Transmile Group Berhad (Transmile) merupakan syarikat pegangan pelaburan yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara kargo, logistik, kejuruteraan serta penyelenggaraan pesawat.
Organisasi ini diasaskan oleh Gan Boon Aun pada November 1993 sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 27 Jun 1997.
Operasi utama kumpulan ini dijalankan melalui anak syarikatnya, Transmile Air Services Sdn Bhd, yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan kargo serta rangkaian logistik udara.
Syarikat itu berkembang pesat menerusi kontrak bersama syarikat logistik antarabangsa seperti DHL dan UPS, sekali gus menjadi antara saham kegemaran pelabur.
Sebelum ini, Transmile menampilkan imej sebagai sebuah syarikat yang kukuh dengan prestasi operasi, kewangan dan harga saham yang memberangsangkan.
Namun, hanya beberapa tahun kemudian, syarikat tersebut menjadi antara skandal korporat terbesar dalam sejarah pasaran modal negara.
Siapa Di Sebalik Pemilikan Transmile?
Berdasarkan rekod pegangan saham Transmile setakat 28 April 2006, struktur pemegang saham syarikat terdiri daripada pelabur tempatan dan asing.
Pemegang saham terbesar ialah Trinity Coral Sdn Bhd yang memiliki 19.5% kepentingan.
Trinity Coral Sdn Bhd bertindak sebagai entiti pemegang saham yang dikaitkan dengan Kuok Group, milik taikun Robert Kuok.
Pada Mac 2004, Kuok Group telah mengambil alih pegangan 28.5% dalam Transmile melalui Trinity Coral Sdn Bhd daripada Gan Boon Aun dan Khiudin Mohd dengan nilai RM282.5 juta.
Pada 28 April 2004, Transmile melantik mantan Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik (kini Tun Dr Ling Liong Sik) sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif syarikat.
Sementara itu, Gan Boon Aun yang sebelum ini memegang jawatan pengerusi merangkap pengarah eksekutif telah dilantik semula sebagai pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Transmile.
Antara pemegang saham utama lain pada ketika itu ialah Pos Malaysia Berhad dengan pegangan 17.3%, JPMorgan Chase (4.4%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (3.9%), GAP Ltd (3.9%), Goldman Sachs (3.4%) dan Gan Boon Aun sendiri (2.5%).
Pada tahun 2006, Transmile turut diiktiraf apabila disenaraikan antara 200 syarikat kecil hingga sederhana terbaik di Asia oleh majalah perniagaan antarabangsa, Forbes.
Transmile mengekalkan operasi penerbangan berjadual antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, selain menghubungkan Malaysia dengan beberapa negara seperti China, Thailand, India termasuk bandar-bandar utama di rantau Asia Pasifik.
Dengan rangkaian operasi yang semakin meluas, Transmile merekodkan peningkatan hasil dan keuntungan secara konsisten dari tahun 1998 hingga 2006.
Apa Yang Berlaku?
Transmile terus menunjukkan prestasi pendapatan dan keuntungan yang kukuh sekali gus memberi kesan positif terhadap harga saham syarikat berkenaan.
Namun, syarikat itu mula berdepan kemelut apabila terpalit dengan skandal kewangan pada tahun 2007.
Krisis tersebut bermula apabila Transmile gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran laporan kewangan tahunan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006 kepada Bursa Malaysia untuk tujuan penerbitan awam.
Mengikut Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat tersenarai diwajibkan mengemukakan laporan kewangan tahunan beraudit dalam tempoh tidak melebihi empat bulan selepas tamat tahun kewangan.
Tekanan terhadap syarikat meningkat apabila juruaudit luar syarikat, Deloitte & Touche, melalui surat kepada Lembaga Pengarah pada 4 Mei 2007, enggan meluluskan penyata tahunan Transmile berikutan kegagalan syarikat mengemukakan beberapa dokumen sokongan diperlukan.
Terdahulu pada Februari 2007, Lembaga Pengarah telah meluluskan keputusan kewangan tidak beraudit yang menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 80%.
Sementara itu, keuntungan bersih meningkat hampir dua kali ganda, manakala jumlah penghutang perniagaan melonjak kepada RM381 juta berbanding RM111 juta pada tahun 2005.
Susulan itu, Lembaga Pengarah baharu telah melantik juruaudit forensik, Moores Rowland Risk Management, untuk menjalankan audit khas terhadap akaun syarikat dan anak-anak syarikatnya selepas juruaudit luar membangkitkan isu berkaitan penyata kewangan Transmile.
Skandal Manipulasi Penyata Kewangan Tercetus
Laporan audit khas yang dijalankan oleh Moores Rowland Risk Management mendapati Transmile Group Berhad telah memanipulasi angka hasil dengan melonjakkan nilai jualan sebanyak RM622 juta bagi tempoh tahun kewangan 2004 hingga 2006.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM95 juta melibatkan tahun kewangan 2004, RM194 juta (2005) dan RM333 juta (2006).
Audit itu turut mendapati terdapat RM341 juta dalam akaun hartanah, loji dan peralatan yang tidak disokong oleh dokumen mencukupi.
Selain itu, pembayaran berjumlah RM55 juta pada penghujung 2006 dan RM134 juta antara Mac hingga April 2007 juga didapati tidak disokong oleh baucar pembayaran atau rekod yang lengkap.
Selepas 10 Tahun Perbicaraan, Bekas CEO Transmile Dipenjara 1 Hari
Pada 10 Julai 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas CEO Transmile, Gan Boon Aun, kerana mengemukakan penyata kewangan mengelirukan syarikat kepada Bursa Malaysia.
Sebaliknya, panel tiga hakim mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM2.5 juta terhadap Gan.
Mahkamah membenarkan rayuan Gan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 27 Ogos 2020.
Hakim Datuk Hadhariah yang membacakan keputusan mahkamah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi menaikkan hukuman penjara terhadap Gan adalah terbatal dan tidak sah kerana bercanggah dengan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum insiden ini berlaku, satu lagi kes terkenal ialah skandal Enron Corporation pada 2001.
Syarikat tenaga dari Amerika Syarikat itu menyembunyikan sejumlah besar hutang daripada penyata kewangannya.
Tindakan itu menyebabkan pemegang saham mengalami kerugian sebanyak $74 bilion mengakibatkan ribuan pekerja dan pelabur turut kehilangan simpanan persaraan mereka.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila kejatuhan syarikat tersebut menyebabkan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.
Manipulasi Penyata Kewangan Beri Implikasi Besar
Mungkin hukuman penjara satu hari dilihat ringan oleh sesetengah pihak, namun kesalahan memanipulasi penyata kewangan membawa kesan besar terhadap keyakinan pelabur dan integriti pasaran modal.
Kes seperti Transmile mengingatkan kepentingan ketelusan dalam tadbir urus korporat di samping keperluan untuk membuat semakan latar belakang sebelum melabur dalam mana-mana syarikat.
Keputusan pelaburan yang dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat boleh mendedahkan pelabur kepada risiko kerugian.
Justeru, sebelum menjalankan urusan perniagaan atau pelaburan, pastikan Check Dulu maklumat korporat seperti Profil Syarikat, Butiran Pemegang Saham, Penglibatan Peribadi (laporan penglibatan individu dalam syarikat) dan dokumen berkaitan melalui platform rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu MYDATASSM.
Akses kepada maklumat ini membantu pelabur mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung kedudukan sesebuah syarikat, termasuk prestasi dan rekod korporat, sebelum membuat keputusan.
Walaupun tiada pelaburan yang bebas risiko, langkah membuat semakan awal boleh membantu pelabur membuat keputusan yang lebih tepat dan meminimumkan risiko kerugian.


