Konflik Iran–Israel: Impak terhadap Harga Minyak, Subsidi BUDI95 dan Ekonomi Malaysia

Share it

Ketegangan geopolitik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat semakin meningkat sejak beberapa siri serangan terhadap fasiliti ketenteraan dan nuklear Iran.

Walaupun konflik ini berlaku jauh dari Asia Tenggara, kesannya dirasai di seluruh dunia kerana Timur Tengah merupakan kawasan penting dalam bekalan tenaga global.

Bagi Malaysia, impaknya mungkin tidak berlaku secara langsung, tetapi ia boleh mempengaruhi ekonomi negara melalui kenaikan harga minyak, kos logistik global serta perubahan sentimen pasaran.

Risiko kepada laluan tenaga global

Salah satu kebimbangan utama pasaran global ialah keselamatan Selat Hormuz, laluan laut yang sangat penting kepada perdagangan tenaga dunia.

Laluan ini mengendalikan kira-kira 20% daripada perdagangan minyak mentah global serta sebahagian besar eksport gas asli cecair (LNG).

Sebarang gangguan di laluan ini boleh menyebabkan bekalan tenaga global terjejas dan harga minyak meningkat dengan cepat.

Oleh sebab itu, setiap kali peningkatan ketegangan di Timur Tengah, ianya akan memberikan kesan langsung kepada pasaran global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa kerajaan masih mampu mengekalkan harga petrol bersubsidi di bawah mekanisme BUDI95 buat masa ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu hingga dua bulan, walaupun harga minyak global meningkat akibat konflik geopolitik.

Harga minyak: manfaat dan cabaran

Kenaikan harga minyak memberi kesan yang bercampur kepada Malaysia. Sebagai negara pengeluar minyak dan gas, Malaysia boleh memperoleh manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi melalui peningkatan hasil petroleum serta dividen daripada syarikat tenaga seperti Petronas.

Sejarah menunjukkan bahawa ketika harga minyak melonjak pada 2008, hasil petroleum Malaysia mencecah sekitar RM63.7 bilion, iaitu 39.9% daripada jumlah hasil kerajaan.

Ketegangan di Timur Tengah baru-baru ini menyebabkan harga minyak melonjak hampir AS$120 setong, dengan minyak Brent meningkat sehingga sekitar AS$119.50 setong, susulan pengurangan pengeluaran oleh beberapa negara pengeluar serta gangguan laluan penghantaran minyak di Selat Hormuz.

Harga minyak mentah Brent kini mereda kepada sekitar AS$90 setong, setelah negara G7 dikatakan dalam perancangan untuk mengeluarkan 300 juta tong rizab minyak bagi menstabilkan harga minyak global.

Jika harga minyak mentah kekal melebihi AS$100 setong, keuntungan Petronas berpotensi meningkat dengan ketara kerana prestasi syarikat ini sangat bergantung kepada harga minyak global.

Sebagai perbandingan, ketika harga minyak purata hampir AS$100 setong pada 2022, PETRONAS mencatat keuntungan bersih sekitar RM101.6 bilion, rekod tertinggi dalam sejarah.

Keadaan ini secara langsung akan meningkatkan dividen yang diterima dari PETRONAS oleh kerajaan Malaysia.

Namun begitu, kenaikan harga minyak juga boleh meningkatkan perbelanjaan kerajaan jika Malaysia masih mengekalkan subsidi petrol RON95 bagi mengawal kos sara hidup rakyat.

Menurut analisis BIMB Securities Research, sekiranya harga minyak Brent meningkat kepada sekitar AS$80 setong, kos subsidi petrol RON95 dianggarkan boleh mencecah kira-kira RM18.9 bilion.

Sebagai perbandingan, pada September 2025, kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion di bawah inisiatif subsidi bahan api BUDI95 untuk menampung perbezaan antara harga petrol bersubsidi RM1.99 seliter dan harga tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.

Ini menunjukkan bahawa jika harga minyak dunia terus meningkat, kos subsidi kerajaan berpotensi meningkat dengan ketara, iaitu hampir RM8 bilion lebih tinggi berbanding peruntukan semasa.

Jika harga minyak Brent menghampiri AS$100 setong, kerajaan mungkin perlu menilai semula mekanisme harga atau had subsidi di bawah sistem BUDI95 bagi mengawal perbelanjaan kerajaan.

Langkah sedemikian berpotensi membantu mengurangkan perbelanjaan subsidi, namun ia juga boleh memberi sedikit tekanan kepada inflasi dan kos sara hidup.

Kesan kepada sektor ekonomi

Menurut Goldman Sachs, peningkatan harga minyak mentah Brent dari AS$70 kepada AS$85 setong bakal memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, Singapura dijangka paling terkesan, dengan pertumbuhan akan terjejas sehingga 160 mata asas (1.6%). Pertumbuhan Malaysia pula dijangka terkesan sekitar 40 mata asas (0.4%) jika keadaan ini berlaku.

Sektor minyak dan gas dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan harga tenaga kerana syarikat huluan memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada pengeluaran minyak.

Saham Hibiscus umpamanya telah meningkat 32% dari RM1.60 sesaham pada sebelum krisis kepada RM2.11 sesaham. Manakala saham Dialog Group pula melonjak 12% dari RM1.76 sesaham kepada RM1.97 sesaham.

Walau bagaimanapun, sektor pengangkutan berpotensi menghadapi tekanan kos kerana bahan api merupakan komponen utama dalam operasi syarikat penerbangan, perkapalan dan logistik.

Tanpa perlindungan harga bahan api, kenaikan harga minyak boleh mengurangkan margin keuntungan syarikat dalam sektor ini.

Dalam sektor perladangan, kenaikan harga minyak global boleh memberi kesan positif kepada harga minyak sawit mentah (CPO) kerana hubungan antara harga minyak dan permintaan biodiesel.

Apabila harga minyak meningkat, permintaan terhadap bahan api alternatif seperti biodiesel juga cenderung meningkat, sekali gus menyokong harga komoditi pertanian seperti minyak sawit.