Ekonomi Malaysia Jatuh 4.5% Pada Suku Ketiga 2021

Share it
Ekonomi menguncup 3.6% berbanding suku sebelumnya

Ekonomi Malaysia menguncup 4.5% pada suku ketiga tahun ini menurut Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia. Berbanding suku sebelumnya, ekonomi negara ini menurun 3.6% susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan 3.0 yang bermula pada bulan Jun.

Sektor pembinaan antara yang paling terkesan akibat langkah-langkah penularan jangkitan Covid-19 apabila sektor ini jatuh 20.6%.

Berbanding negara-negara lain, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku ketiga di rantau ini. Filipina merekodkan pertumbuhan 7.1% manakala Singapura pula mencatatkan pertumbuhan 6.5%.

Bank Negara masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini sekitar 3% hingga 4%. Pembukaan semula ekonomi serta pemulihan pasaran buruh dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ekonomi dijangka berkembang 5.5% hingga 6.5% pada tahun hadapan

Inflasi diramal kekal stabil diantara 2% hingga 3% pada tahun ini.

Pada tahun hadapan, ekonomi diunjur berkembang sekitar 5.5% hingga 6.5% disokong oleh permintaan global. Namun Bank Negara di dalam pembentangan mereka berkata bahawa negara masih terdedah dengan beberapa risiko yang boleh mengekang pemulihan ekonomi.

Antara risiko yang dibimbangi adalah penularan varian baru Covid-19 serta isu gangguan bekalan rantaian yang berlarutan.