Taman Tema – Nampak Riuh, Tapi Sejauh Mana Keuntungan Bisnes Ini?

Share it

Jika melancong ke Hong Kong, Disneyland sudah semestinya menjadi antara destinasi wajib untuk dikunjungi.

Begitu juga jika ke Osaka, Jepun. Universal Studios Japan (USJ) menjadi antara lokasi utama pelancong, khususnya dengan pelbagai permainan dan tarikan yang dibangunkan berasaskan filem serta karakter popular.

Di Malaysia, kita mungkin tidak mempunyai taman tema segah Disneyland atau USJ. Namun, antara yang paling hampir ialah LEGOLAND, yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.

Tidak jauh dari situ, di seberang Tambak Johor, terletaknya Universal Studios Singapore (USS).

Namun, di sebalik jutaan pengunjung yang datang setiap tahun, persoalannya adalah, sejauh mana tarikan ini menyumbang kepada keuntungan perniagaan?

Apabila kita melihat angka di sebalik kejayaan beberapa taman tema, kita boleh menganalisis prestasi dan pertumbuhan perniagaan mereka dengan lebih dekat. Menariknya, jumlah pengunjung bukan satu-satunya ukuran yang menunjukkan sejauh mana sesebuah taman tema itu berjaya.

Taman tema seperti Disneyland dan Universal Studios mempunyai satu kelebihan besar iaitu penggunaan harta intelek atau intellectual property (IP) yang sudah dikenali di seluruh dunia.

Permainan dan tarikan yang ditawarkan bukan sekadar roller coaster atau permainan biasa, sebaliknya dibina berdasarkan filem dan karakter yang sudah mempunyai jutaan pengikut.

Universal Studios misalnya menggunakan IP seperti Transformers, Jurassic Park dan Minions untuk membangunkan konsep dan tema permainan yang sukar ditawarkan oleh taman tema biasa.

Namun, bukan semua taman tema dibangunkan menggunakan model sebegini.

Di Malaysia, terdapat beberapa taman tema yang lebih bergantung kepada tarikan tersendiri dan pasaran tempatan. Antaranya Sunway Lagoon, Berjaya Times Square Theme Park, Genting SkyWorlds dan Lost World of Tambun.

Walaupun mungkin tidak mempunyai skala sebesar USJ atau Disneyland, taman-taman tema ini masih mampu menjadi tarikan kepada jutaan pengunjung.

Menariknya, kebanyakan taman tema utama di Malaysia juga mempunyai satu persamaan. Ia dimiliki atau berada dalam ekosistem konglomerat yang lebih besar.

Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun misalnya berada di bawah ekosistem Sunway Group. Berjaya Times Square Theme Park pula dimiliki oleh Kumpulan Berjaya, manakala Genting SkyWorlds menjadi salah satu tarikan apabila orang naik ke Genting.

Persoalannya, kenapa taman tema sering menjadi sebahagian daripada ekosistem perniagaan yang lebih besar?

Jawapannya mungkin terletak pada ekonomi bisnes taman tema itu sendiri.

Kos Operasi Taman Tema Sangat Tinggi

Membina taman tema memerlukan modal yang besar. Kos membina LEGOLAND dilaporkan mencecah RM720 juta. Manakala kos pembinaan Malaysia Animated Park Studios (MAPS) di Perak pula menelan belanja RM600 juta.

Tetapi cabaran sebenar tidak terhenti selepas taman tema tersebut siap dibina.

Kos untuk memastikan ia terus beroperasi juga tinggi.

Taman tema memerlukan tenaga kerja yang ramai, daripada operator permainan, juruteknik dan jurutera sehinggalah kepada pegawai keselamatan, pekerja pembersihan dan kakitangan F&B.

Ketika musim cuti sekolah dan perayaan, bilangan pekerja mungkin perlu ditambah bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung.

Dalam erti kata lain, sebahagian besar kos ini tetap perlu ditanggung walaupun jumlah pengunjung pada sesuatu hari tidak mencapai sasaran.

Selain tenaga kerja, penyelenggaraan dan keselamatan juga memerlukan perbelanjaan yang besar.

Permainan seperti roller coaster perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala bagi memastikan keselamatan pengunjung. Kerosakan teknikal bukan sahaja boleh menyebabkan permainan terpaksa ditutup sementara, malah berpotensi menjejaskan reputasi keseluruhan taman tema.

Bagi perniagaan yang berisiko seperti ini, keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan perlu diutamakan kerana sebarang insiden boleh memberikan kesan yang buruk kepada jenama dan reputasi syarikat.

Itu belum mengambil kira kos utiliti, pemasaran, insurans, penggantian peralatan serta keperluan memperkenalkan tarikan baharu dari semasa ke semasa.

Hasil Ratusan Juta, Belum Tentu Untung

Berdasarkan data dari MYDATASSM, prestasi kewangan beberapa taman tema utama di Malaysia menunjukkan bahawa menjana hasil yang besar tidak semestinya menjamin keuntungan.

Prestasi kewangan LEGOLAND Malaysia dari tahun 2021 hingga 2025

LEGOLAND Malaysia misalnya merekodkan hasil sekitar RM191 juta pada tahun lalu. Namun, syarikat tersebut masih mencatatkan kerugian selepas cukai sekitar RM6 juta.

Kerugian terkumpulnya pula mencecah sekitar RM238 juta sejak mula beroperasi.

Situasi hampir sama dapat dilihat pada Sunway Lagoon.

Data terkini menunjukkan taman tema tersebut mencatatkan hasil sekitar RM155 juta, tetapi merekodkan kerugian sekitar RM46 juta.

Prestasi kewangan Sunway Lagoon dari tahun 2021 hingga 2025

Namun, prestasi satu tahun tidak semestinya menggambarkan keseluruhan keadaan perniagaan Sunway Lagoon.

Antara tahun 2022 hingga 2024, Sunway Lagoon sebenarnya merekodkan keuntungan sekitar RM13 juta hingga RM32 juta setahun.

Ini menunjukkan bahawa taman tema boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan. Tetapi prestasinya boleh berubah dengan ketara bergantung kepada jumlah pengunjung, perbelanjaan operasi dan keadaan ekonomi.

Sunway Lagoon juga mempunyai satu kelebihan yang sukar ditiru oleh taman tema lain.

Ia terletak di tengah-tengah Lembah Klang dan menjadi sebahagian daripada ekosistem Bandar Sunway yang mempunyai pusat beli-belah, hotel dan universiti.

Lokasinya juga membolehkan taman tema tersebut menarik bukan sahaja keluarga dan pelancong, tetapi juga syarikat korporat yang mahu mengadakan program team building dan pelbagai acara korporat yang lain.

Dalam konteks ini, taman tema bukan sekadar satu destinasi yang berdiri sendiri.

Ia menjadi salah satu komponen dalam ekosistem perniagaan yang lebih besar.

MAPS – Projek Gajah Putih

Jika Sunway Lagoon menunjukkan bagaimana ekosistem boleh membantu sesebuah taman tema, kisah Movie Animation Park Studios di Perak pula menunjukkan apa yang boleh berlaku jika taman tema dibangunkan secara silo.

MAPS dibina dengan kos sekitar RM600 juta dan pada suatu ketika dahulu, ia dianggap bakal menjadi antara tarikan pelancongan utama di Perak.

Taman tema tersebut dibangunkan oleh Animation Theme Park Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama yang majoritinya dimiliki oleh anak syarikat Perak Corporation Berhad bersama beberapa pemegang saham lain.

Pada peringkat awal, MAPS turut merancang untuk membawa IP daripada DreamWorks, termasuk karakter popular seperti Shrek dan Kung Fu Panda.

MAPS akhirnya dibuka secara rasmi pada Jun 2017, dengan harga tiket sekitar RM114 hingga RM152.

Namun, jumlah pengunjung yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Laporan media ketika itu pernah melaporkan bahawa MAPS hanya menerima sekitar 200 pengunjung dalam sehari, jumlah yang terlalu kecil bagi sebuah taman tema berskala besar dengan kos operasi yang tinggi.

Akhirnya, selepas hanya sekitar 31 bulan beroperasi, MAPS menutup pintu untuk selama-lamanya pada Januari 2020.

Keadaan ini menunjukkan bertapa ganasnya industri taman tema di Malaysia.

Tapak bekas MAPS kemudiannya melalui proses lelongan sebelum dibeli oleh syarikat berkait IGB Group.

Nampak Meriah, Tapi Tak Mudah

Dalam perniagaan, apa yang nampak meriah diluar tidak semestinya menceritakan keadaan sebenar didalam. Selain dari mengukur kejayaan sesebuah perniagaan khususnya Taman Tema dari segi pengunjung dan kemeriahannya, kita juga harus melihat cerita sebenar berdasarkan data dan angka yang terhasil dari operasi perniagaan tersebut.