AirAsia Group Berhad kini mencuri perhatian selepas beberapa media, termasuk Reuters dan The Edge, melaporkan bahawa syarikat penerbangan itu sedang dalam proses mendapatkan dana sekurang-kurangnya $1 bilion, bersamaan kira kira RM4.0 bilion, daripada pasaran antarabangsa.
Di pasaran tempatan pula, AirAsia dilaporkan sedang dalam usaha mendapatkan kemudahan kredit sekitar RM700 juta bagi tujuan penstrukturan semula pembiayaan.
Sebelum ini pada Januari lalu, AirAsia memperoleh kira kira RM1 bilion menerusi tawaran persendirian bagi melengkapkan penstrukturan semula segmen penerbangannya. Langkah tersebut menghimpunkan operasi penerbangan jarak jauh AirAsia X dan operasi penerbangan jarak dekat AirAsia di bawah satu kumpulan penerbangan.
Selepas penstrukturan tersebut, perniagaan bukan penerbangan seperti AirAsia MOVE, Teleport dan Santan kekal di bawah Capital A Berhad, manakala segmen perniagaan penerbangan ditempatkan di bawah AirAsia Group Berhad, yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia X.
Masalah kewangan AirAsia mula memuncak pada 2020 apabila pandemik Covid 19 menyebabkan industri penerbangan global lumpuh sepenuhnya. Sepanjang 2020 hingga 2022, AirAsia melalui Capital A merekodkan kerugian terkumpul sekitar RM13.3 bilion.
Selepas melalui tempoh pemulihan pasca-pandemik, AirAsia kini berdepan satu lagi ‘angin lintang’. Konflik di Asia Barat yang melibatkan Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan kos bahan api meningkat dengan mendadak, sekali gus memberi tekanan baru terhadap kos operasi syarikat.
Prestasi kewangan terbaru AirAsia turut mencerminkan cabaran sebenar yang dihadapi AirAsia. Pada suku kedua 2026, syarikat merekodkan kerugian sekitar RM830 juta meskipun mencatatkan hasil sebanyak RM5.1 bilion.
Dalam tempoh setahun, liabiliti semasa AirAsia meningkat dengan ketara daripada RM10.4 bilion kepada RM18.4 bilion. Liabiliti semasa bersih pula melonjak daripada RM6.8 bilion kepada RM14.5 bilion.
Raih Dana Antarabangsa, Perlu Sokongan Kerajaan?
Reuters pada awal bulan ini melaporkan bahawa Kementerian Kewangan telah mendapatkan khidmat Alton Aviation Consultancy untuk menilai keperluan kewangan AirAsia.
Bagaimanapun, bentuk sokongan yang sedang dipertimbangkan masih belum didedahkan, termasuk sama ada ia berbentuk jaminan kerajaan terhadap pembiayaan atau turut melibatkan pinjaman mudah.
Perkembangan tersebut mula mengundang reaksi negatif dalam kalangan sebahagian masyarakat. Beberapa pengguna media sosial melihat kemungkinan penglibatan Kerajaan sebagai satu bentuk ‘bailout’ terhadap AirAsia.
Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Fadhli Shaari, menerusi satu hantaran di Facebook turut menyuarakan kebimbangannya dan mempersoalkan kewajaran wang rakyat diletakkan dalam risiko bagi membantu syarikat berkenaan.
” Kalau masalahnya ialah kedudukan kewangan syarikat, kenapa rakyat pula perlu masuk menanggung risiko? Masa untung, syarikat dan pemegang saham yang dapat. Masa rugi jangan rakyat pula kena bayar. “
Terlalu Besar Untuk Dibiarkan Gagal?
AirAsia tentunya mempunyai hujah tersendiri bagi menjustifikasikan mengapa sokongan Kerajaan mungkin diperlukan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangannya.
AirAsia merupakan salah satu daripada tiga kumpulan penerbangan utama dalam pasaran tempatan, selain Malaysia Aviation Group dan Batik Air.

Data terkini menunjukkan AirAsia menguasai sekitar 37.7% pasaran penumpang di Malaysia pada suku pertama 2026. Malaysia Aviation Group, menerusi Malaysia Airlines dan Firefly, berada di tempat kedua dengan 21.1%, manakala Batik Air menguasai sekitar 10.3%.
Hujah utama untuk membantu AirAsia ialah kerana kegagalan syarikat itu berpotensi meninggalkan jurang besar dalam kapasiti penerbangan negara.
Sekiranya AirAsia terus bergelut atau terpaksa mengecilkan operasinya dengan ketara, sebahagian besar permintaan penumpang perlu diserap oleh syarikat penerbangan lain. Dalam jangka pendek, keadaan ini boleh mengurangkan pilihan pengguna dan melemahkan tahap persaingan dalam pasaran.
Kesan tersebut juga boleh merebak kepada sektor pelancongan. Model tambang rendah AirAsia selama ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan perjalanan penumpang di Malaysia dengan bandar-bandar serantau, khususnya bagi segmen pelancongan bajet.
Namun, sumber yang terlibat rapat dalam industri penerbangan memberitahu Ekonomi Rakyat bahawa kehilangan kapasiti AirAsia tidak semestinya mewujudkan masalah yang tidak mampu ditangani Kerajaan.
Menurut beliau, syarikat penerbangan sedia ada seperti Malaysia Airlines dan Batik Air mempunyai keupayaan untuk mengisi sebahagian ruang yang ditinggalkan sekiranya kapasiti AirAsia berkurangan.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu persaingan merupakan masalah yang lebih besar kerana tahap persaingan mungkin terjejas, sekaligus menyebabkan penumpang mungkin terkesan dengan eksploitasi harga tambang.
Bukan Kali Pertama Kerajaan Tawar Sokongan
Sekiranya Kerajaan memilih untuk menyokong AirAsia, langkah tersebut bukanlah sesuatu yang belum pernah dilakukan terhadap syarikat yang dianggap mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi negara.
Pada 2021, misalnya, Khazanah Nasional Berhad menyuntik RM3.6 bilion ke dalam Malaysia Aviation Group sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu.
Malaysia Aviation Group kemudiannya kembali mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik dan merekodkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM131 juta bagi tahun 2025.
Pada 2025, Kerajaan turut membuat pelaburan sebanyak RM1.1 bilion dalam Sapura Energy, yang kini dikenali sebagai Vantris Energy Berhad.
Walaupun transaksi tersebut ditakrifkan sebagai pelaburan dan bukannya ‘bailout’, umum mengetahui langkah tersebut dilakukan bagi menstabilkan ekosistem minyak dan gas tempatan, memandangkan kedudukan syarikat tersebut sebagai salah satu pemain utama dalam rantaian industri O&G negara.
Perdebatan mengenai AirAsia tidak sepatutnya berhenti pada persoalan sama ada Kerajaan perlu membantu atau tidak.
Persoalan yang lebih penting ialah apakah terma yang perlu dikenakan sekiranya wang atau jaminan Kerajaan digunakan untuk menyokong syarikat tersebut.
The Star sebelum ini melaporkan bahawa Kerajaan mahukan dua kerusi dalam lembaga pengarah sebagai sebahagian daripada terma sokongan yang sedang dibincangkan.
Ini juga membuka satu lagi persoalan penting. Sekiranya bantuan Kerajaan diberikan, sejauh mana pemilik dan pengurusan sedia ada, termasuk Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun, akan terus diberikan kebebasan untuk menguruskan operasi syarikat.
Jika diperhatikan dari sudut komersial semata-mata, Kerajaan sepatutnya tidak mempunyai insentif yang besar untuk menyelamatkan AirAsia. Malaysia Aviation Group, yang dimiliki Kerajaan melalui Khazanah Nasional, berpotensi menjadi antara penerima manfaat terbesar sekiranya pesaing utamanya dibiarkan terkapai-kapai.
Namun Kerajaan bukanlah ahli perniagaan.
Kerajaan juga bertanggungjawab memastikan pasaran kekal kompetitif, pengguna mempunyai pilihan dan industri strategik negara tidak terlalu bergantung kepada sebilangan kecil pemain.
Membiarkan pasaran penerbangan menjadi semakin tertumpu boleh membawa kesan terhadap persaingan dan harga tambang. Pada masa sama, nasib ribuan pekerja, vendor, lapangan terbang serta perniagaan lain yang bergantung kepada rangkaian AirAsia pastinya menjadi justifikasi utama pihak AirAsia mengapa mereka perlu dibantu.
Jika diteruskan, Kerajaan perlu bersedia menerima kritikan daripada pelbagai pihak atas tanggapan bahawa wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan syarikat swasta. Tapi seperti kebiasaannya, hiruk-pikuk sedemikian hanya bertahan beberapa hari saja, sebelum ia berlalu pergi.
