Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan satu perubahan yang perlu diberi perhatian dalam landskap pendidikan negara. Sejak 2022 hingga 2024, enrolmen pelajar di sekolah antarabangsa meningkat dengan ketara, pada kadar purata melebihi 21% setahun.
Pada 2024, seramai 106,160 pelajar mengikuti pengajian di sekolah antarabangsa, meningkat mendadak iaitu sebanyak 48% daripada 71,713 pelajar pada 2022.
Separuh daripada peningkatan (+17,038 pelajar) itu disumbangkan oleh peningkatan pelajar-pelajar warganegara, yang kini mencecah 67,821 orang. Manakala separuh lagi disumbangkan oleh kemasukan pelajar warganegara, yang kini mencecah 38,339 orang (+17,409 pelajar).

Dalam tempoh yang sama, enrolmen di sekolah kerajaan hanya berkembang sekitar 1% setahun, selari dengan perubahan demografi apabila populasi kanak kanak semakin mengecil. Bilangan pelajar di sekolah kerajaan hanya meningkat daripada 1.992 juta kepada 2.035 juta.
Perbezaan ini menunjukkan satu corak perubahan dalam cara sebahagian ibu bapa memilih pendidikan untuk anak mereka.
Titik Perubahan Pada 2012
Salah satu titik perubahan penting berlaku pada 2012.
Sebelum itu, pasaran sekolah antarabangsa di Malaysia agak terhad. Kerajaan menetapkan kuota tidak lebih 40% pelajar warganegara, sekali gus mengehadkan kemasukan pelajar tempatan.
Apabila sekatan tersebut dilonggarkan pada 2012, sekolah antarabangsa memperoleh akses kepada pasaran tempatan yang jauh lebih besar.
Kerajaan turut membuka ruang lebih luas kepada pemilikan asing dalam sektor pendidikan swasta.
Kesannya dapat dilihat melalui pertambahan bilangan sekolah.

Laporan NST yang diterbitkan pada tahun 2017 menyatakan bahawa Malaysia hanya mempunyai sekitar 66 sekolah antarabangsa pada tahun 2010. Menjelang 2016, jumlah itu meningkat kepada 126 buah.
Data terkini yang dikongsikan portal EduSwasta pula menunjukkan jumlah tersebut kini mencecah 256 sekolah.
Pertambahan ini menyebabkan semakin banyak sekolah antarabangsa, dengan yuran yang secara relatifnya lebih murah ditawarkan kepada ibu bapa.
Sekolah antarabangsa tidak lagi semata-mata menjadi tempat belajar untuk keluarga ekspatriat dan golongan paling kaya. Sebaliknya, ia semakin menjadi pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh isi rumah berpendapatan tinggi, termasuk keluarga profesional dengan pendapatan sekitar RM20,000 sebulan.
Di Puchong misalnya, terdapat sekolah antarabangsa yang menawarkan yuran sekitar RM12,000 setahun.
Ini bersamaan kira-kira RM1,000 sebulan sebelum mengambil kira kos tambahan lain.
Jumlah itu masih mahal bagi kebanyakan keluarga Malaysia. Namun, bagi isi rumah profesional berpendapatan tinggi, ia bukan lagi satu perbelanjaan yang mustahil untuk dibiayai. Yuran RM1,000 sebulan hanya bersamaan kira kira 5% daripada pendapatan isi rumah jika mereka berpendapatan sekitar RM20,000 sebulan.

Perubahan struktur keluarga mungkin turut memainkan peranan.
Saiz keluarga Malaysia semakin kecil, dengan pasangan hari ini secara purata mempunyai sekitar dua orang anak, berbanding generasi terdahulu yang mempunyai keluarga lebih besar.
Apabila bilangan anak berkurangan, ibu bapa mempunyai lebih banyak ruang untuk memperuntukkan perbelanjaan kepada pendidikan bagi setiap anak.
Namun, sekolah antarabangsa tetap mempunyai julat harga yang sangat luas.
Pada bahagian premium, yuran tahunannya boleh mencecah lebih RM100,000. Alice Smith School di Kuala Lumpur, misalnya mengenakan yuran yang mencecah RM120,000 setahun.
Adakah Kualiti Pendidikan Menjadi Punca?
Persoalan yang lebih besar ialah sama ada peralihan ini mencerminkan kebimbangan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan di sekolah kerajaan.
Bagi sesetengah ibu bapa, bahasa pengantar menjadi salah satu pertimbangan.
Penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan menyebabkan sebahagian keluarga memilih sekolah antarabangsa yang menggunakan Bahasa Inggeris dengan lebih meluas.
Terdapat juga ibu bapa yang mempersoalkan bagaimana masa pembelajaran diperuntukkan antara mata pelajaran.
Dalam satu jadual waktu Darjah Satu yang dilihat Ekonomi Rakyat (ER), mata pelajaran berkaitan Pendidikan Islam, termasuk Al Quran, Jawi, Tasmik serta Bahasa Arab, merangkumi 11 waktu seminggu.
Sebagai perbandingan, subjek-subjek STEM seperti Matematik dan Sains hanya diperuntukkan lapan waktu seminggu.
Dalam satu lagi jadual yang diteliti ER, Matematik dan Sains menerima sembilan waktu seminggu, berbanding 11 waktu bagi mata pelajaran berkait Pendidikan Islam.
Perbezaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan sesetengah ibu bapa mengenai keutamaan kurikulum sekolah kerajaan, khususnya bagi mereka yang mahu penekanan lebih besar diberikan kepada Matematik, Sains dan bidang berkaitan STEM.
Isu ini bukanlah sesuatu yang baru.
Pada 2021, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan kebimbangan bahawa sistem persekolahan negara memberi penekanan terlalu besar kepada pendidikan agama sehingga berpotensi memberi kesan terhadap masa depan pelajar.
Namun, keputusan menghantar anak ke sekolah antarabangsa tidak semestinya berpunca daripada penolakan terhadap kurikulum kebangsaan, kerana banyak juga sekolah-sekolah ini menawarkan kurikulum sama yang disusun oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Bagi sesetengah keluarga, pertimbangannya jauh lebih praktikal.
Seorang bapa yang ditemu bual ER, dan kini menghantar anaknya ke sebuah sekolah antarabangsa di Damansara, berkata kurikulum kerajaan bukan masalah utama baginya.
Sebaliknya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan keadaan sekolah di kawasan tempat tinggalnya, persekitaran pembelajaran serta lokasi.
Faktor penjagaan anak turut memainkan peranan.
Dengan sedikit bayaran tambahan, katanya, anaknya boleh berada di sekolah sehingga sekitar jam 6 petang, berbanding waktu persekolahan biasa yang berakhir sekitar jam 1 petang.
Bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja, fleksibiliti seperti ini begitu membantu dalam menguruskan masa seharian.
Apabila Keluarga Berpendapatan Tinggi Mempunyai Lebih Banyak Pilihan
Dua puluh tahun lalu, adalah sesuatu yang lazim untuk melihat anak pengurus kanan MNC, GLC atau syarikat swasta belajar bersama dengan anak daripada pelbagai latar belakang di sekolah kerajaan.
Sekolah kerajaan bukan sahaja menyediakan pendidikan, tetapi turut berfungsi sebagai salah satu ruang sosial yang menemukan kanak-kanak daripada latar belakang ekonomi yang berbeza.
Sekiranya semakin ramai keluarga berpendapatan tinggi beralih kepada sekolah swasta dan antarabangsa, fungsi tersebut semestinya akan berubah.
Anak daripada keluarga berada mungkin semakin banyak belajar dan membesar dalam persekitaran yang berbeza daripada anak-anak orang kebanyakan.
Jika perkara ini beterusan, ia akan membawa kepada pemisahan sosial yang lebih ketara dalam anak-anak golongan atasan dan mereka yang berada di bawah.
Trend Yang Wajar Diteliti
Peningkatan enrolmen sekolah antarabangsa tidak semestinya bermaksud keyakinan terhadap sekolah kerajaan sedang merosot.
Keputusan memilih sekolah boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk lokasi, kemudahan, bahasa pengantar, waktu penjagaan anak, persekitaran sekolah dan komposisi pelajar.
Bahkan, separuh daripada peningkatan itu disumbangkan oleh pelajar bukan wargangera.
Namun, apabila semakin ramai keluarga sanggup menanggung kos yang jauh lebih tinggi untuk mendapatkan alternatif kepada pendidikan awam, trend tersebut wajar diteliti dengan lebih mendalam.
Persoalan penting bagi pembuat dasar ialah apakah faktor utama yang mendorong perubahan ini.
Adakah ia berkaitan dengan persepsi terhadap kualiti akademik dan kurikulum? Adakah ibu bapa mahukan penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih meluas? Adakah kemudahan, saiz kelas dan persekitaran sekolah menjadi pertimbangan utama? Atau adakah ibu bapa kini lebih memilih terhadap pendidikan anak-anak mereka?
Jawapannya mungkin berbeza mengikut keluarga.
