Bisnes ‘Highway’ Lubuk Emas?
Penahanan pengurusan kanan Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu telah membuka mata orang ramai terhadap lompong di dalam industri lebuh raya negara.Â
Kes yang dikaitkan dengan projek sambungan Lebuhraya Maju Expressway II (MEX II) itu menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus, pengurusan dana dan keberkesanan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
Sahid berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM116.6 juta daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan. Antara dakwaan dibangkitkan termasuk kelewatan menyiapkan projek dan penggunaan dana sukuk yang didakwa tidak mengikuti tujuan asal.Â
Sahid ketika ini merupakan pemegang konsesi lebuhraya MEX, yang mempercepatkan perjalanan di antara Sepang dan lokasi utama di KL.
Bermula Tahun 1966
Meskipun berdepan pelbagai isu dan cabaran, industri lebuh raya masih dianggap antara sektor infrastruktur paling bernilai di negara ini, dan menjadi rebutan banyak pihak.
Industri ini bermula pada tahun 1966 apabila lebuh raya bertol pertama negara, Lebuh Raya Tanjung Malim-Slim River telah dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) diikuti pelaksanaan kutipan tol sebelum tamat pada tahun 1994, selepas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) siap dibina.
Lama-kelamaan lebih banyak perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan termeterai dan secara tidak langsung mewujudkan model perniagaan yang mampu menjana pendapatan berulang dalam tempoh panjang.
Namun, adakah perniagaan lebuh raya masih mampu membawa keuntungan?Â
Jumlah Pemilikan Kereta Malaysia Tinggi
Setakat 2023, jumlah pemilikan kereta berdaftar di Malaysia bersamaan dengan 495 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk, kadar yang tinggi berbanding negara-negara lain.
Kadar itu mengatasi negara-negara maju seperti Singapura dengan hanya 114 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk. Malah, Malaysia jauh mengatasi negara berpopulasi tinggi seperti Korea Selatan (421).
Di Amerika Syarikat pula, sebanyak 296 buah kereta direkodkan bagi setiap 1,000 penduduk manakala di Turki mencatatkan 186 buah kereta.
Dengan penggunaan mod pengangkutan awam yang hanya sekitar 25%, jauh lebih rendah berbanding Singapura (67%), Tokyo (73%) dan Korea Selatan (63%), ramai yang memilih untuk memandu sekali gus menyumbang kepada kesesakan trafik di lebuh raya utama negara.

Bahkan, jumlah pendaftaran kereta baru (~800,000 unit) di Malaysia jauh melebihi bilangan kelahiran bayi (~400,000 bayi), menunjukkan betapa obsesnya negara ini dengan pemilikan kereta.
Lebuh Raya Terima Pengguna Konsisten Setiap Hari
Lebuh raya utama seperti PLUS, Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sungai Besi–Ulu Kelang Expressway (SUKE) dan Lebuhraya Utara–Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menerima ratusan ribuan pengguna setiap hari.Â
Berbeza dengan model perniagaan lain yang bergantung kepada musim atau sentimen pengguna, bisnes lebuh raya mempunyai permintaan lebih konsisten kerana rakyat Malaysia menggunakan jalan raya sebagai mod pergerakan utama.Â
Mampu Jana Pendapatan Berulang Dalam Jangka Panjang?

Salah satu kekuatan utama bisnes lebuh raya ialah ialah kemampuan perniagaan menjana recurring income atau pendapatan berulang.Â
Konsesi lebuh raya biasanya diberikan untuk tempoh yang panjang, ada yang mencecah 30 hingga 50 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, syarikat konsesi akan menerima hasil kutipan tol secara berterusan.Â
Model ini menjadikan perniagaan lebuh raya sebagai aset yang sangat menarik kepada pelabur kerana aliran tunainya lebih mudah diramal berbanding sektor lain seperti hartanah atau peruncitan.Â
Malah, banyak dana institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang gemar melabur dalam aset infrastruktur kerana pulangan lebih stabil untuk jangka panjang.
Syarikat seperti PLUS Malaysia Berhad mampu mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2023, jumlah yang tinggi diperoleh susulan mengendalikan lebuh raya PLUS, NKVE dan ELITE.
Namun, syarikat itu masih mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM148.4 juta.
Sementara itu, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad yang mengendalikan KESAS, LDP, SPRINT dan SMART mencatatkan hasil berjumlah RM836.61 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM172.9 juta pada 2025.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), syarikat yang mengoperasikan enam buah lebuh raya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Projek Lintasan Damansara-Shah Alam (DASH) merupakan pemain utama di dalam industri ini.
Menurut laporan The Edge, syarikat ini merekodkan hasil sebanyak RM547 juta pada tahun 2024, dengan kerugian selepas cukai sebanyak RM714 juta, yang berpunca dari operasi Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Projek Lintasan Damansara-Shah Alam (DASH) yang baru siap dibina.
SUKE merekodkan kerugian sebanyak RM316 juta dengan hasil sebanyak RM102 juta, manakala DASH merekodkan kerugian sebanyak RM214 juta dengan hasil sebanyak RM78 juta.
Meskipun kedua-dua lebuh raya mencatatkan kerugian, namun bagi lebuh raya yang telah matang seperti AKLEH, GCE, LKSA dan SILK, ia merekodkan keuntungan dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai sebuah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) melalui Prolintas IBT.
Prolintas memiliki 51% pegangan dalam Prolintas IBT.
Pada tahun lalu, Prolintas IBT merekodkan jumlah hasil RM320.3 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM28.9 juta.
Sementara itu, syarikat Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) yang terkenal dengan projek Pintasan Saloma turut merekodkan prestasi memberangsangkan melalui projek lebuh raya East Klang Valley Expressway (EKVE).
Syarikat itu memperoleh hasil berjumlah RM102.7 juta, meningkat 42.2% berbanding RM72.2 juta pada 2024 dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM50.2 juta.
Tak Semua Lebuh Raya Menguntungkan?
Walaupun industri ini nampak sangat menguntungkan, tetapi tidak semua projek lebuh raya berjaya mencapai prestasi kewangan yang memberangsangkan.
Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, sebanyak 12 daripada 33 syarikat pemegang konsesi lebuh raya di negara ini mencatatkan kerugian.
Sebagai contoh, syarikat seperti IJM Corporation Berhad yang mengendalikan Besraya, LEKAS dan NPE serta SKVE masing-masing mencatatkan hasil berjumlah RM449.5 juta dan RM70.8 juta pada tahun 2025.
Namun, kedua-dua syarikat berada di dalam kerugian yang mana IJM Corporation Berhad merekodkan kerugian di sektor lebuh raya sebanyak RM66.7 juta manakala SKVE mencatatkan kerugian sebanyak RM70.8 juta.
Antara risiko mengakibatkan syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian antaranya jumlah volum trafik yang tidak mencapai unjuran, kos pembinaan, faedah pinjaman tinggi, serta ketiadaan kenaikan kadar tol ditetapkan oleh kerajaan.
Malah, PLUS Malaysia Berhad yang memperoleh hasil tinggi turut merekodkan kerugian, namun tidak dapat dipastikan sama ada kerugian tersebut adalah disebabkan susut nilai atau turut melibatkan aliran keluar tunai parah.
Masih Ada Pembinaan Lebuh Raya Baharu?
Ketika ini, masih terdapat projek pembinaan lebuh raya yang masih sedang diusahakan, iaitu Lebuhraya Pantai Barat (WCE), yang menghubungkan Changkat Jering, Perak hingga ke Banting, Selangor.
Selain WCE, projek MEX II antara projek yang sedang dibina, namun kini tergendala sejak sekian lama akibat penyelewengan wang.
Projek-projek seperti ini memerlukan modal yang besar, kerana kos pembinaan mungkin menelan belanja sehingga ratusan juta ringgit.
Kejayaan sesuatu projek itu bukan hanya berdasarkan unjuran trafik, tetapi juga melibatkan kelancaran pembinaan projek tersebut, memandangkan ia melibatkan pembiayaan projek yang turut bergantung kepada kadar faedah, serta kemampuan memastikan projek siap tepat pada masanya agar tidak berlaku cost-overun.
Sama ada industri ini masih menjadi perhatian ahli perniagaan elit di negara ini masih lagi menjadi tanda tanya. Tetapi melihat kepada situasi semasa, dimana kereta kekal menjadi mod pengangkutan utama, bisnes lebuh raya mungkin akan terus menjadi satu industri yang masih memberi pulangan yang baik.
