Kerajaan sering menekankan bahawa pasaran buruh Malaysia terus mengukuh, dengan kadar pengangguran kekal rendah dan penciptaan pekerjaan menunjukkan pemulihan. Namun, di sebalik angka positif itu, persoalannya ialah jenis pekerjaan apakah yang sebenarnya sedang diwujudkan?
Dapatan terbaharu LEGASI Research bertajuk Pekerjaan Bertambah, Tetapi Adakah Pekerjaan Itu Semakin Mahir? Meneliti Perubahan Corak Penciptaan Pekerjaan Mengikut Tahap Kemahiran di Malaysia, 2015–2025 menunjukkan pemulihan pasaran pekerjaan tidak bermakna lebih banyak peluang pekerjaan mahir diwujudkan.

Malah, bahagian pekerjaan mahir daripada keseluruhan pekerjaan baharu menurun daripada 41.7% pada 2015 kepada hanya 25.6% pada 2025, manakala pekerjaan separuh mahir semakin mendominasi. Jadi, ketika lebih banyak pekerjaan diwujudkan, mengapa peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja masih menjadi persoalan?
Sektor Semakin Kurang Mewujudkan Pekerjaan Mahir
Menurut Penyelidik LEGASI Research, Firdzan Yasin terdapat dua kemungkinan yang boleh menjelaskan penurunan bahagian pekerjaan mahir, iaitu penciptaan pekerjaan beralih kepada sektor yang mempunyai bahagian pekerjaan mahir lebih rendah atau sektor ekonomi sendiri semakin kurang mewujudkan pekerjaan mahir.
Bagaimanapun, analisis LEGASI Research mendapati penurunan itu bukan terutamanya disebabkan perubahan komposisi sektor. Sebaliknya, sektor ekonomi itu sendiri didapati semakin kurang mewujudkan pekerjaan mahir berbanding sedekad lalu.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada corak pelaburan, penggunaan teknologi dan keperluan tenaga kerja oleh firma mempengaruhi jenis pekerjaan yang diwujudkan, namun faktor-faktor tersebut memerlukan penelitian lanjut,” katanya.

Trend itu dapat dilihat merentasi sektor utama ekonomi. Seperti dalam sektor pembuatan, misalnya, bahagian pekerjaan mahir daripada pekerjaan baharu menurun daripada 45.2 % pada 2015 kepada 21.4% pada 2025. Dalam sektor perkhidmatan pula, bahagiannya menurun daripada 42.5% kepada 33.1% dalam tempoh yang sama.
Graduan Berdepan Ketidakpadanan Pekerjaan
Tambahannya lagi, perkembangan itu turut memberi kesan kepada tenaga yang kerja berpendidikan tinggi, khususnya apabila jumlah graduan terus meningkat tanpa pertumbuhan pekerjaan mahir yang sepadan.
Firdzan berkata, cabaran yang dihadapi graduan bukan sekadar mendapatkan pekerjaan, tetapi mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
“Maksud mudahnya begini. Kita mempunyai graduan dengan kelayakan tertiari seperti diploma dan ijazah sarjana muda, tetapi peluang pekerjaan mahir yang diwujudkan tidak berkembang seiring dengan pertambahan graduan,” jelasnya lagi.
Tambahnya, keadaan itu boleh menyebabkan sebahagian graduan mengambil pekerjaan yang tidak memerlukan tahap kelayakan mereka.

Dapatan LEGASI Research menunjukkan jumlah individu yang mengalami ‘skill-related underemployment’, iaitu pekerja berpendidikan tertiari yang bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah, meningkat daripada 1.40 juta pada 2018 kepada 2.06 juta pada tahun 2024.
Firdzan juga berkata, perkara ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada mereka bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kelayakan pendidikan mereka.
Risiko Kepada Produktiviti Dan Pendapatan
Menurut Firdzan, ketidakpadanan antara kelayakan tenaga kerja dan jenis pekerjaan yang tersedia turut membawa implikasi lebih luas kepada ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Apabila semakin ramai pekerja berpendidikan tinggi berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki tidak dapat digunakan secara optimum. Keadaan itu, berpotensi mengehadkan peningkatan produktiviti serta pulangan ekonomi daripada pendidikan.
“Malah, World Bank turut melaporkan bahawa pekerja berpendidikan tertiari yang bekerja dalam pekerjaan berkemahiran lebih rendah memperoleh gaji yang jauh lebih rendah berbanding mereka yang bekerja dalam pekerjaan sepadan dengan kemahiran mereka,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, jika peluang pekerjaan mahir tidak berkembang seiring dengan peningkatan kelayakan tenaga kerja, Malaysia berisiko berdepan cabaran untuk menterjemahkan pelaburan dalam pendidikan kepada pertumbuhan produktiviti dan pendapatan pekerja.
Graduan dan Pekerjaan Perlu Bergerak Seiring
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan International Labour Organization (ILOSTAT), 2025, jika dibandingkan dengan beberapa negara maju, bahagian pekerja mahir di Malaysia masih jauh lebih rendah. Pada 2025, pekerja mahir merangkumi 30.1% daripada keseluruhan guna tenaga Malaysia, berbanding Singapura (62.0%), United Kingdom (55.5%), Perancis (50.5%) dan Jerman (47.9%).
Jurang ini menunjukkan Malaysia masih mempunyai ruang yang besar untuk meningkatkan bahagian pekerja mahir dalam pasaran buruh. Dalam konteks itu, usaha mencapai sasaran 35% pekerja mahir menjelang 2030 bukan sekadar bergantung kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja, tetapi juga keupayaan ekonomi untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran tersebut.

Jelas Firdzan, kedua-dua aspek penawaran dan permintaan tenaga kerja perlu bergerak seiring bagi mencapai sasaran berkenaan.
“Dari sudut penawaran, tenaga kerja perlu dilengkapi dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan oleh industri. Namun, dari sudut permintaan, ekonomi juga perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir supaya kemahiran tersebut dapat digunakan sepenuhnya.
“Jadi, usaha meningkatkan bilangan pekerja mahir perlu bergerak seiring dengan keupayaan ekonomi untuk menyediakan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka,” katanya.
Katanya lagi, usaha meningkatkan bilangan pekerja mahir perlu bergerak seiring dengan keupayaan ekonomi untuk menyediakan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
Berdasarkan dapatan kajian, penelitian lanjut perlu diberikan terhadap faktor yang menyebabkan sektor ekonomi utama, khususnya pembuatan dan perkhidmatan, semakin kurang mewujudkan pekerjaan mahir.
Langkah itu penting bagi memahami perubahan dalam struktur penciptaan pekerjaan dan mengenal pasti usaha yang boleh meningkatkan peluang pekerjaan mahir di Malaysia.
