Kos mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia semakin meningkat. Pada tahun 2025, AON mengunjurkan inflasi kesihatan di Malaysia mencecah 15.0%.
Walaupun kos rawatan terus meningkat, keadaan ini tidak merencatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan kesihatan swasta.
Menurut Frost & Sullivan, industri hospital swasta berkembang pada kadar 8.4% setahun antara 2019 hingga 2024. Nilai industri ini dianggarkan mencecah RM24.9 bilion pada 2025 dan diunjurkan meningkat kepada RM44.7 bilion menjelang 2029.
Dari tahun 2024 hingga 2029, pertumbuhan tahunan dianggarkan melonjak kepada 15.1% setahun. IHH Healthcare, pengendali terbesar dalam sektor perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dengan hasil sebanyak RM4.9 bilion serta keuntungan selepas cukai sebanyak RM600 juta.
Sebuah lagi pemain utama, Sunway Healthcare, turut meraih perhatian pelabur apabila menjadi IPO terbesar dengan permodalan pasaran kini sekitar RM24 bilion.
Media turut melaporkan bahawa AsiaOne Healthcare, yang antaranya mengendalikan rangkaian hospital Columbia Asia, dijangka menuju ke IPO dalam masa terdekat.
Persoalannya, mengapa sektor kesihatan swasta semakin mendapat tempat di Malaysia meskipun kos rawatan semakin tinggi?
Salah satu faktornya ialah pengalaman pesakit.
Perkhidmatan kesihatan awam berdepan pelbagai kekangan, termasuk kekurangan doktor dan jururawat. Keadaan ini telah menjejaskan pengalaman pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan.
Masa menunggu yang panjang sering menjadi antara isu utama yang dihadapi pesakit. Pada masa yang sama, pertambahan penduduk saban tahun meningkatkan lagi tekanan terhadap sistem kesihatan awam.
Di Selangor umpamanya, nisbah doktor kepada pesakit mencecah 1:740, jauh melebihi sasaran Kerajaan sekitar 1:400.
Tekanan terhadap sistem awam ini menjadikan sektor swasta sebagai alternatif pilihan kepada pesakit yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkan rawatan di luar sistem Kerajaan.
Meskipun kos perkhidmatan kesihatan swasta agak mahal, sebahagian pesakit menggunakan insurans sebagai salah satu kaedah untuk mengagihkan beban kos rawatan.
Keadaan ini turut mendorong pertumbuhan pasaran insurans kesihatan. Laporan PAC menunjukkan bahawa pada 2024 sahaja, industri ini berkembang sebanyak 16.2% kepada RM2.6 bilion, lebih tinggi berbanding pertumbuhan industri insurans hayat dan kesihatan sebanyak 13.4%.
Dengan perlindungan insurans yang semakin meluas, hospital swasta merupakan antara pihak yang mendapat manfaat. IHH Healthcare di Malaysia umpamanya merekodkan keuntungan sebanyak RM600 juta, manakala KPJ dan Sunway Healthcare masing masing mencatatkan keuntungan sebanyak RM400 juta dan RM200 juta.
Laporan Bank Negara Malaysia turut menunjukkan peningkatan ketara dalam tuntutan insurans kesihatan. Pada 2018, terdapat hanya 11 tuntutan bagi setiap 100 pemegang polisi. Dalam tempoh lima tahun, angka itu meningkat kepada 25 tuntutan.
Peningkatan ini turut memberi tekanan kewangan terhadap industri insurans kesihatan di Malaysia. Malah, segmen insurans kesihatan merupakan satu-satunya segmen yang menyaksikan syarikat insurans merekodkan kerugian.
Pada separuh pertama tahun lalu, segmen ini dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM23 juta meskipun kutipan premium meningkat 6.5%, menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Kerajaan Pemegang Saham Utama Syarikat-Syarikat Hospital Swasta
Kerajaan mengakui bahawa isu berkaitan insurans kesihatan dan perkhidmatan kesihatan swasta merupakan cabaran yang perlu ditangani. Ketika ini, Bank Negara Malaysia bersama industri insurans sedang menjalankan fasa rintis bagi membangunkan MediAsas.
Salah satu usahanya bagi membolehkan insurans kesihatan mampu dimiliki dengan kadar yang lebih mampu milik.
Meskipun Kerajaan berusaha menangani masalah tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan sendiri mempunyai kepentingan dalam ekosistem kesihatan swasta.
Sebahagian besar pelabur utama dalam syarikat kesihatan swasta merupakan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Lebih 40% pegangan dalam IHH Healthcare dimiliki oleh Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad dan Tabung Haji.
Di KPJ pula, hampir 70% pegangannya dimiliki oleh GLIC dan JCorp, perbadanan milik Kerajaan Negeri Johor.
Keadaan yang hampir serupa dapat dilihat dalam sektor insurans apabila banyak institusi kewangan turut mempunyai pemilikan berkaitan Kerajaan.
Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kuatnya insentif Kerajaan untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan awam.
Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia menerima peruntukan sebanyak RM46.5 bilion, bersamaan kira kira 2.2% daripada saiz ekonomi. Beberapa gabungan kesihatan mendesak Kerajaan supaya peruntukan kesihatan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 4.0% daripada KDNK.
Dalam erti kata lain, sekiranya sasaran tersebut mahu dicapai, Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya sekitar RM90 bilion bagi tahun 2027, lebih sekali ganda berbanding peruntukan tahun ini.



