Pengendali pelabuhan terbesar Malaysia, MMC Ports, bakal melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan DP World Asia Pasifik, Glen Hilton untuk menerajui kumpulan itu berkuat kuasa 1 Oktober 2026 menurut sumber korporat yang terlibat dalam sektor logistik.
Beliau akan menggantikan Datuk Azman Shah Mohd Yusof yang meninggalkan syarikat itu pada Julai lalu.
Pelantikan tersebut menyaksikan Glen kembali ke MMC Ports selepas pernah menerajui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sebagai CEO dari 2013 hingga 2016.
Selepas meninggalkan PTP, beliau menyertai DP World sebagai CEO dan Pengarah Urusan DP World Australia, sebelum dinaikkan pangkat untuk mengetuai operasi kumpulan itu di rantau Asia Pasifik, termasuk Australia dan Singapura.
Sumber memberitahu bahawa pelantikan Glen bertujuan untuk memacu usaha MMC Ports mengembangkan perniagaannya ke peringkat global.
Katanya, pengalaman Glen mengawasi operasi 16 terminal pelabuhan di rantau Asia Pasifik, khususnya kepakaran beliau dalam penerapan teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan operasi, merupakan antara faktor utama di sebalik pelantikannya.
Berita mengenai pelantikan beliau terlebih dulu dilaporkan oleh New Straits Times pada penghujung Ogos lalu.
Sebelum ini, Ekonomi Rakyat juga melaporkan bahawa MMC Ports memberi isyarat untuk melebarkan sayap ke peringkat global menerusi pelantikan tokoh industri logistik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Ahmed Sulayem, yang juga bekas eksekutif kanan DP World, sebagai Pengerusi Eksekutif kumpulan itu.
DP World merupakan antara pemain utama industri pelabuhan dan logistik dunia. Syarikat itu memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelabuhan Jebel Ali di Dubai sehingga muncul sebagai hab perdagangan dan logistik utama di Timur Tengah, sebelum mengembangkan rangkaian perniagaannya ke pelbagai pasaran antarabangsa.
Terdahulu, media turut melaporkan rancangan MMC Ports untuk melebarkan sayap perniagaannya ke Bangladesh.
Pada Jun lalu, pemilik MMC Ports, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur.
Selain Bangladesh, beberapa negara di Afrika dan Asia Tenggara turut dikatakan berada dalam radar MMC Ports sebagai pasaran berpotensi bagi memgembangkan perniagaan pelabuhan mereka.
