Pemilik Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata perniagaan media kini tidak lagi seuntung dulu disebabkan perkembangan pesat teknologi digital.
Sinar Harian bukan satu-satunya syarikat media yang terkesan. Banyak syarikat media tradisional terpaksa ditutup atau diselamatkan kerana berita ataupun maklumat boleh didapati dimana-mana dengan kos yang hampir sifar.
Utusan umpamanya terpaksa ditutup pada tahun 2019 sehingga diselamatkan oleh bilionair, Syed Mokhtar. Pada zaman kegemilangannya, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pernah merekodkan hasil tahunan sehingga RM385 juta dengan keuntungan sebanyak RM36 juta.

News Straits Times pernah merekodkan keuntungan sebanyak RM55 juta pada tahun 2009 dengan hasil sebanyak RM583 juta.
The Star, akhbar yang majoritinya dimiliki MCA pula pernah mencatatkan hasil RM1 bilion dengan keuntungan lebih RM112 juta.
Good Times are Over
Ketiadaan hasil jualan surat khabar serta pendapatan iklan yang berkurangan telah menyebabkan syarikat-syarikat media mengalami kemerosotan pendapatan. Pembaca boleh mendapat berita percuma melalui internet. Manakala pengiklan pula boleh terus mengiklankan produk mereka melalui Facebook, Twitter mahupun Youtube.
Pengiklanan cara baru seperti influencer marketing dan content marketing juga semakin mendapat tempat.
Situasi ini menyebabkan syarikat media mengalami tekanan untuk meneruskan operasi. Kebanyakan media kini dimiliki oleh bilionair. Sebahagian besar saham Media Prima dimiliki Syed Mokhtar, Astro oleh (mendiang) Ananda Krishnan dan The Edge oleh Tong Kooi Ong.
New Money?
Walaupun syarikat media tradisional bergelut, tetapi syarikat media generasi baru semakin mendapat tempat. Pempengaruh terkenal, Pinn Yang yang merupakan pemegang saham terbesar Foodie Media Berhad ingin menyenaraikan syarikatnya ke pasaran ACE (ACE Market).
Foodie Media Berhad meraih sebahagian besar pendapatan melalui kempen-kempen yang dibuat menerusi 34 jenama dibawah payung mereka. Paling terkenal adalah KL Foodie yang mempunyai 7.4 juta* orang pengikut diikuti Bangkok Foodie (4.2 juta pengikut) yang berpangkalan di Thailand.
*Berdasarkan prospektus Tawaran Awal Permulaan (IPO) Foodie Media Berhad
Pinn Yang sendiri mempunyai 8.4 juta pengikut di akaun sosial peribadi miliknya.
Dengan liputan pengikut yang begitu luas merangkumi pelbagai niche, Foodie Media berjaya menarik perhatian perniagaan untuk mempromosikan produk ataupun perkhidmatan mereka melalui akaun-akaun mereka.
Menurut prospektus yang dikeluarkan, Foodie Media merekodkan hasil sebanyak RM24 juta pada tahun 2024, meningkat 43% berbanding RM16.8 juta yang direkodkan pada tahun 2023.
Margin bisnes ini juga tinggi. Margin keuntungan kasar berada pada paras 59.4% sementara margin keuntungan bersih berada pada 31.3%.
Pada tahun 2024, Foodie Media Berhad catat keuntungan selepas cukai sebanyak RM7.5 juta.
Siapa Di Belakang Pinn Yang?
Meskipun Pinn Yang menjadi wajah kepada bisnesnya, namun entiti bernilai jutaan ringgit ini turut disokong oleh keluarga perusahaan F&B terkenal iaitu Keluarga Loo.
Salah seorang ahli keluarga Loo, Bryan Loo merupakan pengasas kepada Chatime, dan kini memiliki rangkaian kedai bubble tea – Tealive serta rangkaian kedai kopi Bask Bear dengan keseluruhan 800 outlet di beberapa buah negara.

Keluarga Loo memegang 33% kepentingan di dalam Foodie Media Berhad dan dijangka akan terus mempunyai sekitar 19.6% kepentingan di dalam syarikat berkenaan selepas IPO.
Baki saham Foodie Media Berhad dimiliki oleh Pinn Yang, Rui Mei dan Pinn Jian. Rui Mei merupakan isteri kepada Pinn Yang manakala Pinn Jiang merupakan adik kepada Pinn Yang.
Ke Mana Hala Tuju Foodie Media Berhad?
Model perniagaan Foodie Media menunjukkan syarikat media turut boleh menjana pendapatan tanpa mempunyai platform mereka sendiri, tetapi juga melalui akaun-akaun media sosial yang mempunyai pengikut yang ramai.
Jika media tradisional menawarkan berita, media alaf baru seperti ini lebih memfokuskan kepada penciptaan kandungan.
Bagi Foodie Media, mereka mempunyai akaun dengan niche tersendiri bagi membolehkan pengiklan menjalankan kempen pada akaun yang sesuai dengan target audience produk ataupun servis mereka. Dari lifestyle, percutian, automotif sehinggalah sukan, kesemua niche-niche ini ditawarkan oleh Foodie Media Berhad.
Prospektus awal yang diterbitkan tidak memerincikan di mana hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan bisnes mereka. Namun secara amnya, Foodie Media akan membelanjakan sebahagian besar wang hasil IPO untuk meningkatkan bilangan staf mereka.
Langkah ini bagi membantu mereka mengembangkan segmen perniagaan media digital, pengurusan KOL, pengurusan kempen, drama filem pendek serta perkhidmatan jualan langsung.