Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) baru sahaja melabuhkan tirai. Bagi setiap parti politik yang bertanding, ada episod suka dan duka yang tersendiri. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), misalnya, membuat kejutan apabila menjadi parti yang paling banyak memenangi kerusi Parlimen yang dipertandingkan sehinggakan ada yang menggelar PRU pada kali ini sebagai ‘Gelombang Hijau’.
Namun demikian, kisah yang berbeza untuk Barisan Nasional (BN) pada kali ini, apabila mereka tersungkur mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah dengan hanya memenangi 30 kerusi sahaja.
Suatu ketika dahulu, BN cukup digeruni dalam arena Pilihanraya Umum (PRU) kerana kehebatan mereka dalam merangkul hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan. Kekuatan serta dominasi politik tanah air yang ditunjukkan BN seakan-akan mampu meranapkan masa depan pihak lawan mereka.
Bermula seawal kemunculan sulung mereka pada PRU 1974 yang menyaksikan mereka menang 88% kerusi Parlimen, sehinggalah kepada kemuncak kemenangan sebanyak 198 atau 90% kerusi Parlimen pada PRU 2004. Namun, ‘landslide victory’ yang dikecapi mereka ini tidak kekal lama apabila mereka seolah-olah dilanda ‘landslide defeat’ sejak beberapa siri PRU lepas.
Simptom kejatuhan BN sebenarnya sudah boleh dikesan semenjak kemenangan besar mereka pada PRU 2004 lagi. Peratusan kemenangan kerusi Parlimen BN jatuh merudum daripada 90% pada PRU 2004 kepada hanya 63% semasa PRU 2008, menjadikannya pertama kali dalam sejarah BN gagal memperoleh majoriti 2/3 Dewan Rakyat. Kejatuhan ini juga menyebabkan BN hilang negeri-negeri yang sebelum ini berada dalam genggaman mereka seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak.
Prestasi BN dalam PRU terus merosot apabila peratusan kemenangan kerusi Parlimen mereka terus jatuh merudum kepada 60% atau 113 kerusi Parlimen semasa PRU 2013, seterusnya 33% atau 74 kerusi semasa PRU 2018 dan yang terkini hanya 14% atau 30 kerusi sahaja dalam PRU 2022. Kekalahan besar dalam PRU 2022 baru-baru ini merupakan rekod yang paling teruk pernah dihadapi BN, sehingga menyebabkan suara-suara timbul daripada akar umbi BN sendiri, khususnya UMNO, yang mendesak Pengerusi BN untuk meletak jawatan.
Ajaibnya, BN kekal menjadi kerajaan walaupun mereka mencatatkan kekalahan terburuk atas hasil saranan Yang di-Pertuan Agong supaya kemelut pembentukan kerajaan baharu ditamatkan segera. Benarlah pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.
Walaupun rakyat Malaysia sudah boleh menarik nafas lega kerana kemelut pembentukan kerajaan sudah selesai, terdapat persoalan yang timbul dari sudut tafsiran undang-undang berkaitan kuasa YDPA menasihati pembentukan Kerajaan. Hal ini kerana menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, YDPA hanya berkuasa melantik Perdana Menteri yang dirasakan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu
YDPA turut diberi kuasa untuk bertindak mengikut budi bicara baginda dalam melantik seorang Perdana Menteri menurut Perkara 40(2)(1) Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, tetap tidak ada sebarang pernyataan yang jelas dalam Perlembagaan menyebutkan mengenai kuasa YDPA dalam menasihati pembentukan Kerajaan seperti Kerajaan Perpaduan.
Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) melantik seorang Perdana Menteri;
Keadaan ini mungkin menyebabkan institusi diraja terdedah kepada serangan politik kerana gabungan politik yang memerintah cuba menjustifikasikan kerjasama politik mereka berpunca daripada nasihat dan saranan daripada Istana.
Meskipun BN bernasib baik kerana dapat terus kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kepada kejatuhan gabungan politik tertua ini, khususnya semasa PRU 2022 baru-baru ini.
Pertama, pemimpin Barisan Nasional iaitu Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan 47 pertuduhan rasuah yang masih dibicarakan di Mahkamah. Ini bukanlah satu situasi yang baik buat sesebuah gabungan politik untuk memasuki Pilihan Raya.
Meskipun Barisan Nasional menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri mereka, namun Ismail kelihatan terkebelakang sepanjang kempen PRU15. Saat-saat penting seperti pelancaran manifesto juga masih dibentangkan oleh Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional, bukannya Ismail Sabri yang dicanang sebagai calon PM Barisan Nasional.
Dengan kewujudan gabungan mega Perikatan Nasional, orang-orang Melayu khususnya di luar bandar melihat PN yang diterajui oleh parti-parti Melayu BERSATU dan PAS sebagai alternatif jelas kepada BN. ‘Tobat Lahum’ buat pengundi-pengundi ini untuk memilih PH setelah dimomokan oleh cerita-cerita majalah Mastika tentang DAP sejak sekian lama.
Keduanya, BN, khususnya UMNO masih dibelenggu oleh budaya ‘political warlord’ yang membunuh potensi golongan muda. Strategi tipikal yang biasa digunapakai oleh BN semasa PRU ialah dengan meletakkan calon-calon veteran bertanding di kerusi ‘selamat’ yang mudah dimenangi mereka.
Bagi calon-calon muda, mereka sering kali dicampak untuk bertanding di kerusi yang sukar untuk dimenangi seperti Dr. Asyraf Wajdi yang dihantar bertanding di Parlimen Pasir Putih melawan tokoh popular PAS, Dr. Nik Zawawi Salleh semasa PRU-14.
Pada PRU-15, calon muda BN iaitu Shahril Hamdan terpaksa berentap dengan calon heavyweight PH iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Parlimen Alor Gajah, Melaka.
Keengganan veteran-veteran UMNO ini untuk memberanikan diri bertanding di kerusi ‘panas’ sejak sekian lama menyebabkan sokongan kepada BN hanya tertumpu kepada sesuatu tempat semata-mata tanpa ada sebarang usaha untuk menyebarluaskan sokongan sedia ada terutamanya dalam kalangan pengundi muda yang merupakan kumpulan pengundi terbesar ketika ini.
Enam juta pengundi di Malaysia berusia 29 tahun dan kebawah mewakili 28.7% daripada keseluruhan 20.9 juta pengundi
Ketiga, kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan membuatkan MCA dan MIC terus dilupakan oleh kaum Cina dan India di Malaysia walaupun mereka mempunyai sejarah yang panjang dalam memperjuangkan hak-hak kaum Cina dan India bermula sebelum merdeka lagi. Strategi politik MIC dan MCA dilihat kurang agresif berbanding DAP yang lebih terkehadapan dalam mengangkat suara golongan bukan Bumiputera di negara ini.
Perkara ini menyebabkan sokongan terhadap MCA dan MIC bertukar arah kepada PH. Sebagai perbandingan, MCA dan MCA masing-masing memenangi 30 dan sembilan kerusi semasa PRU 2004. Pada PRU 2022, mereka hanya berpuas hati dengan tiga kerusi Parlimen sahaja sehingga menyebabkan taburan undi menjadi begitu terpecah antara orang Melayu yang majoritinya mengundi PN dan orang bukan Melayu yang majoritinya merupakan pengundi PH.
Sekiranya MIC dan MCA tidak hanya tidur lena dan mengambil strategi yang sepatutnya, mungkin taburan undi orang bukan Melayu tidak begitu tertumpu kepada PH semata-mata dan dapat menyeimbangkan pecahan undi antara orang Melayu dan bukan Melayu.
Seterusnya, kemenangan yang diperolehi BN semasa Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuatkan mereka menjadi selesa lantas menyebabkan mereka melakukan percaturan yang salah dalam mendepani PRU-15.
BN menang bergaya dalam kedua-dua PRN, 40 daripada 56 kerusi DUN di Johor serta 21 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, membolehkan mereka merampas semula dua negeri tersebut daripada tangan PH. Walaupun menang besar di Melaka, peratusan undi popular yang diperoleh BN hanyalah 38.% sahaja, tidak lari jauh berbanding PH yang mendapat undi popular sebanyak 35.8%.
Namun, apa yang berlaku semasa PRN tidak lah boleh disamakan dengan PRU, terutamanya dari sudut naratif serta sentimen politik yang dimainkan. Sebuah lagi faktor yang mungkin BN terlepas pandang ialah peratusan turun mengundi yang begitu rendah, sebanyak 61% sahaja semasa PRN Melaka. Kebanyakan golongan muda dilaporkan tidak turun mengundi semasa PRN Melaka.
Perkara ini ternyata jauh berbeza berbanding PRU-15 yang merekodkan peratusan turun mengundi sebanyak 74% dengan jumlah bilangan orang keluar mengundi jauh lebih tinggi berbanding PRU sebelumnya.
Kekuatan jentera juga turut memainkan faktor penting dalam memastikan kejayaan BN semasa PRN. Semasa PRN, fokus keseluruhan jentera parti ditumpukan untuk kempen di negeri itu semata-mata, tidak sama dengan peringkat PRU yang berskala besar. Gerak kerja jentera BN di dalam PRU15 kelihatan lemah dan kurang bersedia.
Berbeza dengan PN, kempen mereka dilihat lebih ‘ganas’ sehinggakan Bridget Welsh, penganalisis Institut Kajian Asia Malaysia daripada University of Nottingham (UoNARI-M) merumuskan kejayaan PRU-15 PN kepada tiga M iaitu ‘Muhyiddin, Money (wang) and Machinery (jentera)’.
Kekuatan PN terletak pada populariti imej Muhyiddin Yassin yang dianggap sebahagian orang sebagai ‘wira’ kerana memberikan bantuan kewangan yang berbillion-billion ringgit semasa pandemik COVID-19. Kekuatan imej yang dimiliki Muhyiddin Yassin merupakan resepi terbaik setelah diadun dengan kekuatan jentera politik yang dimiliki PAS, membolehkan mereka memenangi kerusi kedua terbanyak selepas PH.
Kelima, persiapan BN bagi menghadapi PRU-15 boleh diibaratkan seperti ‘headless chicken’. Manifesto mereka yang mengangkat slogan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ dilancarkan pada 7 November 2022, agak lewat berbanding manifesto PN (6 November) dan PH (2 November). BN sekali lagi ketinggalan apabila pengumuman calon mereka juga dibuat lewat berbanding gabungan politik lain.
Keadaan seperti ini sekaligus menunjukkan bahawa BN tidak bersedia daripada awal dalam berhadapan dengan PRU meskipun wakil mereka mempunyai kuasa eksekutif dalam menentukan pembubaran Parlimen.
Sejak sekian lama, kebanyakan orang Melayu konservatif memandang UMNO sebagai sebuah parti yang mampu melindungi nasib golongan Melayu-Islam di negara ini. Namun begitu, UMNO gagal untuk mengetengahkan naratif ini dengan baik berbanding Perikatan Nasional (PN) yang lebih bijak dalam memainkan sentimen bangsa dan agama sepanjang kempen PRU-15 mereka, terutamanya di platform media sosial seperti TikTok yang lebih dekat dengan golongan muda. Hasilnya, kebanyakan undi BN beralih kepada PN.
Di akhirnya, tak kisah lah siapa sahaja yang mengkritik, hanya ahli dan pimpinan parti-parti dalam BN sahaja yang lebih layak untuk bermuhasabah dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap mereka.
Sekiranya mereka masih bersenang lenang terus selesa memegang jawatan dalam kerajaan baharu dan gagal menyedari hakikat bahawa kebanyakan penyokong mereka telah ‘lari’, maka tidak mustahil sekiranya gabungan politik tertua ini akan terkubur suatu hari nanti melihatkan kepada simptom-simptomnya yang semakin nampak jelas sekarang ini.