Mampukah JS-SEZ Menarik Pelaburan Bernilai Tinggi?

Share it

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperkenalkan sebagai inisiatif strategik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh transformasi ekonomi di negeri Johor.

Namun, di sebalik potensi menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit, persoalan utama yang timbul ialah apakah sebenarnya JS-SEZ, mengapa inisiatif ini penting kepada Malaysia dan Singapura serta bagaimana ia mampu memberi manfaat kepada rakyat Johor?

Lebih penting, apakah cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan potensi JS-SEZ dapat direalisasikan dan tidak sekadar menjadi satu lagi projek yang gagal mencapai matlamat asalnya?

Majlis menandatangani MoU JS-SEZ pada tahun 2024

Apa Sebenarnya JS-SEZ?

JS-SEZ merupakan zon ekonomi khas rentas sempadan yang dirangka untuk menggabungkan kekuatan Malaysia dan Singapura yang saling melengkapi.

Namun, penubuhannya bukan sekadar untuk menarik lebih banyak pelaburan asing. Sebaliknya, JS-SEZ diwujudkan bagi menangani cabaran ekonomi yang berbeza tetapi saling berkait antara kedua-dua negara.

Bagi Malaysia, salah satu cabaran utama ialah usaha untuk beralih daripada aktiviti pembuatan bernilai tambah sederhana kepada industri bernilai tambah tinggi.

Peralihan ini masih berdepan beberapa kekangan seperti pemindahan teknologi yang terhad, tahap inovasi industri yang perlu dipertingkatkan serta keupayaan firma tempatan masih belum mencapai tahap daya saing global.

Pada masa sama, Singapura pula berdepan kekangan ruang akibat keluasan tanah yang terhad. Keadaan ini mengehadkan pembangunan projek perindustrian berskala besar, manakala kos tanah dan operasi yang tinggi meningkatkan kos untuk mengembangkan perniagaan.

Di sinilah Johor mempunyai kelebihan strategik.

Dengan kawasan perindustrian yang lebih luas, kos operasi yang lebih kompetitif serta tenaga kerja yang besar, Johor mampu menjadi lokasi pelengkap kepada syarikat yang mahu terus memanfaatkan ekosistem kewangan, teknologi dan rangkaian perniagaan Singapura.

Melalui pendekatan ini, sebahagian aktiviti pengeluaran dan operasi boleh ditempatkan di Johor, manakala Singapura terus memainkan peranan sebagai pusat kewangan, inovasi dan pengurusan korporat.

Bagi Malaysia, manfaat JS-SEZ bukan sekadar diukur melalui jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk.

Jika berjaya dilaksanakan, kehadiran syarikat bertaraf global berpotensi membawa pemindahan teknologi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan produktiviti syarikat tempatan serta menyokong pertumbuhan gaji.

Peta JS-SEZ Mengikut Taburan Zon Flagship

Idea rasmi penubuhan JS-SEZ bermula pada 11 Januari 2024 apabila Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan sebuah zon ekonomi khas rentas sempadan.

JS-SEZ meliputi kawasan lebih 3,500 kilometer persegi di selatan Johor, merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar serta Pengerang.

Kawasan ini dibahagikan kepada sembilan zon utama (flagship zones) iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Pasir Gudang, Senai–Skudai, Kulai–Sedenak, Forest City, Desaru–Penawar dan Pengerang.

JS-SEZ turut memberi tumpuan kepada 11 sektor keutamaan termasuk pembuatan, logistik, ekonomi digital, perkhidmatan kewangan, tenaga, kesihatan, pendidikan, pelancongan, ekonomi hijau dan keselamatan makanan.

Shenzhen Sebagai Model, JS-SEZ Dengan Realiti Berbeza

Perbandingan Pertumbuhan KDNK Benar Shenzen & China (1980-1984)

Konsep Zon Ekonomi Khas bukanlah sesuatu yang baharu. Antara contoh paling terkenal ialah Zon Ekonomi Khas Shenzhen di China.

Pada 1980, Shenzhen dipilih sebagai antara Zon Ekonomi Khas pertama China, berhampiran Hong Kong.

Melalui dasar yang lebih terbuka kepada pelaburan, insentif dan kemasukan modal serta teknologi asing, Shenzhen berkembang daripada sebuah kawasan yang jauh lebih kecil ekonominya kepada salah sebuah hab perindustrian dan teknologi terpenting China.

Antara 1980 hingga 1984, Shenzhen merekodkan pertumbuhan KDNK purata sebanyak 58% setahun, jauh mengatasi purata nasional China iaitu sekitar 10% setahun.

Namun, model Shenzhen-Hong Kong tidak boleh diterapkan sepenuhnya di Johor dan Singapura susulan Shenzhen dan Hong Kong berada di bawah kedaulatan negara yang sama.

Sementara itu, Malaysia dan Singapura pula merupakan dua negara berdaulat dengan sistem undang-undang, percukaian, imigresen, mata wang dan institusi yang berbeza.

Dalam kata lain, kejayaan JS-SEZ bergantung bukan sahaja kepada pembangunan industri, tetapi juga kepada penyelarasan dasar dan kerjasama yang erat antara kedua-dua kerajaan.

JS-SEZ Berkongsi Ciri Dengan Pasaran Tunggal Eropah

Selain mengambil inspirasi daripada hubungan Shenzhen-Hong Kong, JS-SEZ juga mempunyai beberapa persamaan dengan Pasaran Tunggal Eropah (European Single Market), yang dibangunkan bagi mengurangkan halangan ekonomi antara negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Matlamatnya ialah memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan, modal dan tenaga kerja supaya kos menjalankan perniagaan dapat dikurangkan serta akses kepada pasaran yang lebih besar dapat diwujudkan.

Walaupun sempadan Malaysia-Singapura serta sistem imigresen, percukaian, undang-undang, mata wang dan dasar monetari masing-masing kekal berasingan, JS-SEZ menerapkan prinsip yang sama pada skala lebih kecil.

Sempadan Johor-Singapura

Antaranya ialah mempercepatkan proses kastam, memudahkan pergerakan rentas sempadan dan mengurangkan kerenah pentadbiran kepada pelabur.

Usaha ini turut disokong dengan pelaksanaan pelepasan imigresen menggunakan kod QR di laluan tertentu serta penubuhan Pusat Pemudahcaraan Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J) sebagai pusat sehenti untuk pelabur.

Secara keseluruhannya, JS-SEZ boleh dianggap sebagai model hibrid yang menggabungkan strategi pembangunan industri dan pelaburan seperti Shenzhen-Hong Kong dengan pendekatan pemudahcaraan perdagangan serta penyelarasan institusi yang diamalkan di Eropah.

Perbezaan model ini termasuk ia perlu dilaksanakan dalam konteks dua negara berdaulat yang masing-masing mempunyai sistem pentadbiran dan dasar sendiri.

Dalam suku pertama tahun ini, JS-SEZ merekodkan sebanyak RM5.49 bilion pelaburan telah diluluskan.

Antara Januari hingga Mei 2026 pula, IMFC-J menguruskan 285 pertanyaan pelaburan dengan potensi nilai pelaburan berjumlah RM74.12 bilion.

Jumlah pertanyaan tersebut tentunya belum boleh dianggap sebagai pelaburan yang pasti akan direalisasikan. Namun, wujud minat terhadap JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan.

Kemasukan Pelaburan Asing Sahaja Tidak Mencukupi

Potensi terbesar JS-SEZ bukan sekadar diukur melalui jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang berjaya dibawa masuk, tetapi kesan terhadap pembangunan industri tempatan.

Malaysia perlu memastikan pelaburan tersebut membantu syarikat tempatan beralih daripada aktiviti bernilai tambah sederhana kepada sektor berteknologi tinggi dan lebih kompleks.

Melalui hubungan yang lebih rapat dengan syarikat multinasional serta ekosistem perniagaan Singapura, firma tempatan berpeluang menjadi pembekal dalam rantaian bekalan serantau, memperoleh teknologi baharu dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

Namun, manfaat ini tidak akan berlaku secara automatik. Pelaburan bernilai berbilion ringgit tidak semestinya menghasilkan pemindahan teknologi sekiranya operasi bernilai tinggi seperti penyelidikan, pembangunan dan reka bentuk terus dijalankan di luar negara.

Oleh itu, kejayaan JS-SEZ tidak seharusnya dinilai berdasarkan nilai pelaburan yang diluluskan semata-mata, tetapi juga sejauh mana ia berjaya meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing syarikat tempatan.

Pada masa yang sama, kelebihan JS-SEZ sebagai zon ekonomi rentas sempadan turut menjadi cabaran utamanya.

Berbeza dengan Shenzhen yang diselaraskan di bawah satu kerajaan, Malaysia dan Singapura mempunyai sistem undang-undang, percukaian, imigresen, mata wang dan dasar yang berbeza.

Terdahulu, pembangunan Batam, Bintan dan Karimun (BBK) di Indonesia turut menawarkan pengajaran penting kepada Malaysia dalam membangunkan JS-SEZ.

Walaupun kawasan tersebut mempunyai lokasi strategik berhampiran Singapura dan kos operasi yang lebih rendah, potensinya terbatas oleh dasar yang tidak jelas, isu pemilikan tanah serta pertindihan bidang kuasa.

Ini menunjukkan bahawa memerlukan peraturan yang jelas, proses kelulusan pantas, infrastruktur yang cekap dan dasar konsisten.

Dengan akses darat terus ke Singapura, JS-SEZ mempunyai kelebihan kompetitif yang berpotensi menjadikannya hab pelaburan serantau, sekiranya cabaran penyelarasan dasar dapat ditangani dengan berkesan.

Kerajaan Negeri Johor Gesa Pelan Induk JS-SEZ Diumum Segera

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman Pelan Induk JS-SEZ bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri itu terus dipacu.

Beliau berkata pelan induk yang telah siap itu perlu diumumkan segera bagi memberi kepastian kepada pelabur dan memperjelaskan hala tuju pembangunan ekonomi Johor.

Menurutnya, pelan tersebut pada asalnya dijadualkan diumumkan pada penghujung 2025 sebelum ditunda ke 30 Mac lalu, namun sekali lagi ditangguhkan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dijangka melancarkan Pelan Induk JS-SEZ pada Disember ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelancaran itu dijangka menjadi antara agenda utama pertemuan berkenaan.

Tambahnya, ketidaktentuan geopolitik semasa boleh digunakan sebagai peluang untuk meletakkan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur tempatan dan antarabangsa.