Tak Perlu Ke Universiti Untuk Bawa Syarikat Ke IPO

Share it

Ijazah sering dianggap sebagai tiket menuju kejayaan. Namun, kisah di sebalik beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia menunjukkan bahawa kejayaan dalam dunia perniagaan tidak semestinya bermula di universiti. Pendidikan tinggi sering dilihat sebagai laluan utama untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, pendapatan yang tinggi dan kehidupan yang lebih terjamin.

Sebaliknya, mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti sering dianggap mempunyai prospek masa depan yang lebih suram. Tanpa segulung ijazah, peluang untuk memperoleh pendapatan tinggi juga dikatakan lebih terbatas.

Namun, adakah kelayakan akademik semata-mata menentukan sejauh mana seseorang mampu mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan? Hakikatnya, terdapat usahawan yang hanya berpendidikan sehingga peringkat sekolah menengah, tetapi berjaya membina perniagaan bernilai ratusan juta ringgit, malah membawa syarikat mereka ke Bursa Malaysia. Kejayaan mereka menafikan tanggapan bahawa pendidikan tinggi merupakan satu-satunya jalan untuk membina kejayaan dalam kehidupan.

Daripada Bangku Sekolah Ke Bursa Malaysia

Menariknya, latar belakang pendidikan beberapa pengasas dan pemilik syarikat yang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia pada tahun 2026 menunjukkan bahawa kelayakan universiti bukanlah syarat utama untuk membawa perniagaan ke skala yang lebih tinggi. Analisis ini merangkumi 20 syarikat terpilih yang disenaraikan di Bursa Malaysia, terdiri daripada enam syarikat di Pasaran Utama dan 14 syarikat di Pasaran ACE.

55% pengasas syarikat yang baru disenaraikan di Malaysia tidak melanjutkan pengajian ke universiti.

Berdasarkan data yang dikumpulkan Ekonomi Rakyat, kira-kira 55% daripada pemilik syarikat yang berjaya melaksanakan IPO hanya mempunyai pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah.

Antaranya termasuklah Ong Boon Leng daripada Hock Soon Capital Berhad, Nicole Lim dan Jordan Tan daripada Empire Premium Food Berhad, Dato’ Seri Ong Kean Lee daripada MTT Shipping and Logistics serta Tan Lee Kueng daripada Teamstar Berhad.

Lebih menarik, rekod Ekonomi Rakyat menunjukkan bahawa purata nilai pasaran syarikat yang disenaraikan oleh golongan tanpa pendidikan tinggi ini mencecah RM505 juta. Sebagai perbandingan, purata nilai pasaran syarikat yang disenaraikan oleh pemilik berpendidikan tinggi pula adalah sekitar RM2.24 bilion.

Namun, angka tersebut turut merangkumi Sunway Healthcare, sebuah syarikat serpihan daripada Sunway Group yang mempunyai skala perniagaan jauh lebih besar. Apabila Sunway Healthcare dikecualikan daripada pengiraan, purata nilai pasaran kumpulan ini menyusut kepada hanya RM429 juta, lebih rendah berbanding RM505 juta yang dicatatkan oleh syarikat milik pengasas tanpa pendidikan tinggi.

Purata permodalan pasaran syarikat baru yang tersenarai di Malaysia adalah sekitar RM1.3 bilion.

Data ini menarik kerana ia menunjukkan bahawa ketiadaan ijazah tidak semestinya mengehadkan keupayaan seseorang usahawan untuk membina perniagaan bernilai ratusan juta ringgit. Walaupun tidak memiliki kelayakan universiti, mereka berjaya mengembangkan perniagaan dalam industri masing-masing sehingga mencapai skala yang membolehkan syarikat disenaraikan di pasaran saham, suatu pencapaian yang menuntut rekod kewangan dan prestasi perniagaan yang kukuh.

Apa Rahsia Kejayaan Mereka?

Data semata-mata tidak mampu menjelaskan rahsia di sebalik kejayaan usahawan ini sehingga berjaya membawa syarikat masing-masing ke Bursa Malaysia. Namun, terdapat satu perkara yang wajar diperhalusi, iaitu masa. Kebanyakan syarikat ini bukanlah perniagaan yang baru ditubuhkan dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan. Sebaliknya, ada antaranya telah beroperasi selama beberapa dekad sebelum berjaya disenaraikan di pasaran saham.

Hock Soon, misalnya, telah beroperasi sejak tahun 1979, hampir 47 tahun lamanya. Bayangkan, berapa ramai antara kita yang sanggup mengusahakan perniagaan penternakan ayam yang tidak seksi, selama lebih empat dekad, mengharungi pelbagai cabaran industri, sebelum akhirnya berjaya mencatatkan hasil tahunan mencecah RM150 juta?

Begitu juga dengan MTT Shipping and Logistics serta SBS Nexus yang telah beroperasi sejak tahun 1963 dan tahun 2003. Manakala sejarah perniagaan ISF Group bermula sejak tahun 1981. Lebih menarik, perniagaan Guan Huat Seng bermula lebih awal lagi, iaitu sekitar tahun 1930-an, sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Empire Premium, iaitu pengendali Empire Sushi pula memulakan syarikat pada tahun 2010 lagi.

Kisah syarikat ini memperlihatkan bahawa kejayaan dalam perniagaan bukanlah sesuatu yang semestinya berlaku dalam tempoh singkat. Di sebalik nilai pasaran yang mencecah ratusan juta ringgit, terdapat perjalanan perniagaan yang panjang, pengalaman yang terkumpul selama puluhan tahun serta keupayaan untuk terus bertahan dan berkembang.

Perlukah Kita ke Universiti?

Dapatan ini sama sekali tidak bermaksud bahawa pendidikan universiti tidak mempunyai nilai. Ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian tinggi sememangnya memberikan kelebihan dan nilai tambah kepada mereka yang melaluinya.

Namun, kejayaan dalam dunia perniagaan tidak semestinya ditentukan oleh berapa banyak gred A yang diperoleh dalam peperiksaan atau setinggi mana CGPA seseorang. Sebaliknya, dunia keusahawanan turut menuntut kegigihan, ketekunan, pengalaman serta kefahaman mendalam tentang selok-belok menjalankan perniagaan.

Kisah usahawan ini juga membawa satu mesej penting, khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti. Masa depan seseorang tidak semestinya tertutup atau menjadi suram hanya kerana mereka tidak memiliki segulung ijazah.

Analisis ini menunjukkan bahawa pencapaian akademik bukanlah satu-satunya penentu kejayaan dalam perniagaan. Malah, dalam kalangan syarikat tersebut, mereka yang tidak memiliki pendidikan tinggi tetap mampu membina perniagaan dengan nilai pasaran yang setanding, malah dalam keadaan tertentu lebih tinggi, berbanding syarikat yang diterajui pemilik berpendidikan universiti.

Akhirnya, ijazah mungkin membuka pintu kepada pelbagai peluang. Namun, dalam dunia perniagaan, keupayaan untuk bertahan, belajar daripada pengalaman dan melakukan adaptasi terhadap perubahan zaman juga penting dalam membawa perniagaan ke peringkat seterusnya.