Mengapa Orang Ramai Sering Keliru Tentang Perbankan Islam?

Share it
Pembiayaan oleh institusi kewangan Islam semakin mendapat permintaan yang tinggi, kini mewakili hampir separuh daripada pasaran pembiayaan di Malaysia

Pada tahun 2018, segmen perbankan Islam hanya memegang sekitar 37.7% (~RM750 bilion) daripada keseluruhan pasaran pembiayaan di Malaysia. Data terbaru Bank Negara Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan segmen ini terus berkembang pesat dan kini mengawal 45.6% (RM1.05 trilion) daripada keseluruhan pasaran pembiayaan.

Kadar pertumbuhan tahunan pembiayaan bank Islam adalah lebih tinggi berbanding bank konvensional, menunjukkan permintaan yang semakin tinggi terhadapnya sejak akhir ini

Pertumbuhan aktiviti pembiayaan perbankan Islam naik sekitar 7.7% pada tahun 2023, jauh meninggalkan segmen perbankan konvensional yang hanya meningkat 3.4%. Peratusan Akaun Pelaburan dan Deposit Islam juga meningkat dari 38.9% kepada 42.0%, merekodkan aset sekitar RM1.1 trilion dengan pertumbuhan sebanyak 6% (Konvensional: 4%).

Perkembangan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga mendapat sambutan yang positif di rantau Asia Tengah. Walau bagaimanapun, Malaysia kekal menjuarai dan menerajui segmen ini, sehinggakan Laporan ICD – LSG Islamic Finance Development 2024 meletakkan Malaysia sebagai negara paling maju dalam Kewangan Islam, lebih terkedepan berbanding Arab Saudi, UAE mahupun Kuwait.

Bagi penganut beragama Islam, perbankan Islam merupakan satu alternatif, bahkan mungkin satu-satunya pilihan bagi sesetengah mereka dalam mendapatkan pembiayaan, memandangkan perbankan konvensional tidak dibenarkan syarak disebabkan oleh wujudnya elemen-elemen riba. 

Ancaman terhadap penglibatan di dalam elemen riba di dalam Islam adalah amat serius. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 279, Allah dan Rasul mengancam untuk melancarkan perang terhadap mereka yang mengamalkan riba berikutan implikasinya yang terlalu besar terhadap ekonomi dan sosial.

Kehadiran sistem perbankan Islam di Malaysia pada awal 1980-an membuka lembaran baru buat umat Islam untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank tanpa perlu risau tentang elemen riba.

Selain ketiadaan elemen riba, perbankan Islam juga tidak menawarkan pembiayaan terhadap sebarang aktiviti-aktiviti perniagaan yang dianggap tidak beretika seperti perjudian, penjualan minuman keras dan rokok.

Di Malaysia ketika ini, terdapat pelbagai institusi kewangan yang menawarkan produk perbankan Islam secara penuh (full-fledge) seperti Bank Muamalat, MBSB, Bank Rakyat dan Bank Islam. Hampir semua bank-bank lain di Malaysia juga mempunyai segmen perbankan Islam mereka sendiri yang dikenali sebagai Islamic-Window.

“Pinjaman Islamik” Lebih Mahal Dari Konvensional?

Namun disebalik kerancakan aktiviti perbankan Islam di Malaysia, ada suara-suara yang mengkritik sistem kewangan Islam yang dilabel tidak jauh beza daripada perbankan konvensional.

Adakah perbankan Islam benar-benar mengamalkan nilai-nilai yang dibawa Islam, atau hanya sekadar helah untuk membenarkan perkara-perkara yang telah dilarang?

Prof Baharom Abdul Hamid ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di INCEIF, Kuala Lumpur

Ekonomi Rakyat pada baru-baru ini telah berkesempatan menemu ramah Prof Baharom Abdul Hamid. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan islam bersetuju untuk berkongsikan pandangan peribadinya berkenaan isu ini dari perspektif ekonomi.

Prof Baharom yang juga merupakan seorang profesor ekonomi di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) berkata, kebanyakan orang menganggap perbezaan utama antara sistem perbankan Islam dan konvensional hanyalah kerana sistem perbankan Islam tidak mempunyai riba. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perbezaannya adalah lebih daripada itu.

“Kalau kita tanya kepada orang apa beza kewangan Islam? Selalu dengan mudah orang akan kata kewangan Islam tak ada riba. Lepas itu dia jadi jem (bingung). Bila orang tanya balik “Jadi kita pinjam daripada bank Islam tak payahlah bayar lebihan (faedah)?”. (Mereka jawab): “Oh tak! tak! Ada (lebihan)!”. Dan kadang-kadang lebihan ini melebihi kadar faedah yang dikenakan oleh (bank) konvensional. Jadi orang keliru apa sebenarnya yang berbeza? Sebenarnya perbezaan yang paling nyata adalah Allah SWT telah mengatakan “Aku mengharamkan riba dan aku menghalalkan perdagangan” ataupun muamalat.”

Dalam perbankan konvensional, apabila seseorang itu membeli aset seperti kereta atau hartanah, bank sebenarnya tidak berminat terhadap barangan yang dibeli, ujar Prof Baharom. Sebaliknya, fokus utama mereka adalah terhadap jumlah wang yang dipinjam serta pembayaran semula bersama faedah yang telah ditetapkan. Perkara inilah yang dikategorikan sebagai riba yang nyata, di mana wang tersebut bertambah atau ‘subur’ melalui kadar faedah yang telah ditetapkan, sebagaimana yang dijelaskan dalam definisi riba itu sendiri.

Namun begitu, dalam perbankan Islam, pendekatan yang diambil adalah berbeza kerana asasnya bergantung kepada kontrak yang sah di sisi syariah. Tidak seperti perbankan konvensional yang memberi pinjaman, perbankan Islam bertindak sebagai rakan kongsi yang menawarkan pembiayaan melalui pelbagai bentuk kontrak. Terdapat kontrak yang berbentuk ‘leasing’ atau pajakan, sewa beli, perkongsian keuntungan, dan pelbagai lagi mekanisme lain yang berdasarkan prinsip perdagangan atau muamalat. 

Oleh itu, konsep yang digunakan dalam perbankan Islam bukanlah berbentuk pinjaman, tetapi pembiayaan, kata Prof Baharom. Maka, disebabkan inilah dalam sistem perbankan Islam, tiada kadar faedah seperti dalam perbankan konvensional, sebaliknya yang wujud ialah kadar keuntungan yang dipersetujui antara bank dan pelanggan.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa kekeliruan mulai timbul apabila sistem perbankan Islam dilihat mula mengejar keuntungan berlipat kali ganda, sama seperti apa yang dilakukan oleh perbankan konvensional. 

Beliau mendedahkan terdapat sesetengah produk perbankan Islam yang kelihatan seolah-olah disalin secara terus daripada sistem perbankan konvensional, sehingga menimbulkan persepsi seperti ‘riba pintu belakang’ dan sebagainya. 

Akibatnya, keaslian produk-produk tersebut dalam memenuhi prinsip syariah secara menyeluruh diragui oleh orang ramai. Sebahagian produk perbankan Islam mungkin hanya menjalani sedikit pengubahsuaian kosmetik atau penjenamaan semula untuk kelihatan patuh syariah, sedangkan struktur asasnya masih serupa dengan produk perbankan konvensional.

Pendedahan oleh Prof Baharom ini bukanlah sesuatu yang asing atau baru berlaku. Malah, isu ini telah banyak dibahas dalam pelbagai kajian ilmiah sebelum-sebelum ini. Misalnya kajian Mohd Daud et al. (2023) bertajuk “A Review of Islamic Banks Financing in Malaysia” mendapati bahawa produk-produk pembiayaan yang ditawarkan oleh bank-bank Islam di Malaysia mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan produk konvensional. Hal ini disebabkan oleh amalan pembiayaan yang berasaskan hutang diguna pakai secara meluas, sehingga mendorong tahap keberhutangan yang tinggi dalam kalangan pengguna.

Analisis dalam kajian yang sama juga menganggarkan lebih separuh daripada pembiayaan perumahan yang diberikan oleh bank-bank Islam antara tahun 2015 hingga 2020 adalah kepada pembeli yang bukan kali pertama membeli rumah. Selain menyebabkan tahap keberhutangan yang tinggi, amalan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan inflasi hartanah dan kos sara hidup dalam jangka masa panjang.

Penasihat Syariah Perlu Lebih Bertanggungjawab

Prof Baharom turut berpendapat jawatankuasa penasihat syariah, khususnya di badan-badan kawal selia, agar lebih bertanggungjawab dalam menguruskan produk-produk kewangan Islam tatkala melabel sesuatu produk kewangan itu sebagai ‘patuh syariah’. Hal ini kerana selain memfokuskan kepada aspek teknikalnya semata-mata, mereka juga harus bertanggungjawab terhadap impak dan kesan yang timbul daripada produk-produk tersebut. 

“Jadi bila kita kata sesuatu produk itu halal, sesuatu produk itu patuh syariah, dia bukan semata-mata (dari segi aspek) teknikal sahaja. Kita juga kena pastikan bahawa kebajikan (dijaga). Kebajikan di sini adalah (merujuk kepada) peminjam, pembiaya, penerima biaya dan sebagainya (harus) diambil kira. Jadi kita kadang-kadang jangan keliru antara kewangan Islam yang disarankan mengikut syarak dan kewangan Islam yang dipraktikkan oleh industri. Ada jurang.”

Beliau memetik contoh produk kewangan ‘buy now pay later (BNPL)’ yang semakin popular kini, terutamanya dalam kalangan belia. Menurut Prof Baharom, BNPL secara asasnya merupakan sebuah inovasi kewangan yang baik kerana ia mampu meningkatkan tahap inklusiviti kewangan dengan menyediakan akses mudah kepada pembiayaan, terutama bagi golongan yang tidak mempunyai sejarah kredit atau akses kepada kad kredit. Produk ini dilihat dapat membantu memenuhi keperluan kewangan dengan lebih fleksibel dan mudah.

Menurut data Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebanyak 77.3 juta transaksi BNPL bernilai RM6.2 bilion direkodkan pada tahun 2023. Terdapat hampir tiga juta pengguna aktif BNPL di Malaysia, dengan 44% daripadanya terdiri daripada golongan muda yang berusia antara 21-30 tahun, mencerminkan popularitinya dalam kalangan anak muda sebagai salah satu pilihan pembayaran.

Dalam tempoh hanya setahunn, jumlah baki tertunggak skim BNPL naik sekali ganda daripada RM0.71 bilion kepada RM1.42 bilion, menimbulkan risiko keberhutangan yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia

Namun, di sebalik lonjakan penggunaan BNPL, terdapat kebimbangan yang semakin merisaukan mengenai tahap keberhutangan pengguna. Laporan yang sama mendedahkan bahawa dalam tempoh hanya setahun, jumlah baki tertunggak BNPL meningkat dengan mendadak kepada RM1.42 bilion setakat suku pertama 2024, berbanding RM0.71 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Prof Baharom berpendapat pelaksanaan dan pemasaran produk-produk BNPL yang kini dilabel patuh syariah perlu diberi perhatian serius. Menurutnya, pemasaran agresif yang dilakukan oleh penyedia perkhidmatan BNPL telah menyebabkan ramai individu terutamanya dalam kalangan golongan belia terjebak di dalam hutang yang tinggi melalui pembelian barangan-barangan tidak perlu.

Situasi ini menurutnya bukan sahaja berlaku terhadap produk-produk BNPL, tetapi juga terhadap pembiayaan peribadi daripada perbankan Islam.

Saya sendiri mempunyai pengalaman dan saya pernah melihat banyak yang berlaku di mana orang ramai dirayu: “Kita menyediakan pembiayaan peribadi lulus 24 jam”. “kita menyediakan pembiayaan peribadi yang patuh syariah, halal”. Walaupun mereka ini tidak mahu, tetapi mereka terus dipujuk rayu. Jadi ini yang menyebabkan ramai orang tergoda.

Secara keseluruhannya, Prof Baharom menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara sistem kewangan Islam agar ianya kekal asli berlandaskan konsep syariah perlu dipikul secara kolektif oleh semua pihak yang berkaitan termasuklah penasihat syariah. 

Dalam masa yang sama, beliau menyeru para pembuat dasar dan badan-badan berautoriti untuk mengamalkan pendekatan yang lebih terbuka dengan mempelawa lebih ramai pakar daripada pelbagai disiplin untuk sama-sama menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka demi memperkasakan sistem kewangan Islam, terutamanya dalam menghadapi isu-isu kompleks yang wujud pada hari ini. 

“Jadi dekat sini orang syariah tidak boleh jumud. Tak boleh duduk dalam kotak kata “Ini adalah territory kami, kami yang membuat keputusan”. Mereka harus membuka dan membawa masuk pakar-pakar ekonomi, kewangan dan impak sosial. 

Untuk apa? Untuk sama-sama memperkasakan (kewangan Islam). Sebab kita ini (masing-masing) mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang berbeza, tetapi niat kita adalah niat yang sama untuk memperkasakannya. Jadi jika ini berlaku, di mana penggemblengan kepakaran daripada sektor yang berlainan, insya-Allah yang akan menerima manfaat adalah pemerkasaan kewangan dan perbankan Islam dan juga umat Islam. Bukan saja umat Islam, malah umat manusia sejagat.”

Dominasi Penasihat Syariah ‘Rockstar’

Walau bagaimanapun, Prof Baharom memberi amaran bahawa usaha memperkasakan sistem kewangan Islam di Malaysia sukar dilaksanakan sekiranya jawatankuasa penasihat syariah terus dimonopoli oleh pihak-pihak yang tertentu untuk suatu tempoh yang begitu lama. 

“Kalau kita melihat 30-40 tahun kebelakangan ini, tiga dekad, empat dekad yang terakhir ini, siapa yang menduduki kerusi-kerusi penasihat syariah? Baik di sektor pasaran kewangan modal, pasaran modal Islam, di dalam perbankan, mahupun di dalam badan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan juga Bank Negara Malaysia (BNM)? 

Ini adalah pengetahuan umum, boleh lihat siapa yang duduk? 90% adalah orang yang sama duduk di situ untuk tiga hingga empat dekad kebelakangan ini. How do we expect a different result when business as usual?”

Analisis Ekonomi Rakyat mendapati terdapat seramai 228 ahli jawatankuasa penasihat syariah yang berkhidmat di pelbagai institusi kewangan di Malaysia, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), bank-bank Islam serta syarikat takaful dan insurans. Menariknya, sebanyak 30% daripada jumlah tersebut terdiri daripada individu yang memegang lebih daripada satu jawatan dalam jawatankuasa penasihat syariah. 

Majoriti mereka yang menduduki kerusi penasihat syariah di Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga terdiri daripada orang yang sama. Keadaan ini boleh menimbulkan konflik kepentingan memandangkan kedua-dua badan kawal selia ini sepatutnya bebas dalam membuat sebarang keputusan tanpa terikat dengan pandangan dari jawatankuasa yang lain.

Lebih mengejutkan, terdapat beberapa penasihat syariah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa penasihat syariah di Suruhanjaya Sekuriti tetapi dalam masa yang sama turut memegang jawatan serupa di bank-bank Islam serta syarikat insurans dan takaful.

Keadaan ini sudah tentunya menimbulkan persoalan bukan sahaja mengenai beban tugas, namun begitu dari segi keupayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab dengan efektif serta bebas daripada konflik kepentingan yang boleh mengancam perkembangan sektor kewangan Islam di negara ini.

Penasihat Syariah Terima Sehingga RM240,000 Setahun

Jumlah Imbuhan Lembaga Penasihat Syariah Bank-Bank Islam Terpilih di Malaysia, 2023

Bank Maybank Islamic Berhad CIMB Islamic Bank Berhad Bank Islam Malaysia Berhad Bank Muamalat Malaysia Berhad Bank Simpanan Nasional (BSN) Public Islamic Bank Berhad
Jumlah imbuhan* RM1,218,000 RM700,000 RM800,000 RM488,000 RM394,000 RM511,000
Bilangan ahli J/K penasihat syariah 5 5 5 5 5 5
Purata imbuhan setiap ahli RM243,600 RM140,000 RM160,000 RM97,600 RM78,800 RM102,000

*termasuk fi perkhidmatan dan elaun mesyuarat

Mereka ini turut menerima bayaran fi perkhidmatan yang lumayan mencecah ratusan ribu, malahan jutaan ringgit daripada bank-bank Islam selaku penasihat syariah. Misalnya, Maybank Islamic Berhad membayar RM1.2 juta kepada lembaga penasihat syariahnya pada tahun kewangan 2023. Daripada jumlah itu, sebanyak RM348,000 dibayar untuk elaun mesyuarat yang berlangsung sebanyak 29 kali pada tahun tersebut. 

Begitu juga dengan CIMB Islamic Bank Berhad yang membayar sejumlah RM700,000 kepada ahli-ahli jawatankuasa penasihat syariahnya pada tahun kewangan yang sama. Angka-angka ini menunjukkan betapa tingginya ganjaran yang diterima oleh individu-individu ini untuk perkhidmatan mereka dalam menawarkan nasihat-nasihat syariah kepada bank-bank.

Ketandusan Bakat Kewangan Islam di Malaysia? Realiti atau Alasan?

Sekiranya dahulu, antara alasan yang sering diguna pakai oleh pihak-pihak yang memonopoli jawatan penasihat syariah ini adalah kerana Malaysia tidak mempunyai ramai bakat dalam bidang tersebut, ujar Prof Baharom. 

Walau bagaimanapun, beliau berkata realitinya sudah berubah ketika ini kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang telah menyambung pelajaran dalam bidang-bidang yang berkaitan seperti kewangan dan perbankan Islam, syariah, ekonomi, muamalat, perakaunan dan sains aktuari di pelbagai institusi pengajian tinggi yang ternama sama ada di dalam mahupun luar negara. 

Beliau turut melontarkan sebuah persoalan penting, iaitu bagaimana individu-individu ini dapat menyumbang kembali kepada masyarakat atau negara jika mereka tidak diberikan peluang yang sewajarnya?

Walaupun individu-individu yang menduduki jawatan penasihat syariah ini tertakluk kepada had tempoh tertentu, namun realitinya menunjukkan situasi yang berbeza.

“Mungkin ada orang kata, eh tapi ada had (9 tahun), dia hanya boleh duduk (dalam jawatankuasa penasihat syariah) dalam tempoh yang tertentu. saya ada bukti, saya boleh tunjukkan bahawa apabila nak sampai ke hujung limit, mereka akan bertukar tempat, dia akan reset balik masa itu.”

Semakan Ekonomi Rakyat juga menunjukkan ada dalam kalangan individu yang memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa penasihat syariah juga memiliki firma-firma perundingan syariah mereka sendiri. Firma-firma ini meraih hasil dan keuntungan bernilai jutaan ringgit melalui aktiviti perundingan yang dijalankan kepada badan-badan kawal selia serta bank-bank Islam di negara ini. 

Situasi ini juga sekali lagi menimbulkan persoalan tentang kemungkinan berlakunya konflik kepentingan, terutama apabila keputusan atau kelulusan yang diberikan dalam sesuatu perkara itu mungkin dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.

Isu ini, yang turut berlaku di negara-negara lain dan dikenali sebagai fenomena ‘rock-star Shariah scholars’, memerlukan pendekatan proaktif untuk memastikan sistem kewangan Islam dapat terus diperkasakan. Menurut Prof Baharom, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah mengetatkan lagi peraturan berhubung tempoh perkhidmatan yang dibenarkan kepada ahli jawatankuasa penasihat syariah.

Beliau berpendapat bahawa langkah ini bukan sahaja penting untuk memberikan peluang kepada lebih ramai individu, termasuk generasi muda dan pakar-pakar baharu, untuk menyumbang idea dalam memajukan sistem kewangan Islam, tetapi juga untuk memastikan integriti dan tata kelola yang baik.

“Sebab itu saya kata, kita harus pastikan kalau kita kata kita nak hadkan Perdana Menteri untuk dua penggal, Ketua Menteri untuk dua penggal, penasihat syariah pun sama. Jangan kita kata “oh dia jadi ketua menteri dua penggal di Sabah, lepas tu dia jadi ketua menteri di Sarawak.” 

Boleh ke macam itu? (Penasihat) Syariah pun sama. Dah cukup penggal di sini, dah, sumbang cara lain. After all, kata syariah, kata nak menyumbang. Menyumbang tak perlu jawatan.”

Dengan mengehadkan tempoh perkhidmatan, ia dapat membantu mengelakkan situasi di mana individu yang sama terus mendominasi kedudukan strategik untuk jangka masa panjang. Perkara ini juga penting agar perspektif baharu yang lebih dinamik dan responsif terhadap cabaran serta keperluan sistem kewangan Islam semasa dapat diketengahkan, supaya sistem kewangan Islam kekal unik dan relevan sepanjang zaman.