Peranan Keluarga Sebagai Jaringan Keselamatan Kewangan Tambahan

Share it

Oleh: Nurlin Mohd Salleh, Managing Director and Partner, and Head of BCG Malaysia, dan Anis Mohd Nor, Partner, Boston Consulting Group (BCG)

Kestabilan kewangan sesebuah negara sering dinilai berdasarkan petunjuk makroekonomi, namun indikator ini tidak semestinya mencerminkan realiti di peringkat isi rumah. Di sebalik dinamik ekonomi semasa, institusi keluarga kekal berperanan sebagai jaringan keselamatan kewangan tidak rasmi yang utama bagi rakyat Malaysia.

Hal ini diteliti dalam Kajian MY Family: Understanding How Malaysian Families Make Decisions oleh Boston Consulting Group (BCG) yang melibatkan 1,500 responden di seluruh negara.

Dapatan menunjukkan bahawa lebih separuh daripada keluarga di Malaysia, iaitu 58% menggabungkan pendapatan bersama, manakala 57% pula menabung secara kolektif. Keadaan ini mencerminkan realiti bahawa penampan kewangan yang sebenar terletak pada institusi keluarga dan bukannya individu semata-mata.

Struktur keluarga utama di Malaysia terdiri daripada pelbagai generasi, iaitu keluarga yang merangkumi kanak-kanak serta orang tua dalam satu isi rumah. Struktur ini mewakili 37% daripada keseluruhan responden dengan golongan individu dewasa berada di antara dua tanggungjawab, atau lebih dikenali sebagai ‘generasi sandwich’, iaitu menjaga ibu bapa yang sudah tua, serta menanggung anak-anak yang masih memerlukan sokongan kewangan, perhatian dan didikan.

Dalam struktur ini, sebuah keluarga mampu mengukuhkan kedudukan kewangan dengan menggabungkan pendapatan dan simpanan secara kolektif, tetapi pada masa yang sama konsep ini turut mendedahkan keluarga kepada risiko kewangan yang lebih tinggi. Tanggungjawab mencari pendapatan dipikul oleh golongan dewasa dan walaupun orang tua turut membantu mengikut kemampuan, sebarang kejutan yang menimpa golongan dewasa seperti penyakit, kehilangan pekerjaan, atau perbelanjaan luar jangka mampu memberi kesan kepada kestabilan kewangan seluruh isi rumah.

Walaupun mekanisme perlindungan kewangan ini berdaya tahan, strukturnya yang tidak rasmi mewujudkan kekangan kerana tidak disokong oleh sebarang produk, dasar, dan infrastruktur.

Jaringan keselamatan kewangan keluarga masih rapuh

Namun demikian, penampan kewangan keluarga apabila berlakunya kecemasan berada pada tahap terjejas. Contohnya, hanya 27% keluarga berupaya menampung bil perubatan sebanyak RM5,000 tanpa perlu meminjam atau menggunakan insurans. Dapatan ini menandakan bahawa tiga daripada empat keluarga terdedah kepada risiko krisis kewangan.

Risiko ini tidak tertumpu kepada golongan B40, tetapi turut melanda golongan M40 yang dianggap stabil dari segi kewangan. Selain itu, dapatan turut menunjukkan bahawa tekanan kos sara hidup merupakan faktor utama yang mencetuskan tekanan kewangan dalam keluarga.

Ketidakstabilan ini sering kali tersembunyi daripada indikator rasmi ekonomi negara. Isu ini hanya terungkai apabila keluarga berkongsi secara langsung mengenai kejutan kewangan yang mampu ditampung. Apabila perkongsian tanggungjawab dan penampan kewangan semakin tipis, sebarang kejutan kewangan yang berlaku berupaya menggugat kestabilan seluruh isi rumah.

Asas institusi keluarga kian terhakis akibat peningkatan beban tanggungan

Perubahan demografi negara turut mencorakkan semula landskap kewangan keluarga. Kadar kesuburan negara telah menurun sehingga 1.6 anak bagi setiap keluarga, iaitu di bawah paras penggantian penduduk.

Pada masa yang sama, peningkatan jangka hayat menyebabkan ramai individu perlu menyara orang tua untuk tempoh jangka panjang, walaupun bilangan anak yang berkongsi tanggungjawab tersebut semakin berkurangan.

Jaring sokongan ini bergantung sepenuhnya kepada jumlah ahli keluarga yang bekerja untuk menyara keperluan tanggungan. Namun, perubahan demografi telah menyebabkan nisbah tersebut menjadi semakin tidak seimbang.

Trend ini secara tidak langsung memberi kesan kepada ‘generasi sandwich’ yang terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara ibu bapa dan anak-anak dengan kekangan kewangan yang semakin ketara. Lantaran itu, sistem sokongan kewangan yang sekian lama menjadi tunjang masyarakat kini berdepan dengan cabaran struktur yang semakin meruncing.

Kitaran kebergantungan kewangan antara generasi menjejaskan hari tua

Tinjauan mendapati bahawa sokongan kewangan dalam keluarga turut melibatkan kebergantungan antara generasi yang menjejaskan tahap kesiapsiagaan menghadapi hari persaraan.

Sebanyak 46% ibu bapa sanggup mengorbankan simpanan persaraan demi pendidikan anak, manakala 37% pula bersedia menanggung hutang untuk tujuan yang sama. Selain itu, kira-kira 60% keluarga merancang untuk membiayai keperluan penting menggunakan simpanan sendiri, berbanding instrumen kewangan seperti pelaburan atau insurans.

Keadaan ini mencerminkan kitaran berulang apabila golongan ibu bapa yang menghabiskan dana persaraan demi pendidikan anak-anak berisiko kembali bergantung dari segi kewangan apabila tua kelak. Situasi ini seterusnya mewujudkan rantaian kebergantungan kewangan antara generasi yang berterusan dan berpotensi menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka panjang.

Perbincangan dan pembangunan produk dan dasar perlu merangkumi struktur keluarga, peringkat hidup, dan lokasi, bukan hanya pendapatan

Berdasarkan kajian ini, konsep utama yang perlu diketengahkan ialah bahawa keutamaan sebuah keluarga, sama ada berpaksikan kepada perkara asas seperti kesihatan dan kestabilan kewangan, atau perkara aspirasi seperti pelancongan dipengaruhi terutamanya oleh struktur keluarga. Tahap pendapatan hanya mengubah keutamaan kewangan sesebuah keluarga sebanyak 3% sahaja. Sebaliknya, kehadiran anak dan tanggungjawab terhadap orang tua merupakan penentu utama yang mengubah keutamaan keluarga sebanyak 26%.

Hal ini lazimnya dapat dilihat pada dua keluarga yang mempunyai nilai pendapatan yang sama, namun menghadapi keperluan kewangan yang berbeza. Sebagai contoh, pasangan muda tanpa tanggungan anak mempunyai komitmen kewangan yang berlainan berbanding keluarga yang bertanggungjawab menjaga orang tua serta anak-anak. Isi rumah yang merangkumi keluarga asas dan pelbagai generasi berdepan tekanan kewangan tersendiri yang tidak dapat diukur melalui tahap pendapatan semata-mata.

Dapatan kajian turut mengenal pasti lokasi sebagai faktor yang mempengaruhi dinamik kewangan isi rumah. Keluarga yang tinggal di kawasan bandar mempunyai kecenderungan 13% lebih tinggi untuk tinggal sebumbung dalam struktur pelbagai generasi serta menggabungkan pendapatan akibat kos sara hidup yang tinggi.

Justeru, mekanisme sokongan harus bersifat bersepadu dengan mengambil kira tahap pendapatan, struktur keluarga, peringkat hidup, beban tanggungan, dan tahap urbanisasi bagi memastikan bantuan bersasar disalurkan secara efektif.

Menangani jurang risiko kewangan menerusi kerjasama strategik

Malaysia telah melangkah ke fasa masyarakat menua sejak 2021 dan dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030. Fenomena ini semakin meruncing berikutan penyusutan kadar kelahiran serta inflasi kos perubatan.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan BUDI95, kajian BCG mendapati bahawa usaha yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memperkasa institusi keluarga menerusi penglibatan sektor awam dan swasta.

Pelan MediAsas merupakan contoh utama yang menawarkan insurans mampu milik serta mengawal inflasi perubatan yang memberi peluang kepada keluarga Malaysia mendapatkan perlindungan kesihatan asas untuk setiap ahli. Inisiatif ini diterajui oleh pihak kerajaan dengan kerjasama syarikat insurans swasta, pengendali takaful, dan penyedia perkhidmatan kesihatan.

Langkah strategik ini memastikan pihak berkepentingan memainkan peranan bagi menjamin kesan yang berakar umbi. Walaupun kerajaan berfungsi sebagai penyelaras, sokongan daripada sektor swasta amat penting.

Hal ini demikian kerana sektor swasta bertindak sebagai pemacu melalui pembangunan produk berasaskan keperluan keluarga, penetapan harga perlindungan yang sesuai, serta penyediaan persekitaran kerja yang menyokong keselamatan kewangan.

Kerjasama rentas sektor ini bukan sekadar usaha sosial untuk meringankan kekangan kewangan, sebaliknya turut membuka peluang untuk menjana nilai komersial yang tinggi. Intipati yang harus ditegaskan ialah bahawa pasaran kewangan berasaskan keluarga masih belum diterokai sepenuhnya

Persoalan utama yang harus ditangani oleh pihak swasta dan Kerajaan adalah untuk merangka penyelesaian yang mencerminkan realiti kewangan yang dihadapi oleh setiap keluarga. Hanya melalui pendekatan ini, pihak berkepentingan mampu menguasai pasaran yang kurang diberi tumpuan oleh pesaing lain.

Penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Haris Mohd Zukki, (Ketua Projek, Boston Consulting Group) atas sumbangannya terhadap penerbitan artikel ini.