Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sering dianggap sebagai tulang belakang ekonomi negara. Sektor ini bukan sahaja menjadi pemacu aktiviti keusahawanan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan hampir separuh daripada peluang pekerjaan di Malaysia.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi PMKS berkembang sebanyak 5.7%, dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 39.7%, berbanding 39.5% pada tahun sebelumnya.
Sumbangan kepada guna tenaga buruh pula kekal pada 48.7%.
Walaupun menunjukkan pertumbuhan positif, peningkatan ini masih belum boleh dianggap signifikan. Perubahan yang berlaku terlalu kecil untuk menggambarkan lonjakan daya saing PMKS Malaysia.
Puncanya terletak pada struktur sektor itu sendiri. Sebanyak 77% daripada PMKS di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro, iaitu syarikat yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM300,000 serta menggaji kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.
Dominasi perusahaan berskala kecil ini mengehadkan keupayaan PMKS untuk meningkatkan produktiviti, nilai tambah dan sumbangan kepada ekonomi negara.
Persoalannya, mengapa terdapat negara yang turut mempunyai jumlah PMKS yang tinggi tetapi mampu menyumbang jauh lebih besar kepada KDNK dan pekerjaan?
Nota: Definisi PMKS berbeza mengikut negara. Di Malaysia, perusahaan sederhana dan kecil ditentukan berdasarkan had jualan tahunan serta bilangan pekerja mengikut sektor ekonomi.
Apakah yang membezakan PMKS negara lain?
Perbandingan menunjukkan setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri bergantung pada struktur ekonomi masing-masing.
Indonesia mencatatkan sumbangan PMKS kepada pekerjaan yang paling tinggi, iaitu sekitar 97%. Keadaan ini sebahagiannya berpunca daripada definisi PMKS yang lebih luas. Kira-kira 98% PMKS di Indonesia terdiri daripada perusahaan mikro.
Menurut Survei Angkatan Kerja Nasional, seramai 87.74 juta pekerja atau 59.42% tenaga buruh negara bekerja dalam sektor tidak formal. Oleh sebab sebahagian besar pekerjaan tidak formal diklasifikasikan sebagai PMKS, sektor ini secara automatik menjadi penyumbang utama kepada peluang pekerjaan.
China pula mempunyai struktur yang berbeza. Menurut OECD, PMKS negara itu menyumbang sekitar 60% kepada KDNK. Kejayaan tersebut bukan semata-mata disebabkan jumlah PMKS yang banyak, tetapi kerana syarikat kecil dan sederhana di China diintegrasikan secara meluas dalam rantaian bekalan syarikat besar.
PMKS di China bukan sekadar menghasilkan produk sendiri, malah bertindak sebagai pembekal komponen, perkhidmatan dan teknologi kepada industri utama negara. Hubungan ini meningkatkan produktiviti, memperluaskan pasaran serta memperkukuh sumbangan mereka kepada ekonomi.
Mengapa PMKS di negara maju lebih berdaya saing?

Prestasi PMKS di negara maju jauh mengatasi kebanyakan negara membangun. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Borsa Istanbul Review, kelebihan tersebut berpunca daripada tiga faktor utama, iaitu akses pembiayaan, penggunaan teknologi dan pembangunan modal insan.
Pertama, PMKS di negara maju menikmati akses pembiayaan yang lebih mudah. Mereka tidak berdepan syarat pinjaman yang terlalu ketat serta mempunyai pelbagai pilihan pembiayaan dan pajakan bagi menyokong pengembangan perniagaan.
Kedua, penggunaan teknologi menjadi sebahagian daripada operasi harian. Pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), automasi serta pemasaran digital membolehkan produktiviti meningkat tanpa bergantung kepada pertambahan tenaga kerja semata-mata.
Ketiga, syarikat PMKS memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Mereka menggaji pekerja berkemahiran tinggi dan melaksanakan latihan secara berterusan bagi meningkatkan kecekapan serta inovasi.
Kesannya, PMKS di negara maju lazimnya mencatat sumbangan yang tinggi kepada KDNK dan pekerjaan.
Namun, Korea Selatan merupakan pengecualian yang menarik. Walaupun PMKS menyumbang sekitar 81% kepada pekerjaan, sumbangannya kepada KDNK hanya sekitar 39.3%. Hal ini kerana ekonomi Korea masih didominasi oleh kumpulan konglomerat atau chaebol seperti Samsung, Hyundai dan LG yang menguasai sebahagian besar nilai tambah ekonomi negara.
China pula menunjukkan bahawa PMKS mampu menjadi pemacu utama ekonomi apabila disokong oleh dasar perindustrian yang tersusun. Melalui pembangunan kluster industri seperti di Zhejiang, PMKS dapat mengeluarkan produk secara berskala besar, berkongsi ekosistem pengeluaran serta menembusi pasaran eksport. Malah, sekitar 60% eksport China disumbangkan oleh PMKS, menunjukkan sektor ini tidak hanya bergantung kepada permintaan domestik.
PMKS negara membangun: Di manakah kelemahannya?

Cabaran utama PMKS di negara membangun bukanlah kekurangan bilangan syarikat, tetapi kelemahan struktur ekonomi.
Sebahagian besar PMKS masih tertumpu kepada aktiviti perdagangan dan pengedaran semula produk berbanding menghasilkan barangan atau perkhidmatan bernilai tambah tinggi. Keadaan ini mengehadkan keupayaan mereka untuk meningkatkan produktiviti serta menjana keuntungan yang lebih besar.
Pada masa yang sama, penggunaan teknologi moden masih rendah. Banyak perusahaan bergantung kepada kaedah konvensional dalam pengurusan, pemasaran dan pengeluaran, sekali gus menyukarkan mereka untuk bersaing dalam pasaran yang semakin digital.
Dari sudut tenaga kerja pula, PMKS sering berdepan kadar pusing ganti pekerja yang tinggi. Ramai pekerja melihat pekerjaan di PMKS sebagai batu loncatan sebelum beralih kepada syarikat yang lebih besar. Akibatnya, majikan kurang terdorong untuk melabur dalam latihan dan pembangunan kemahiran pekerja kerana pulangan pelaburan tersebut sukar dikekalkan.
Gabungan faktor-faktor ini menyebabkan sumbangan PMKS kepada KDNK kekal rendah walaupun jumlah perusahaan sangat besar.
Indonesia bagaimanapun menunjukkan pengecualian. PMKS di negara itu menyumbang hampir 60% kepada KDNK. Selain jumlah PMKS yang tinggi, ekonomi Indonesia juga kurang didominasi oleh syarikat multinasional berskala besar. Oleh itu, aktiviti ekonomi lebih banyak digerakkan oleh perusahaan kecil dan sederhana berbanding syarikat korporat gergasi.
PMKS kekal sebagai komponen penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia. Namun, peningkatan bilangan perusahaan sahaja tidak memadai sekiranya majoritinya kekal berskala mikro dengan produktiviti yang rendah.
Pengalaman negara lain menunjukkan bahawa kejayaan PMKS bergantung kepada keupayaan mereka menghasilkan nilai tambah yang lebih tinggi, mengintegrasikan teknologi, memperoleh akses pembiayaan yang lebih baik serta menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri yang lebih besar.
Sekiranya Malaysia mahu ke persada global, tumpuan dasar tidak seharusnya hanya menambah jumlah perusahaan baharu. Sebaliknya, keutamaan perlu diberikan kepada usaha membantu perusahaan mikro berkembang menjadi perusahaan kecil dan sederhana yang lebih produktif, inovatif dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
