir Khaled (Associate, Boston Consulting Group) atas perkongsian pendapat beliau bagi artikel ini.