Bagaimana Pulau Pinang Menjadi Negeri Pengeksport Terbesar Malaysia?

Share it

Dikenali sebagai ‘Silicon Valley of the East’, Pulau Pinang sering dijadikan contoh kejayaan model perindustrian Malaysia yang berorientasikan eksport. Dengan hanya 1.8 juta penduduk iaitu bersamaan dengan 5% daripada jumlah populasi Malaysia, negeri ini menyumbang 7.4% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan hampir satu pertiga daripada jumlah eksport (RM495 bilion) negara pada tahun lalu.

Kejayaan ini boleh diimbau kembali dengan dasar-dasar yang penuh cita-cita pada sekitar awal 1970-an oleh seorang pemimpin Pulau Pinang. Lim Chong Eu, bekas pemimpin MCA yang menubuh Parti GERAKAN menang besar pada tahun 1969, sekaligus membolehkan beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kepimpinan beliau selama 31 tahun membuahkan pelbagai kejayaan buat Pulau Mutiara. Dengan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan mengetuai sendiri misi pelaburan ke luar negara, beliau berjaya membawa pelbagai syarikat-syarikat luar untuk membuka operasinya di negeri berkenaan.

Dr Lim Chong Eu bersama wakil Intel pada tahun 1972 – Gambar oleh Ganesh Kolandaveloo

Insentif Zon Pengindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas menawarkan pelepasan cukai dan kemudahan logistik kepada syarikat-syarikat gergasi seperti Intel, Bosch, Clarion, AMD, HP, Litronix (sekarang dikenali sebagai Osram), Hitachi (sekarang dikenali sebagai Renesas Electronics) dan National Semiconductor.

Lapan syarikat ini juga dikenali sebagai The Eight Samurai.

Hari ini, lebih 300 syarikat multinasional beroperasi di Pulau Pinang, termasuk Flex, Plexus dan Siliconware Precision Industries.

Ekosistem ini turut melahirkan beberapa syarikat tempatan bertaraf global seperti ViTrox, Greatech, Pentamaster dan Inari Ametron yang semuanya tersenarai di Bursa Malaysia. 

Kesan limpahan ekonomi ini tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang, malah menarik ribuan tenaga kerja dari Kedah dan Perlis untuk mencari peluang pekerjaan di negeri ini.

Dari tahun 1969 hingga 1975, lebih 30,000 pekerjaan baru diwujudkan dalam sektor pembuatan. Pada tahun 2024, jumlah pekerja dalam sektor ini mencecah 355,000 orang. 

Gaji penengah bulanan Pulau Pinang antara yang tertinggi di Malaysia, iaitu RM2,715 sebulan, hanya di belakang Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Labuan. 

Tidak hairan jika pulang ke kampung, anda akan mendengar kisah-kisah pasangan suami isteri yang meraih pendapatan isi rumah mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan (termasuk kerja-kerja OT).

Namun, di sebalik kejayaan angka-angka ini, timbul persoalan lain iaitu sejauh mana Malaysia benar-benar menguasai kepakaran E&E di negara sendiri? 

Kebanyakan produk E&E yang dieksport masih dihasilkan oleh syarikat luar dan Malaysia kekal sebagai destinasi pembuatan, bukan pusat pembangunan ataupun inovasi dengan pemilikan penuh syarikat tempatan.

Percubaan kerajaan untuk mengangkat Silterra, syarikat fabrikasi wafer milik Khazanah dahulunya, sebagai TSMC versi Malaysia masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Kritikan ini tidak ditujukan kepada Pulau Pinang, tetapi lebih mencerminkan kepada cabaran perindustrian negara yang bergelut untuk membina jenama ataupun perusahaan tempatan yang mampu bersaing di peringkat global. 

Walau bagaimanapun, Pulau Pinang kekal sebagai negeri contoh dalam membangunkan ekosistem pembuatan berteknologi tinggi, suatu pencapaian yang masih sukar ditandingi oleh negeri lain.