Pasaran pekerjaan global kini mengalami perubahan drastik susulan gelombang teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sedang mengubah landskap ekonomi dunia. Syarikat-syarikat besar semakin giat mengautomasikan proses harian mereka, sekali gus mengurangkan keperluan terhadap tenaga kerja manusia.
Accenture, syarikat perkhidmatan profesional dan BPO terkemuka dunia, dilaporkan mengurangkan 11,000 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula. Microsoft pula memberhentikan 9,100 pekerja, bersamaan kira-kira 4% daripada tenaga kerja globalnya.
Di Malaysia, PETRONAS turut dilaporkan mengurangkan sekitar 5,000 tenaga kerja, dipengaruhi oleh faktor automasi AI serta ketidaktentuan tentang operasi perniagaan mereka di Sarawak.

Syarikat itu juga dilaporkan menghentikan program Manpower Supply Agreement (MSA) dengan vendor luar yang sebelum ini membekalkan tenaga kerja sokongan, termasuk dalam sektor digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, sebanyak 30% hingga 40% pekerjaan sedia ada berisiko digantikan oleh AI pada masa hadapan.
“Saya agak yakin bahawa banyak kerja sokongan pelanggan yang dilakukan di hadapan komputer atau melalui telefon bakal hilang. Tugasan-tugasan ini lebih baik dilakukan oleh AI,”
– Sam Altman, The Tucker Carlson Show
Gelombang AI telah mempermudahkan pelbagai tugasan harian pekerja. Banyak kerja coding kini dapat disiapkan dengan lebih pantas melalui bantuan model bahasa besar (LLM) seperti ChatGPT, Claude dan Gemini.
Di Amerika Syarikat, Microsoft memperkenalkan ejen AI yang mampu membantu pengguna mengurus spreadsheet Excel atau dokumen Word secara automatik. Menurut McKinsey, pekerjaan seperti kemasukan data, kerja perkeranian, telepemasaran dan sokongan pelanggan antara yang paling terdedah kepada automasi AI.
Generasi Muda Paling Terkesan
Di Malaysia, generasi muda menjadi kumpulan paling terkesan oleh perkembangan ini. Setiap tahun, lebih 300,000 graduan dilahirkan — daripada peringkat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 hinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Namun, dua pertiga daripada graduan berijazah memperoleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. Dalam kalangan yang bekerja sendiri atau bergelar usahawan, termasuklah pemandu e-hailing, dua pertiga daripada mereka memperoleh kurang daripada RM2,000 sebulan. Malah, 75% daripada mereka meraih pendapatan di bawah RM3,000 sebulan, menurut data Kementerian Pendidikan Tinggi.
Fenomena ini tidak mengejutkan. Statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hanya 7,930 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan pada suku kedua 2025, penurunan sekitar 1,000 pekerjaan berbanding suku sebelumnya. Sebagai perbandingan, pada suku ketiga 2023, lebih 9,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dicipta.
Kini, hampir dua juta graduan Malaysia bekerja di bawah tahap kelayakan akademik mereka, satu keadaan yang dikenali sebagai skill-related underemployment, atau guna tenaga tidak penuh mengikut kemahiran.

“Internship” Berantai
Banyak majikan turut melaporkan bahawa graduan muda kini terpaksa menjalani latihan industri (internship) secara berulang kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap. Situasi ini menyebabkan ramai belia terus berada dalam kitaran kerja sementara tanpa jaminan untuk mendapat pekerjaan tetap.
Pekerjaan Popular
Menurut Institut Kajian Ekonomi dan Pasaran Buruh (ILMIA) di bawah Kementerian Sumber Manusia, permintaan tinggi kini tertumpu kepada profesional dalam bidang pengiklanan dan pemasaran.
Peranan seperti eksekutif jualan, pegawai pemasaran, pencipta kandungan (content creator) dan pempengaruh (influencer) semakin penting bagi perniagaan, kerana strategi pemasaran digital menjadi nadi utama dalam membina jenama dan meningkatkan jualan.
Hampir semua perniagaan kini mempunyai akaun di platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan Threads. Justeru, pemasaran kandungan (content marketing) semakin menjadi pilihan dalam strategi promosi perniagaan.
Pekerjaan Lenyap, Jurang Makin Melebar
Dengan penggunaan AI yang semakin meluas, banyak kerja peringkat kemasukan (entry-level) yang bersifat rutin dijangka lenyap. Syarikat-syarikat mungkin tidak lagi perlu menggajikan ramai pekerja, sebaliknya hanya membayar langganan perisian AI daripada syarikat teknologi gergasi.

Jika dahulu, Jabatan Sumber Manusia (HR) mungkin memerlukan hampir 10 orang bagi mengurus sub-bahagian seperti Talent & Culture, Remuneration, Industrial Relations dan Employer Branding. Kini mungkin hanya empat pegawai HR sudah pun mencukupi.
Pekerja bergaji tetap semakin terhimpit, manakala pemilik perisian dan modal teknologi menikmati keuntungan besar hasil langganan korporat.
Keadaan ini berpotensi melebar jurang pendapatan dan kekayaan, di mana sebahagian besar hasil ekonomi akan terus mengalir kepada pemilik modal, bukan kepada para pekerja.