Menonton filem hari ini menjadi lebih mudah kerana penonton tidak lagi perlu hadir ke panggung wayang atau membeli tiket.
Kandungan hiburan kini boleh diakses terus melalui platform penstriman dalam talian, membolehkan penonton memilih filem dan masa tontonan mengikut kesesuaian sendiri tanpa terikat kepada jadual tayangan atau lokasi fizikal.
Peralihan ini bukan sekadar didorong oleh kemunculan platform penstriman seperti Netflix dan Disney+, tetapi turut dipercepat oleh pandemik COVID-19 yang mengubah tabiat penonton.
Pandemik COVID-19 dan Perubahan Tabiat Penonton
Sebelum 2020, pawagam merupakan medium utama untuk menonton filem terbaharu. Namun, apabila pandemik melanda, pawagam di seluruh dunia terpaksa ditutup dan banyak rakaman filem ditangguhkan bagi mematuhi perintah kawalan pergerakan.
Keadaan ini menyebabkan kutipan box office global merosot dengan ketara. Dalam kegawatan itu, penstriman muncul sebagai saluran utama tontonan filem dan siri televisyen yang mempercepat peralihan penonton daripada pawagam kepada tontonan di rumah.
Pertumbuhan Penstriman dan Dominasi Netflix
Netflix muncul sebagai peneraju pasaran penstriman global, dengan pertumbuhan pesat sepanjang tempoh pandemik.

Pada tahun 2020 sahaja, platform ini merekodkan lebih 36 juta pelanggan baharu, susulan lonjakan permintaan hiburan atas talian apabila pawagam tidak lagi dapat beroperasi.
Model langganan Netflix menjana hampir US$39 bilion hasil pada 2024, jauh lebih tinggi berbanding US$25.5 bilion pada tahun 2020 susulan pertambahan langganan secara konsisten.
Pada masa yang sama, Netflix turut berkembang sebagai penerbit filem dengan melabur secara langsung dalam produksi berskala antarabangsa dan tempatan.
Antara filem-filem popular yang diterbitkan oleh Netflix Original adalah The Irishman arahan Martin Scorsese dan Don’t Look Up arahan Adam McKay yang turut dibintangi oleh Leonardo DiCaprio dan Jennifer Lawrence.
Di Malaysia, antara filem-filem keluaran Netflix Original adalah Pulang, filem drama keluarga arahan Kabir Bhatia.
Pendekatan ini membolehkan syarikat tersebut mengawal keseluruhan rantaian nilai, daripada pembiayaan hingga pengedaran, tanpa bergantung sepenuhnya kepada studio dan pawagam tradisional.
Disney+ pula memanfaatkan kekuatan francais sedia ada seperti Marvel dan Star Wars melalui strategi kandungan eksklusif.
Kedua-dua platform ini menunjukkan bagaimana pusat penjanaan nilai industri filem semakin beralih ke ruang digital.
Industri Pawagam Semakin Merundum?
Industri pawagam global tidak boleh dikatakan merosot sepenuhnya, tetapi sedang beroperasi dalam persekitaran yang lebih mencabar.
Filem berskala besar masih mampu memberi lonjakan sementara, namun kesannya terhad dan tidak mencukupi untuk menyokong keseluruhan ekosistem.
Masalah utama terletak pada struktur pasaran yang semakin tidak seimbang.
Pawagam kini lebih bergantung kepada segelintir filem blockbuster dengan bajet yang tinggi, manakala filem berskala sederhana dan kecil semakin terpinggir.
PPB Group, sebuah konglomerat utama Malaysia dengan perniagaan yang pelbagai, telah mencatatkan kemerosotan bagi segmen pameran dan pengedaran filem (Golden Screen Cinemas) terutamanya sepanjang tempoh 2020 hingga 2021 susulan penutupan pawagam dan sekatan operasi akibat pandemik.

Walaupun hasil pulih dengan ketara bermula 2022 dan kembali melepasi paras pra-pandemik pada tahun 2023, namun syarikat itu masih bergelut dalam mencatatkan keuntungan.
Keuntungan sebelum cukai Golden Screen Cinemas hanya RM3.7 juta pada tahun 2024, jauh lebih rendah berbanding RM66.8 juta pada tempoh sebelum Covid-19.
Dalam masa yang sama, penstriman atas menawar menawarkan fleksibiliti, kos yang lebih terkawal dan pilihan kandungan yang luas.
Bagi ramai penonton, pengalaman layar besar tidak lagi cukup menarik untuk mengimbangi harga tiket dan kekangan masa.
Meskipun penstriman tidak mematikan industri pawagam, tetapi ia telah mengubah tabiat penonton.
Pawagam kini semakin berfungsi sebagai ruang tontonan filem terpilih, manakala penstriman mengambil alih peranan sebagai medium tontonan harian.
Ada sebilangan penonton yang enggan ke pawagam atasan alasan jimat, kerana menantikan filem-filem tersebut untuk keluar melalui platform OTT.
Masa depan industri ini bergantung kepada sejauh mana pawagam mampu menyesuaikan diri budaya dan tabiat penonton. Ia juga akan bergantung tinggi terhadap pembikin-pembikin filem, kerana tanpa filem yang berkualiti tinggi, penonton tidak akan ke pawagam.
Pembikin-pembikin filem juga akan semakin tertekan dalam menghasilkan karya mereka, memandangkan efek bunyi, sinematografi dan jalan cerita perlu mencapai standard terbaik, bagi memastikan penonton tidak berasa kesal untuk membayar harga tiket untuk ke pawagam.
