Kekayaan 50 bilionair Malaysia terus mencatatkan peningkatan kekayaan susulan ekonomi yang semakin berkembang, pengukuhan nilai ringgit serta prestasi pasaran saham yang kukuh.
Menurut laporan Forbes, jumlah kekayaan kolektif 50 bilionair terkaya Malaysia dalam senarai 2026 meningkat hampir 16% kepada RM465.2 bilion, berbanding RM402.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, sebahagian besar kekayaan bilionair-bilionair ini disumbangkan melalui perusahaan yang terlibat dengan aktiviti rent-seeking. Menurut data Forbes yang diteliti oleh ER, 80% (RM466.6 bilion) aset bilionair ini datang dari daripada syarikat yang cenderung dengan kronisme.
Sementara itu, bilionair-bilionair yang berniaga di dalam sektor bukan kronisme hanya menyumbang 20% iaitu sekitar RM94.56 bilion.
Kekayaan Dan Kroni Kapitalisme
Kroni kapitalisme mungkin kedengaran agak asing tetapi tanpa disedari ia merupakan satu sistem yang telah lama wujud secara sistemik merentasi generasi.
Kroni kapitalisme merujuk kepada sistem ekonomi di mana kejayaan perniagaan tidak semata-mata bergantung kepada daya saing pasaran, tetapi dipengaruhi oleh hubungan rapat antara ahli perniagaan dan mereka yang berkuasa, terutamanya pemimpin-pemimpin politik.
Dalam sistem ini, kontrak, lesen, dan peluang ekonomi sering diberikan kepada pihak tertentu yang mempunyai ‘kabel’ politik, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan.
Menurut majalah The Economist, mereka menyenaraikan sembilan sektor yang sering dikaitkan dengan kronisme iaitu;
- Kasino dan Perjudian
- Sumber Asli
- Hartanah dan Pembinaan
- Kewangan dan Pelaburan
- Telekomunikasi
- Perladangan
- Pertahanan
- Pelabuhan
- Perlombongan
Sektor-sektor ini dianggap cenderung terhadap kronisme kerana kebenaran untuk menjalankan perniagaan-perniagaan ini seringkali memerlukan kelulusan daripada kerajaan, yang seringkali dikaitkan dengan elit politk.
Sebagai contoh di Malaysia, orang ramai tidak boleh sewenang-wenangnya untuk membuka kasino ataupun kedai nombor ekor, kerana ia memerlukan kebenaran daripada pihak kerajaan.
Begitu juga dengan sektor perbankan, pelabuhan, tenaga ataupun telekomunikasi, dimana hampir kesemua syarikat beroperasi secara konsesi daripada kerajaan.
Keuntungan-keuntungan yang dijana daripada perniagaan ini kemudiannya digunakan untuk merasuah elit politik, bagi memastikan kepentingan perniagaan mereka terus terjamin di masa hadapan.
Sektor lain dimana perniagaan perlu bersaing secara sengit, seperti industri peruncitan, teknologi, pembuatan ataupun F&B tidak dianggap sebagai sektor yang cenderung kepada kronisme, kerana kesemua orang bebas membuka perniagaan tanpa sebarang halangan daripada kerajaan.
Fenomena kroni kapitalisme bukanlah perkara baharu, khususnya di negara membangun. Kroni kapitalisme sering muncul dalam persekitaran di mana ketelusan dan tadbir urus masih lemah.
Akibatnya, kekayaan cenderung terkumpul dalam kalangan segelintir elit, manakala majoriti rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup dan peluang ekonomi yang terhad.

Peratus kekayaan yang dikaitkan dengan kroni kapitalisme berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan daripada 16% pada tahun 2014 kepada sekitar 21% pada tahun ini.
Keadaan ini memberi isyarat bahawa kekayaan di Malaysia diwujudkan melalui sektor perniagaan yang tidak inovatif, meskipun ekonomi Malaysia terus berkembang.
Malaysia Membina Kapitalisme Berasaskan Lesen Kerajaan
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai mendedahkan, kebanyakan syarikat kroni di Malaysia tertumpu kepada sektor seperti hartanah, konsesi dan utiliti yang bergantung kepada akses kerajaan serta pasaran tempatan yang dilindungi.
Menurut Barjoyai, struktur konglomerat di Malaysia lebih cenderung berasaskan hubungan kroni dan perlindungan domestik berbeza dengan negara seperti Korea Selatan yang berkembang melalui sektor pembuatan dan eksport global.
Keadaan itu menyebabkan risiko perniagaan lebih rendah kerana syarikat tidak perlu bersaing secara agresif di pasaran antarabangsa.
“ ‘Juara’ sering dipilih sebelum prestasi dibuktikan, dengan sokongan diberikan lebih awal tanpa jaminan hasil.
“Apabila gagal, tindakan tegas jarang diambil sebaliknya diselamatkan melalui bailout atau lanjutan konsesi,” ujarnya.
Tambahnya, kroni kapitalisme juga membantu Korea Selatan menjadi negara perindustrian yang berjaya. Namun begitu, kroni-kroni disana dipaksa untuk mencapai prestasi yang diinginkan, dengan mengeksport sebahagian besar produk mereka ke luar negara untuk terus mendapatkan sokongan daripada kerajaan.
Berbeza di Malaysia, kroni-kroni tetap akan menerima sokongan daripada kerajaan meskipun mereka gagal mencapai prestasi yang diharapkan.
Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi Edmund Terence Gomez mendakwa kroni kapitalisme bermula sekitar tahun 1982-1983 ketika era pemerintahan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelasnya, bekas Perdana Menteri itu mahu membangunkan satu kelas Bumiputera yang boleh menjadi penggerak ekonomi negara.
“Beliau memberikan banyak kontrak swasta kepada kumpulan kecil. Pada masa itu, kita masih ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu program sosioekonomi Malaysia untuk mengagihkan saham di dalam negara ini secara adil.
“Berdasarkan itu, Mahathir telah memberikan banyak kontrak kepada satu kumpulan kecil. Golongan itu merupakan yang pertama dianggap sebagai kroni kapitalisme di Malaysia,” ujarnya.
Impak Kroni Kapitalisme
Salah satu kesan paling ketara akibat kroni kapitalisme ialah jurang kekayaan yang semakin melebar.
Golongan elit yang mempunyai akses kepada penguasaan monopoli pasaran berupaya membina kekayaan dalam skala luar biasa, sekali gus memperkukuhkan pengaruh dan kuasa mereka dalam ekonomi serta politik.
Selain itu, di sesetengah negara, sistem tersebut juga mampu memberi impak kepada hala tuju pemerintahan apabila jutawan diberikan kuasa untuk mentadbir negara.
Contohnya, Amerika Syarikat (AS) mengangkat tokoh perniagaan seperti Donald Trump sebagai Presiden AS, sekali gus membuktikan kuasa korporat, populariti peribadi dan politik populisme boleh bergabung untuk mempengaruhi sokongan rakyat.
Di Asia Tenggara pula, sebelum diangkat sebagai Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra merupakan jutawan komunikasi membina empayar perniagaan menerusi Shin Corporation yang berkembang pesat dalam sektor telekomunikasi Thailand.
Thaksin mula memasuki politik pada 1994 apabila dilantik sebagai Menteri Luar Thailand sebelum memegang beberapa jawatan kabinet lain termasuk Timbalan Perdana Menteri.
Beliau kemudian menubuhkan parti Thai Rak Thai pada 1998 dan menjadi Perdana Menteri Thailand dari tahun 2001 sebelum digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006.
Kuasa Elit dan Kemerosotan Demokrasi
Selain itu, apabila golongan berkepentingan memiliki pengaruh kewangan yang terlampau besar, mereka berupaya mempengaruhi dasar awam, pembiayaan politik serta naratif media bagi melindungi kepentingan sendiri.
Di banyak negara termasuk Malaysia, media-media utama sering kali dimiliki oleh bilionair-bilionair, sekaligus menyebabkan mereka mampu mempengaruhi sentimen awam demi kepentingan mereka.
Keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan demokrasi apabila kuasa ekonomi mula tertumpu kepada segelintir elit yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan atau pemimpin politik.
Banyak derma-derma politik di Malaysia turut disumbangkan oleh bilionair.

Edmund Terence Gomez juga berpendapat jika berterusan, budaya kroni kapitalisme dikhuatiri memburukkan negara kerana risiko menghadapi isu proksi atau korupsi.
“Korupsi ini merupakan satu masalah yang sangat serius. Di Malaysia, bagaimana ahli-ahli perniagaan ini mendapat kontrak daripada kerajaan?
“Adakah daripada ‘open tender’ atau kerana mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan ketika itu,” katanya.
Tambahnya, sama ada kroni kapitalisme mendatangkan manfaat atau sebaliknya wajar dilihat mengikut konteks atau cara sesuatu polisi itu digerakkan.
Walaubagaimanapun, Terence mengakui ada kalanya layanan istimewa terhadap sekelompok ahli perniagaan tertentu boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara, seperti mana yang berlaku di Korea Selatan.
” Kita memerlukan ahli perniagaan yang dinamik kerana mereka memberikan sumbangan ekonomi bukan sahaja daripada pembangunan sektor tetapi turut memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini sangat penting. “
Tapi tegasnya, jika pelaksanaan itu tidak diuruskan dengan baik, ia kebiasaannya akan menjurus kepada masalah korupsi.
