Akses Pembiayaan PKS Harus Berkualiti, Bukan Hanya Pentingkan Kuantiti

Share it

Malaysia berisiko ketinggalan dalam inovasi, perluasan skala, pekerjaan bernilai tinggi dan produktiviti negara yang lebih kukuh jika Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) terus berdepan isu akses pembiayaan. 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah berkata, apabila sesebuah perusahaan tidak dapat mengakses pembiayaan bagi pelaburan berinovasi, jangka panjang atau tidak ketara, kos yang sebenar telah menjangkau perusahaan itu sendiri. 

Merujuk Laporan From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs oleh Kumpulan World Bank, Akmal berkata PKS membiayai kira-kira dua daripada tiga pelaburan aset tetap mereka menggunakan dana sendiri.  

“Pembiayaan daripada institusi luar masih amat bergantung terhadap hutang bank, sementara ekuiti dan pilihan permodalan berisiko lain adalah terhad.  

“Manakala cagaran konvensional yang sering tertumpu terhadap tanah dan bangunan boleh menyebabkan kerugian kepada perusahaan yang asetnya merangkumi jentera, perisian, akaun belum terima (receivable) dan kemahiran teknikal.  

“Sedangkan, aset-aset ini adalah sangat penting untuk perusahaan berkembang dalam ekonomi moden yang semakin produktif,” katanya hari ini.  

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Malaysia Economic Monitor (MEM) ke-33 di Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB), Kuala Lumpur diiringi Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah. 

Memetik laporan sama keluaran April lalu, Akmal berkata pembiayaan pihak bank hanya menyumbang kira-kira 28% bagi pelaburan tetap dalam kalangan PKS, berbanding kira-kira 50% untuk perusahaan besar. 

Jelasnya, perbandingan itu menggariskan keperluan untuk meneliti semula aturan pembiayaan samada ia cukup responsif terhadap perusahaan yang berpotensi, bukan sekadar mengukur ketersediaan kredit (credit availability).   

Sementara itu, beliau berkata negara telah mencapai kemajuan penting dalam meluaskan akses kredit bank untuk PKS.  

Berdasarkan laporan, Akmal berkata kira-kira 38% perusahaan membuat pinjaman atau mempunyai kemudahan kredit, manakala kadar kelulusan pinjaman meningkat daripada 68% pada tahun 2015 kepada 86% pada tahun 2024. 

“Pencapaian ini mencerminkan usaha Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan dan agensi awam. 

“Namun, jumlah akses keseluruhan itu tidak bermakna setiap perusahaan, khususnya yang lebih kecil atau berasaskan inovasi, berupaya memperoleh pembiayaan yang sesuai.  

“Maka, langkah seterusnya bukan sahaja menitikberatkan kuantiti, namun menekankan kualiti agar PKS dapat mengakses pembiayaan yang menyokong keperluan pelaburan mereka dan mencapai produktiviti yang lebih tinggi,” katanya.