Internet terbukti memberikan pelbagai manfaat dalam memudahkan banyak urusan kehidupan seharian. Namun begitu, terdapat segelintir golongan manusia yang menjadi seakan-akan ketagih untuk menggunakannya pada setiap masa dan tidak kira waktu. Sekiranya tidak dapat menggunakan Internet, walaupun dalam tempoh yang tidaklah begitu lama mana pun, mereka akan mula merasai gelisah dan tertekan.
Ketagihan yang begitu kronik terhadap penggunaan Internet ini telah membawa kepada munculnya istilah-istilah baharu seperti “chronically online”, dan sinonim-sinonimnya yang lain termasuk “extremely online” dan “terminally online” kebelakangan ini.
Siapakah Golongan “Chronically Online”?
Antara simptom utama individu yang dikenal pasti sebagai “chronically online” ini ialah mereka yang mempunyai screen time yang terlampau tinggi, meluangkan masa terlalu lama menggunakan Internet serta cenderung untuk bersosial di alam maya berbanding secara fizikal.
Mereka juga sentiasa tidak terlepas daripada mengikuti segala isu-isu terhangat di media sosial, sehingga mengakibatkan pemikiran mereka menjadi begitu terpengaruh dengan apa yang dilihat di alam maya, lantas menimbulkan expectation yang tidak realistik dalam dunia sebenar dan tidak berpijak di dunia yang nyata.
Ketika ini, terdapat kira-kira 5.6 bilion pengguna Internet di seluruh dunia. Ini bermakna hampir 70% penduduk dunia mempunyai akses kepada Internet. Dalam satu kajian yang dijalankan Pew Research Centre, mereka mendapati 85% rakyat Amerika Syarikat menggunakan Internet secara harian. Daripada jumlah tersebut, 31% mengakui mereka sentiasa ‘online’ pada setiap masa. Responden yang dikenal pasti sebagai “chronically online” ini didapati jumlahnya adalah begitu ramai dalam kalangan orang muda.
Rakyat Malaysia Menghabiskan Masa 9 Jam Sehari Menggunakan Internet

Trend yang berlaku di Amerika Syarikat ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Malaysia. Menurut tinjauan yang dijalankan agensi kreatif We Are Social, seorang rakyat Malaysia menghabiskan masa lebih 9 jam sehari menggunakan Internet, hampir 30% lebih tinggi daripada purata global (6 jam 58 minit)! Ini bermakna, sekiranya seorang rakyat Malaysia tidur selama 6 jam sehari, separuh daripada waktu berjaga digunakan untuk melayari Internet.
Dari segi pecahan penggunaan pula, dua pertiga daripada jumlah jam tersebut digunakan sama ada untuk melayari media sosial serta menonton siaran dan platform penstriman. Manakala selebihnya lagi ialah untuk aktiviti-aktiviti lain seperti mendengar podcast, mendengar muzik di platform penstriman seperti Spotify dan sebagainya. Secara keseluruhannya, Malaysia menduduki tangga keenam tertinggi di dunia dari segi jumlah jam menggunakan Internet dalam masa sehari.
Walaupun ramai anak muda yang terjebak dengan trend “chronically online” ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan mereka lebih ‘tech-savvy’ dan terkehadapan dalam menggunakan Internet, ianya tetap mencerminkan fenomena yang tidak sihat. Hal ini kerana dalam jangka panjang, fenomena “chronically online” ini boleh menjejaskan tahap kesihatan mental dan fizikal serta daya produktiviti seseorang itu.
Bagaimana Fenomena “Chronically Online” Boleh Menjejaskan Kesihatan?
Dari segi kesihatan mental, penggunaan Internet yang terlalu lama boleh membawa kepada rasa burnout, kesunyian serta menjejaskan tahap keyakinan diri. Individu yang sering online tidak kira waktu juga selalunya akan merasa lebih sukar untuk fokus dan memberikan tumpuan, lebih-lebih lagi jika mereka kerap melayari media sosial dan menonton terlalu banyak kandungan yang bersifat ‘face-paced’ dan memberikan stimulasi tinggi seperti video-video pendek di TikTok, Instagram dan YouTube Shorts.

Pelbagai kajian yang telah dibuat sebelum ini menunjukkan bahawa kandungan-kandungan sebegini berisiko untuk mengurangkan daya perhatian (attention span) seseorang itu, terutamanya jika ditonton dengan begitu kerap. Isu ini diburukkan lagi dengan corak algoritma platform media sosial yang secara kebiasaannya akan terus mencadangkan kandungan-kandungan serupa kepada pengguna, sekali gus merisikokan mereka untuk terus khayal dan hanyut dalam alam maya.
Situasi ini jika berlarutan, boleh menyebabkan mereka menjadi kurang produktif dan tidak mampu untuk menyiapkan tugasan yang diberikan dengan baik kerana sentiasa berasa terpanggil untuk bermain telefon dari semasa ke semasa, terutamanya jika di tempat kerja. Pelajar-pelajar sekolah yang terjebak dalam masalah ini juga mungkin berdepan isu yang serupa apabila tidak mampu memberikan sepenuh perhatian ketika mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu.
Manakala dari sudut kesihatan fizikal pula, tabiat menggunakan Internet untuk tempoh yang terlalu lama boleh membawa kepada masalah tidur serta sakit mata, leher dan pinggang. Memandangkan lama-kelamaan aktiviti menggunakan Internet ini sudah menjadi satu tabiat santai-santai yang sukar untuk diubah, ia juga boleh menimbulkan masalah-masalah kesihatan yang lebih serius seperti obesiti, migraine, rabun dan sebagainya.
Masa Untuk Menyentuh Rumput!
“Segalanya di hujung jari” merupakan satu ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan suasana kehidupan moden di abad ke-21. Namun begitu, walaupun segala kemudahan boleh diakses dengan begitu mudah, ia tidak bermaksud bahawa seseorang itu perlu menghabiskan masa terlalu banyak dalam Internet. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai risiko masalah kesihatan yang disebutkan di atas.
Oleh yang demikian, sekali sekala mereka perlu juga untuk keluar sebentar dari alam maya dan meluangkan masa serta berinteraksi dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan komuniti setempat secara fizikal serta menghirup udara segar dari alam sekitar.
Konsep ini yang turut dikenali dengan frasa “touch the grass” atau ‘menyentuh rumput’, kini menjadi semakin popular sebagai respon terhadap fenomena “chronically online” yang semakin merebak sejak akhir ini. Jadi, apakah cara terbaik untuk ‘menyentuh rumput’ dengan efektif?
Sebelum meluangkan masa bersama ahli keluarga dan kawan-kawan, individu yang merasakan diri mereka “chronically online” perlu terlebih dahulu menyedari bahawa mereka sedang menghadapi satu bentuk ketagihan yang boleh memberi kesan buruk kepada diri. Langkah pertama yang penting ialah mengakui bahawa ketagihan ini wujud dan ia boleh dikawal. Seterusnya, mereka perlu mengehadkan penggunaan Internet, sama ada melalui ciri-ciri “screen time limit” pada peranti atau dengan menetapkan waktu-waktu tertentu dalam masa sehari sebagai “zon bebas Internet”.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk melawan gejala “chronically online” ini ialah dengan menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersenam. Seperti mana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang rakyat Malaysia perlu melakukan aktiviti riadah secara sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
