Forbes Media Rancang ke Bursa Saham Melalui Penggabungan SPAC

Share it

Syarikat media terkemuka Amerika Syarikat, Forbes Media LLC dilaporkan merancang untuk disenaraikan di pasaran saham melalui Syarikat Pengambilan Khas ( SPAC ) menurut laporan yang dikeluarkan oleh Reuters.

Forbes yang diasaskan oleh B.C. Forbes, jornalis kewangan mula mengeluarkan majalah niaga sejak tahun 1917. Sejak sekian lama, Forbes mengeluarkan senarai orang terkaya di dunia sekaligus menjadi rujukan utama pelbagai pihak dalam mengikuti perkembangan golongan elit dunia.

95% pegangan saham Forbes kini dimiliki oleh Whale Media Investment yang merupakan syarikat China yang berpangkalan di Hong Kong. Baki saham selebihnya dimiliki oleh keluarga Forbes.

Pengambilalihan sebahagian besar kepentingan Forbes oleh syarikat China ini sebelum ini pernah dipertikaikan kerana dikatakan mempunyai agenda tertentu. Beberapa artikel yang kritikal terhadap pentadbiran Tiongkok dilaporkan telah dipadamkan oleh pihak editor sekaligus membangkitkan isu ketelusan syarikat media ini.

Menurut laporan Reuters, identiti syarikat pengambilalihan khas yang sedang berbincang dengan Forbes masih belum jelas meskipun jurucakap syarikat tersebut menyatakan terdapat beberapa pihak yang berminat dengan syarikat media tersebut. Forbes pada tahun 2014 dianggarkan bernilai $475 juta berdasarkan harga pembelian 95% saham oleh Whale Media Investment.

Kit media Forbes menunjukkan bahawa platform media mereka telah dilawati 123 juta pengguna unik pada tahun 2020 dengan sebahagian besarnya pembaca dari Amerika Syarikat. Edisi cetakan Forbes pula mempunyai lebih enam juta pembaca.

Selain Forbes, beberapa agensi media lain turut mengadakan perbincangan untuk ke bursa saham melalui SPAC. Bustle Digital Group, Vice Media, Vox Media dan Group Nine dikatakan bakal digabungkan sebelum disenaraikan di pasaran saham. Manakala SPAC Group Nine yang mempunyai tunai sekitar $230 juta pula menyasarkan untuk mengambilalih Buzzfeed.

Di Malaysia, kebanyakkan syarikat-syarikat media besar atas talian dimiliki oleh syarikat tersenarai seperti Media Prima. Setelah akses internet mendapat liputas yang meluas di Malaysia, media terutamanya akhbar mengalami detik sukar dalam menukar model perniagaan mereka ke era digital.

Utusan Malaysia sebagai contoh telah dinyahsenaraikan dari papan saham sebelum kembali selepas diambilalih oleh Media Mulia yang dimiliki oleh bilionair Syed Mokhtar Albukhary. Akhbar The Star milik MCA pula mencatatkan kerugian RM19 juta tahun lalu dengan harga saham menjunam dari RM4.00 pada 2010 kepada RM0.39 sekarang.

Ikuti saluran Telegram Ekonomi Rakyat untuk tidak melepaskan perkembangan terkini diĀ https://t.me/EkonomiRakyatMY