“Banyak benda susah dalam hidup…. Tapi buat syarikat daripada mula, dia antara yang paling susah lah,” kata Hazim, pengasas CoffeeSpace yang berpangkalan di San Francisco, California.
Hazim yang memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kewangan daripada Massachusetts Institute of Technology (MIT), dan pernah berkhidmat di Bank Dunia berkata mencari rakan kongsi perniagaan diibaratkan seperti mencari pasangan hidup.
“Anda akan mungkin habiskan lagi banyak masa dengan business partner daripada pasangan anda. Kalau pada peringkat awal-awal, memang bukan hanya kerja lapan jam. Mereka akan kerja 10, 12, 14 jam sehari. Bahkan hujung minggu pun kerja.”
Oleh itu, amat penting bagi pengasas bersama memiliki nilai yang sama serta daya tahan yang tinggi. Pemilihan rakan kongsi yang tepat juga penentu kepada kejayaan startup itu, kerana pada peringkat awal kebanyakan kerja perlu dilakukan sendiri.
“Sebab startup kalau dua tiga orang kena start dengan semua benda sendiri. Kalau semua skill set sama, mungkin syarikat tak cukup untuk cover semua benda yang perlu untuk kickstart the company.”
Hazim menambah, secara statistik, syarikat baharu yang mempunyai co-founder berpeluang lebih besar untuk berjaya. Namun ada syaratnya, rakan kongsi itu perlu benar-benar berkualiti. Jika sebaliknya, lebih baik bergerak secara solo.
Ketika ditanya mengenai pengalamannya mencari pelabur, Hazim mengakui proses itu tidak mudah. Ia menuntut latihan berkali-kali, manakala sesi pembentangan (pitching) mesti jelas dan ringkas.
CoffeeSpace sendiri mengambil masa yang lama sebelum berjaya meyakinkan pelabur. Hazim mengimbau kisah Uber, apabila pengasasnya Travis Kalanick terpaksa membuat pembentangan berkali-kali sebelum memperoleh pelaburan pertama.
Menurut Hazim, pelabur yang sudah biasa menyalurkan modal dalam sektor tertentu lebih mudah diyakinkan kerana mereka memahami konteks industri berkenaan.
“Kalau pelabur itu tak percaya di dalam bidang ini. Dia tak tengok dunia di dalam kaca mata yang sama dengan kita. Jauh lagi susah nak diyakinkan. Kalau orang itu sendiri dah pernah kerja, contohnya di FinTech, dia pernah sama ada bina syarikat sendiri atau dia dah melabur dalam banyak syarikat FinTech. Dia jauh lagi senang nak diyakinkan daripada orang yang melabur di dalam kesihatan contohnya.”
Ketika ditanya tentang masa depan syarikat baru, Hazim percaya perkembangan pesat AI akan mengurangkan peranan pekerja. Ini menyebabkan peranan setiap individu dalam pasukan semakin penting. Kesannya, proses mencari pekerja baru juga akan menjadi lebih rumit.
Di sinilah Hazim melihat peranan CoffeeSpace. Platform tersebut boleh membantu syarikat baru dan syarikat-syarikat sedia ada untuk mendapatkan pekerja dengan maklumat yang lebih komprehensif, melangkaui apa yang tertera di resume.
“Jadi, kami boleh jadi platform yang ada data, melangkaui apa yang hanya tertera di resume. Kenapa mereka ini seorang builder yang bagus. Data pasal dia punya hackathon. Involvement yang kecil-kecil. Acara yang disertai. Side projects yang dia pernah buat.”
Hazim menekankan bahawa butiran terperinci seperti ini akan menjadi semakin penting. Di syarikat besar, pekerja biasanya hanya menguasai sebahagian kecil skop kerja. Tetapi dalam persekitaran syarikat baharu, pekerja perlu mampu melaksanakan tugas secara menyeluruh. Jika tidak, ia boleh menimbulkan masalah kepada operasi.
Baca artikel Bahagian Satu di [klik sini].