Lebih Separuh Rokok Yang Dijual Di Malaysia Adalah Rokok Haram – Mengapa Ia Terus Berleluasa?

Share it

Rokok bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat Malaysia. 

Hampir satu daripada lima orang dewasa di negara ini merupakan perokok, bersamaan dengan 4.8 juta orang. Dalam kalangan lelaki dewasa pula, kadar perokok tembakau mencecah 36.2%. 

Namun, di sebalik tabiat yang memudaratkan kesihatan ini, wujud satu lagi masalah yang semakin membimbangkan, iaitu kewujudan rokok haram yang berleluasa dalam pasaran tempatan. 

Rokok haram merujuk kepada rokok yang diseludup, diedar dan dijual tanpa membayar cukai dan duti kepada kerajaan, termasuk produk tembakau yang tidak mengandungi amaran bahaya kesihatan. 

Sarawak Catat Kadar Penggunaan Rokok Haram Tertinggi Di Malaysia, Pada Kadar 78.3%

Berdasarkan laporan Illicit Cigarette Study (ICS) in Malaysia 2025 oleh NielsenIQ, rokok haram merangkumi 54.5% daripada keseluruhan pasaran rokok di Malaysia. Ini bermakna lebih separuh daripada rokok yang dijual di negara ini datang daripada pasaran tidak sah. 

Sarawak mencatatkan kadar penggunaan rokok haram tertinggi, iaitu 78.3%, diikuti Pahang (77.8%) dan Sabah (77.2%). 

Mengapa Rokok Haram Terus Berleluasa? 

Harga merupakan antara faktor utama yang mendorong permintaan tinggi terhadap rokok haram. 

Secara umumnya, harga rokok sah di Malaysia bermula sekitar RM12 hingga RM19 sekotak. Sebaliknya, rokok haram boleh diperoleh pada harga serendah RM6 hingga RM10 sekotak. 

Perbezaan harga yang ketara ini menjadikan rokok haram jauh lebih menarik kepada pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. 

Dari sudut penawaran, kegiatan menjual rokok haram turut menawarkan pulangan yang lumayan kepada peruncit dan pembekal. 

Menurut laporan Making the Complex Compelling: An Illicit Cigarette Study oleh Cent-GPS, peruncit dan pembekal rokok haram mengenakan tokokan (mark-up) harga dari 100% hingga 233%, dengan keuntungan sekitar RM3 hingga RM7 bagi setiap kotak. 

Berbeza dengan rokok sah, margin yang diperoleh peruncit hanyalah sekitar 5% hingga 9%. 

Insentif ini membantu menjelaskan mengapa rokok haram terus dijual secara meluas, termasuk di kedai runcit kecil yang sering dikenali sebagai ‘kedai Aceh’. 

Bagi sesetengah peruncit, rokok juga berfungsi sebagai produk penarik pelanggan. Walaupun tidak semestinya dijual pada harga rugi seperti strategi loss leader yang digunakan pasar raya besar, penjualan rokok mampu menarik pelanggan untuk berkunjung dan seterusnya membeli barangan lain. 

Gabungan harga yang rendah kepada pengguna dan keuntungan yang tinggi kepada penjual menyebabkan rokok haram terus menjadi pilihan ramai. 

Dari Mana Datangnya Bekalan Rokok Haram? 

Menurut kajian lain, sebahagian bekalan rokok haram berasal dari kilang di luar negara, khususnya Indonesia. Laporan berita sebelum ini turut mengenal pasti Thailand, negara di Timur Tengah dan Filipina sebagai antara lokasi pengeluaran rokok berkenaan. 

Rokok ini lazimnya dibawa masuk melalui pelabuhan, termasuk dengan menggunakan pengisytiharan palsu bagi menyembunyikan kandungan sebenar kontena. 

Setelah memasuki pasaran tempatan, rokok haram diedarkan melalui pelbagai saluran. 

Selain kedai runcit seperti kedai Aceh, penjualannya turut berlaku melalui platform komunikasi seperti Telegram. 

Rokok haram juga mudah didapati di kawasan tertentu, termasuk tapak pembinaan dan zon perindustrian yang mempunyai ramai pekerja asing. 

Saluran pengedaran yang komprehensif ini membolehkan rokok haram diedarkan dengan mudah untuk sampai ke bibir pengguna. 

Adakah Polisi Menyumbang Kepada Masalah Ini? 

Kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa komited dalam mengurangkan penggunaan tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia. Salah satu langkah yang dibuat adalah dengan meningkatkan kadar cukai terhadap produk tembakau. 

Secara amnya, kenaikan cukai rokok bertujuan meningkatkan harga akhir produk tembakau, dengan harapan ia dapat mengurangkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat. 

Namun, dasar ini turut mempunyai implikasi ekonomi yang tersendiri. 

Apabila harga rokok sah meningkat, jurang harga antara rokok sah dengan rokok haram menjadi semakin besar. Bagi pengguna yang sensitif terhadap harga, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah, keadaan ini boleh mendorong mereka beralih kepada rokok haram yang jauh lebih murah. 

Dalam kata lain, dasar yang bertujuan mengurangkan penggunaan tembakau berpotensi menggalakkan peralihan kepada pasaran tidak sah sekiranya tidak disertai dengan penguatkuasaan yang berkesan. 

Ini tidak bermakna cukai rokok yang tinggi merupakan dasar yang salah. Sebaliknya, keberkesanannya perlu dinilai bersama keupayaan sesebuah negara untuk mengawal penyeludupan dan penjualan rokok haram. 

Beberapa negara seperti Singapura, Australia dan New Zealand mempunyai harga rokok yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. 

Negara Luar Boleh Menetapkan Harga Rokok Pada Kadar Yang Tinggi Memandangkan Ia Tidak Dibelenggu Masalah Rasuah Yang Boleh Menyumbang Kepada Isu Rokok Haram.

Di Singapura, harga rokok boleh mencecah S$18 atau sekitar RM57 sekotak. Di Australia dan New Zealand pula, harganya masing-masing sekitar A$39 (RM108) dan NZ$30 (RM88) sekotak. 

Pendekatan ini dianggap berkesan, antara lain kerana disokong oleh penguatkuasaan yang ketat serta faktor geografi negara berkenaan. 

Singapura, Australia dan New Zealand juga antara negara dengan skor tertinggi dalam Indeks Perspesi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International. 

Namun, pendekatan yang sama tidak semestinya menghasilkan kesan serupa di Malaysia. 

Dalam keadaan rokok haram sudah menguasai lebih separuh pasaran tempatan, kenaikan harga rokok sah tanpa penguatkuasaan yang ketat berisiko meningkatkan lagi penggunaan rokok haram.

Mengapa Rokok Haram Memberi Kesan Besar Kepada Negara? 

Dari sudut pengguna, rokok haram mungkin dilihat sebagai pilihan yang lebih menjimatkan. 

Namun, penjimatan kepada pengguna tidak semestinya membawa manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan. 

Kegiatan penyeludupan rokok mempunyai implikasi yang lebih luas, khususnya terhadap hasil kerajaan, kegiatan jenayah terancang dan industri tembakau yang beroperasi secara sah yang menggajikan pekerja tempatan. 

Sindiket penyeludupan rokok juga kebiasaannya tidak bergerak secara bersendirian. Di Malaysia, terdapat kaitan antara kegiatan penyeludupan rokok dengan rangkaian jenayah lain, termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah. 

Ini menjadikan isu rokok haram bukan sekadar masalah lari cukai, tetapi turut melibatkan isu keselamatan terhadap orang ramai. 

Dari sudut fiskal pula, penjualan rokok haram menyebabkan kerajaan kehilangan hasil cukai yang sepatutnya dikutip daripada pasaran rokok sah. 

Menurut Consumer Choice Center dan sumber serta laporan lain, kehilangan hasil cukai akibat rokok haram di Malaysia dianggarkan antara RM3.2 bilion hingga RM11.5 bilion setahun. 

Masalah Yang Memerlukan Penyelesaian Menyeluruh 

Isu rokok haram di Malaysia tidak boleh diselesaikan melalui dasar percukaian atau operasi penguatkuasaan semata-mata. 

Ia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira tiga pertimbangan utama, iaitu kesihatan awam, kedudukan fiskal kerajaan dan realiti ekonomi setempat. 

Dari sudut kesihatan awam, usaha mengurangkan penggunaan tembakau kekal penting dan perlu diteruskan. Namun, dasar yang tidak menyeluruh ini terutama yang dipacu oleh jurang harga yang besar antara rokok sah dengan rokok haram serta penguatkuasaan yang lemah, telah menyalurkan pengguna untuk beralih kepada rokok seludup.  

Akibatnya, ini bukan sahaja menghasilkan keputusan yang bercanggah dengan hasrat asal iaitu mengurangkan jumlah perokok, lebih malang lagi, kini perokok beralih kepada produk yang tidak dikawal selia dan hasil kutipan cukai kini telah berpindah dari kerajaan kepada sindiket pasaran gelap. 

Tanpa pendekatan yang lebih menyeluruh, niat murni untuk mengurangkan penggunaan rokok seperti menaikkan kadar cukai berisiko menghasilkan kesan yang tidak diingini apabila pengguna sekadar beralih daripada rokok sah kepada rokok haram. 

Selagi isu penyeludupan dan kelemahan penguatkuasaan tidak dapat diuruskan, langkah seperti ini akan terus mewujudkan insentif untuk rokok haram mendominasi pasaran tempatan, sekaligus menyebabkan objektif utama kerajaan sukar dicapai.