Scam Pelaburan – Bagaimana Untuk Elak Di-Scam?

scam
Share it

Scammer kini semakin licik. Dengan memanfaatkan media sosial, aplikasi pesanan segera dan teknologi canggih seperti deepfake, mereka memperdaya ribuan mangsa setiap tahun. Akibatnya, kerugian kewangan mencecah berbilion ringgit, manakala mangsa menghadapi trauma psikologi yang mendalam.

Tekanan Kos Sara Hidup sebagai Pemangkin

Mengapa begitu ramai terjerumus? Jawapannya terletak pada tekanan ekonomi. Kos sara hidup yang tinggi menyebabkan orang ramai mencari jalan alternatif untuk mengekalkan taraf hidup. Pelaburan sering dilihat sebagai ‘jalan pintas’ untuk menjana pendapatan tambahan.

Data rasmi menunjukkan purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat dari RM7,901 pada tahun 2019 kepada RM8,479 pada tahun 2022. Peningkatan ini hanya bersamaan dengan tambahan 2.39% pendapatan secara tahunan.

Dalam masa yang sama, kos sara hidup membelenggu orang ramai. Inflasi meskipun meningkat sekitar 1.6% setahun secara keseluruhannya, namun kumpulan makanan dan minuman, item yang dibeli secara kerap mengalami peningkatan pada kadar 2.7% setahun dalam tempoh yang sama.

Apabila gaji tidak seiring dengan kenaikan harga barang, janji pulangan lumayan menjadi terlalu menarik untuk ditolak. Persepsi “pendapatan tidak mencukupi” menjadikan mangsa lebih mudah terperangkap dalam skim yang kelihatan meyakinkan, tetapi hakikatnya palsu.

Sikap Nak Cepat Kaya

Dari sudut yang lain, orang awam juga sering terpersona dengan pulangan pelaburan yang mengiurkan. Sebilangan scammer mengumpan mangsa, dengan menunjukkan pulangan yang tinggi pada awal-awal ‘pelaburan’ sekaligus menyebabkan mangsa gelap mata dan membuat pelaburan tambahan.

Ada yang mengeluarkan keseluruhan simpanan. Ada juga yang mengajak ahli keluarga dan sahabat handai untuk turut melabur setelah menerima pulangan berbelas bahkan berpuluh peratus pada awal-awal fasa ‘pelaburan’.

Keadaan ini menyebabkan makin ramai mangsa terpedaya, sebelum scammer tiba-tiba menghilangkan diri apabila berjaya mengumpan mangsa untuk ‘all in‘.

Statistik dan Modus Operandi

Antara Januari hingga Ogos 2024 sahaja, penipuan pelaburan meragut RM1.6 bilion daripada rakyat, dengan 35,368 kes dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Telegram muncul sebagai platform paling berisiko dengan 1,346 kes, diikuti Facebook (948 kes) dan Instagram (146 kes), melibatkan kerugian melebihi RM207 juta.

Lebih membimbangkan, taktik penipu turut berevolusi. Jika dahulu mereka sekadar menghantar pautan palsu, kini deepfake digunakan untuk meniru wajah dan suara tokoh kewangan, malah wajah gabenor Bank Negara turut digunapakai.

Video sebegini memberi gambaran seolah-olah skim berkenaan disokong individu berpengaruh, sekali gus meningkatkan kredibiliti palsu mereka.

Kenali “Red Flags”

Bagi membantu orang ramai, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan akronim T.I.P.U. – sebagai panduan ringkas untuk mengenal pasti ciri-ciri utama penipuan pelaburan:

  • T – Tidak akan rugi: Pulangan dijamin tanpa risiko adalah mustahil.

  • I – Indah khabar dari rupa: Jika terlalu bagus untuk dipercayai, hampir pasti ia penipuan.

  • P – Peluang hanya sekali: Tekanan untuk membuat keputusan segera tanda taktik manipulasi.

  • U – Untung besar: Janji pulangan luar biasa biasanya mengaburi pertimbangan rasional.

Scam pelaburan berkembang pesat kerana ia mengeksploitasi keresahan rakyat dalam mendepani kos sara hidup. Pendidikan kewangan yang kukuh, ditambah dengan kesedaran tentang ‘red flags’ perlu menjadi benteng utama bagi melindungi masyarakat daripada terus menjadi mangsa.