Gaji Pekerja di Sektor Pembinaan Hanya RM2,160, CEO RM438,000

Gaji CEO Pembinaan malaysia | Ekonomi Rakyat
Share it

jurang gaji ceo pekerja pembinaan | ekonomi rakyat

Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti bertajuk Pemantauan Urustadbir Korporat 2019 memberikan gambaran lebih dalam mengenai jurang gaji mengikut sektor di Malaysia. Sektor Pembinaan, Telekomunikasi dan Media serta Barangan Pengguna dan Perkhidmatan merupakan sektor yang mempunyai jurang gaji CEO dan pekerja paling tinggi di Malaysia.

Pada artikel yang lepas, Ekonomi Rakyat mendedahkan bahawa CEO di Malaysia dibayar 141 kali lebih tinggi berbanding pekerja. Artikel ini mengupas dengan lebih dalam mengenai jurang gaji mengikut sektor berdasarkan data Jabatan Perangkaan dan Suruhanjaya Sekuriti.

CEO syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan memperoleh pendapatan 203 kali lebih tinggi berbanding pekerja berdasarkan gaji penengah. Ini bermaksud gaji bulanan CEO adalah bersamaan dengan gaji pekerja yang bekerja selama 16 tahun 11 bulan. Nisbah gaji sektor telekomunikasi dan media adalah 183 diikuti sektor barangan pengguna dan perkhidmatan dimana CEO memperoleh gaji 170 kali lebih tinggi berbeanding pekerja bawahan.

nisbah gaji penengah pekerja ceo ikut sektor | ekonomi rakyat

Walaupun sektor pembinaan mempunyai jurang paling besar diantara CEO dan pekerja, namun gaji penengah CEO paling tinggi sebenarnya terletak di dalam sektor telekomunikasi dan media dimana gaji penengah tahunan CEO pada sektor ini ialah RM7.98 juta. Gaji CEO di dalam sektor perkhidmatan kewangan pula kedua tertinggi dengan RM6.23 juta diikuti sektor utiliti dengan gaji tahunan RM5.64 juta.

Sektor kesihatan dan tenaga mempunyai jurang yang paling kecil iaitu dengan nisbah gaji 41 dan 77.

Secara amnya, pekerja di Malaysia memperoleh upah lebih kecil berbanding pekerja di negara-negara lain. Sebagai contoh, pampasan pekerja di Malaysia hanyalah 35.7% dari keseluruhan pendapatan negara mengikut data pada tahun 2018. Ini bermaksud bagi setiap RM100 pendapatan negara, pekerja hanya memperoleh RM35.70. Apa yang lebih menyedihkan adalah angka ini seakan-akan tidak berubah sejak tahun 2016 dimana pampasan pekerja di Malaysia berada di paras 35.6%.

malaysia gagal naikkan pampasan pekerja | ekonomi rakyat

Mengikut Rancangan Malaysia ke-11 yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk jangka masa 2016 hingga 2020, pampasan pekerja di Malaysia disasarkan untuk mencapai 40% menjelang tahun 2020. Namun kerajaan Malaysia sedar bahawa angka ini sukar dicapai lalu menyemak semula sasaran kepada 38% menjelang 2020 melalui Kajian Separuh Penggal RMK-11 pada November 2018.

Sebagai perbandingan, pampasan pekerja di Singapura adalah 39.7% manakala di negara maju lain seperti Korea Selatan dan Australia berada di paras yang lebih tinggi iaitu masing-masing pada 45.7% dan 47.1%. Dalam kata lain, pekerja di Malaysia tidak menerima bayaran yang setimpal berbanding rakan mereka di negara lain

Laporan Bank Negara Malaysia pada 2018 turut memberikan penemuan yang serupa. Pekerja-pekerja di Malaysia dibayar rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti Singapura, Amerika Syarikat, Jerman dan Australia. Pekerja di Malaysia hanya dibayar $340 untuk setiap $1,000 pengeluaran yang dihasilkan manakala pekerja di negara-negara maju lain dibayar $510 untuk setiap $1,000 pengeluaran.

Menurut data Jabatan Perangkaan, separuh pekerja di Malaysia memperoleh gaji dibawah RM2,308

pampasan pekerja di malaysia | ekonomi rakyat

Bagaimana untuk Kita Tangani Jurang Gaji CEO dan Pekerja ?

Terdapat pelbagai langkah untuk kita tangani isu perbezaan gaji yang semakin melebar di antara CEO dan pekerja. Perkara asas dan utama adalah untuk rakyat mengetahui berapakah pendapatan yang diperoleh oleh CEO dan pekerja di dalam setiap syarikat-syarikat yang disenaraikan di pasaran saham. Setakat ini, data untuk gaji dan bonus CEO dapat diperoleh melalui laporan tahunan syarikat-syarikat ini namun agak sukar untuk memperoleh gaji penengah pekerja.

Oleh itu, pihak berkepentingan boleh mencadangkan untuk setiap syarikat agar melaporkan pendapatan penengah pekerja mereka sekaligus orang ramai boleh tahu perbezaan gaji diantara bos-bos besar dan pekerja bawahan.

Jurang Gaji CEO dan pekerja | Ekonomi rakyat

Kerajaan turut boleh membawa perubahan jika benar-benar komited untuk menangani isu jurang gaji antara CEO dan pekerja. Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan polisi dimana gaji CEO haruslah tidak melebihi nisbah yang dibenarkan. Polisi ini bukan benda baru, China pada tahun 2009 memperkenalkan dasar terhadap syarikat milik negara dimana eksekutif ataupun bos-bos besar tidak boleh memperoleh gaji 10 kali lebih tinggi berbanding mana-mana pekerja di syarikat tersebut.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY

Artikel bahagian pertama boleh dibaca disini [ klik pautan ]