Ringgit Mengukuh, Malaysia Bakal Jadi Negara Berpendapatan Tinggi

Share it

Pada tahun 2010, Malaysia melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dipelopori oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU). Salah satu objektif utama ETP adalah untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Ketika diumumkan, Pendapatan Negara Kasar atau GNI per kapita Malaysia berada pada paras $6,700. Malaysia menyasarkan untuk mencapai GNI per kapita $15,000 menjelang 2020, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi tahunan sekitar 6%.

GNI merujuk kepada jumlah pendapatan yang diterima oleh rakyat sesebuah negara dalam tempoh setahun, termasuk pendapatan dari dalam dan luar negara.

Tukaran mata wang ringgit ketika itu sekitar RM3.20 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS). Pada Mei 2011, Ringgit pernah mengukuh sehingga mencecah RM2.96 bagi setiap dolar AS.

Namun menjelang pertengahan April 2014, mata wang Ringgit mula menyusut. Ringgit didagangkan pada kadar sekitar RM3.50 pada penghujung 2014 sebelum terus menjunam kepada RM4.30 pada penghujung 2015.

Cita-cita untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi pada ketika itu akhirnya tidak kesampaian.

Pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2020 yang menyebabkan ekonomi merudum. GNI per kapita Malaysia pada tahun itu hanyalah sekitar $10,664, lebih rendah berbanding had negara berpendapatan tinggi sebanyak $12,535.

Kini, Malaysia kembali berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.2% pada tahun 2025, jauh lebih tinggi berbanding unjuran awal 4.0%-4.8% yang diumumkan sebelum ini.

Ringgit turut menunjukkan pengukuhan yang memberangsangkan, dengan kadar tukaran semasa sekitar RM3.90 bagi setiap dolar AS.

Pada tahun 2025, GNI per kapita Malaysia dianggarkan berjumlah RM57,070, bersamaan kira kira $12,731. Had minimum untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada ketika itu dianggarkan sekitar $13,935 .

Pada tahun ini, GNI per kapita Malaysia diunjurkan meningkat kepada RM59,162.

Pada kadar tukaran semasa, angka ini boleh mencecah sekitar $15,160, melepasi julat $14,500 hingga $14,800 yang dijangka menjadi had baharu negara berpendapatan tinggi, yang disemak semula setiap tahun oleh Bank Dunia.

Bank Dunia mengukur GNI per kapita sesebuah negara menggunakan Atlas method, iaitu purata tahun semasa dan dua tahun sebelumnya.

Meskipun Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian ini di atas kertas, sebilangan pihak termasuk ahli ekonomi masih skeptikal tentang makna status negara berpendapatan tinggi.

Apakah status ini benar-benar mencerminkan peningkatan taraf hidup kebanyakan warganya?