
Tatkala tekanan kemampuan memiliki rumah dan kekangan tanah semakin mempengaruhi corak pembelian di Lembah Klang, bandar-bandar di luar kawasan bandar utama semakin mendapat perhatian. Ini termasuk Bandar Sri Sendayan, yang menawarkan gabungan harga lebih kompetitif, infrastruktur lengkap dan persekitaran hidup yang menyeluruh.
Terletak kira-kira 50 minit dari Kuala Lumpur dengan akses terus melalui lebuh raya utama, Bandar Sri Sendayan berkembang daripada kawasan pinggiran kepada sebuah bandar yang serba lengkap. Tarikan utamanya bukan sekadar harga rumah yang lebih rendah, tetapi keupayaannya menyediakan kemudahan dan gaya hidup setanding, malah dalam sesetengah aspek melebihi kawasan bandar yang telah lama didirikan.
Bandar Dikelilingi Infrastruktur Lengkap
Jika dibandingkan dengan pembangunan baharu lain yang bergantung kepada potensi masa depan, Bandar Sri Sendayan telahpun dilengkapi dengan kemudahan berfungsi sepenuhnya. Bandar itu menggabungkan kawasan perumahan, komersial, pendidikan dan rekreasi dalam satu ekosistem yang mengurangkan kebergantungan kepada pusat bandar luar.
Antara kemudahan utama ialah d’Tempat Country Club, kelab eksklusif seluas 380,000 kaki persegi yang menawarkan kolam renang bersaiz Olimpik, gimnasium, gelanggang sukan tertutup dan dewan acara.
Aktiviti komersial pula disokong oleh Sendayan Metropark serta Sendayan Merchant Square yang dibangunkan sebagai hab gaya hidup berkonsepkan tasik bandar.
Sementara itu, Adcote Matrix International School menambah daya tarikan kepada keluarga yang mengutamakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.
Suria Heights Perkenal Pilhan Kediaman Berbeza
Dalam landskap ini, Suria Heights yang dibangunkan oleh Matrix Concepts Holdings Berhad tampil sebagai fasa baharu yang memberi penekanan kepada kepelbagaian produk dan reka bentuk yang lebih tersendiri.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM580 juta ini menawarkan tiga jenis rumah:
Rumah teres dengan keluasan binaan bermula 2,500 kaki persegi pada harga dari RM700,999.
Selain itu, rumah kluster dengan keluasan bermula 2,862 kaki persegi pada harga dari RM979,999 dan rumah separa berkembar dengan keluasan bermula 3,426 kaki persegi pada harga dari RM1.38 juta.
Rumah kluster merupakan produk pertama di Bandar Sri Sendayan, direka untuk memberikan suasana kediaman berkepadatan rendah dengan halaman peribadi dan ruang yang lebih luas. Keluasan rumah ini bermula daripada 2,862 kaki persegi, dengan saiz tanah selebar 35 kaki dan sepanjang 80 kaki.
Memiliki Ciri Pintar Dan Lestari
Suria Heights turut menampilkan ciri rumah pintar dan elemen kelestarian sebagai spesifikasi standard. Setiap unit dilengkapi dengan kunci digital, sistem automasi pencahayaan, kawalan penghawa dingin, pembesar suara pintar dan CCTV luar.
Selain itu, semua rumah dilengkapi pemanas air solar. Rumah kluster dan separa berkembar turut mempunyai sistem tadahan air hujan serta pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV), selaras dengan peningkatan permintaan terhadap kediaman yang lebih mesra alam.

Gaya Hidup Berteraskan Ruang Hijau
Salah satu tarikan utama pembangunan ini ialah taman tasik landskap seluas 4.6 ekar yang menyediakan trek joging, kawasan lapang dan kemudahan rekreasi keluarga. Pembeli juga menerima keahlian ke d’Tempat Country Club, membolehkan akses kepada pelbagai kemudahan premium tanpa bayaran langganan tambahan.
Lokasinya yang berhampiran dengan kemudahan lain di bandar ini menjadikan Suria Heights sebuah pembangunan yang benar-benar menyokong konsep komuniti serba lengkap.
Pada masa hadapan, beberapa pembangunan turut dirancang, termasuk hab komersial dan hospital, bagi meningkatkan keselesaan serta menjadikan kawasan ini lebih lengkap dan mudah didiami.
Akses Yang Mudah
Bandar Sri Sendayan juga menawarkan akses yang mudah dan cepat menerusi Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Seremban–Port Dickson serta rangkaian jalan yang menghubungkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Plaza tol Seremban pula terletak kira-kira lima minit dari kawasan tersebut, sekali gus membolehkan akses yang lebih lancar ke Kuala Lumpur dan zon-zon ekonomi berhampiran.
Pilihan Praktikal Dalam Pasaran Yang Berubah
Suria Heights mencerminkan perubahan keutamaan pembeli rumah yang kini lebih menitikberatkan ruang, fungsi dan persekitaran hidup yang menyeluruh.
Dengan harga yang masih kompetitif berbanding rumah landed di Lembah Klang, projek ini menawarkan alternatif menarik kepada pembeli yang mahu menaik taraf kediaman tanpa mengorbankan aspek gaya hidup dan kemudahan.
Seiring perkembangan Bandar Sri Sendayan, Suria Heights membuktikan bahawa koridor pertumbuhan sekunder kini semakin berupaya bersaing bukan sahaja dari segi harga, tetapi juga dari segi kelengkapan dan kualiti penawaran.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Suria Heights
