Kelapa Sawit dan Propaganda Barat

Share it

Minyak kelapa sawit merupakan antara komoditi utama Malaysia yang telah memberi sumbangan besar buat ekonomi negara. Pada tahun lalu, sebanyak 19 juta tan minyak sawit mentah telah dikeluarkan oleh negara ini. Hampir keseluruhannya ( 17.3 juta tan ) dieksport ke luar negara dimana China, India dan Belanda menjadi pengimport utama produk sawit kita.

Namun, bukan semua negara-negara luar menyambut baik dengan produk sawit kita. Beberapa negara di dalam Kesatuan Eropah misalnya melarang import minyak kelapa sawit disebabkan beberapa isu dan menggunakan minyak bunga matahari sebagai alternatif.

Di negara-negara lain seperti Australia dan New Zealand juga menggunakan minyak lain seperti minyak Canola sebagai minyak masak.

Isu Alam Sekitar & Buruh Paksa

Antara sebab utama mengapa negara-negara Barat ini melarang import minyak kelapa sawit adalah kerana isu alam sekitar. Media-media Barat menuduh bahawa negara-negara pengeluar kelapa sawit telah menebang hutan bagi mewujudkan ladang kelapa sawit yang seringkali dimonopoli oleh firma-firma peladangan gergasi.

Penebangan hutan ini dikatakan telah mengakibatkan kerosakan ekosistem hutan termasuk spesis haiwan. Laporan yang diterbit oleh Reuters memetik kenyataan World Wide Fund for Nature ( WWF  ) dimana berlaku penyusutan sebanyak 30% Orang Utan di Sabah akibat operasi peladangan kelapa sawit.

Selain isu, itu buruh paksa juga dikatakan menghantui industri komoditi ini. Agensi Kawalan Sempadan dan Kastam Amerika Syarikat misalnya telah melarang produk Sime Darby dan FGV atas isu ini.

Baru-baru ini, Forest and Finance mengeluarkan laporan dimana mereka menyenaraikan institusi kewangan Malaysia seperti Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Negara sebagai institusi dana yang banyak terlibat dengan sektor hutan yang berisiko*.

*Syarikat-syarikat yang terlibat dengan pengeluaran daging, kacang soya, kelapa sawit, getah dan balak

Apa kata Malaysia?

Bukan sahaja Malaysia, bahkan Indonesia juga kurang senang dengan kempen anti-kelapa sawit yang merupakan penggerak utama ekonomi kedua-dua negara tersebut. Pada awal tahun lalu ketika lawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Indonesia, beliau bersama Presiden Jokowi sepakat untuk menentang terhadap minyak kelapa sawit.

Kumpulan pro-kelapa sawit rata-rata menolak dakwaan yang dilemparkan terhadap minyak sayuran ini. Menurut mereka, Malaysia umpamanya telah tidak lagi membenarkan sebarang hutan ditebang bagi membuka ladang-ladang kelapa sawit.

Minyak kelapa sawit dilaporkan lebih efisien berbanding minyak sayuran yang lain

Selain itu, pengenalan Roundtable on Sustainable Palm Oil ( RSPO ) juga dianggap sebagai komitmen besar buat firma-firma peladangan ini memastikan pengeluaran minyak kelapa sawit kekal mampan yang disokong oleh kebanyakkan firma peladangan di Malaysia dan Indonesia.

Menurut mereka lagi, minyak kelapa sawit boleh dikategorikan sebagai minyak yang paling efisien berbanding minyak sayuran lain. RSPO menyatakan minyak kelapa sawit mengeluarkan empat hingga sepuluh kali lebih banyak hasil berbanding minyak sayuran yang lain.

Rata-rata pihak berkepentingan di Malaysia berpendapat bahawa kempen anti-minyak kelapa sawit sebagai satu usaha terancang di negara-negara Barat bagi mendiskriminasikan komoditi tersebut bagi mengalakkan pengunaan minyak sayuran mereka seperti minyak bunga matahari dan minyak kanola.

Langkah ini dianggap sebagai salah satu taktik negara-negara Barat dalam menjaga kelangsungan perniagaan mereka. Bekas CEO Majlis Balak Malaysia di dalam satu artikelnya di sebuah akhbar menghentam taktik ini sebagai Western Hypocricy.

Western Hypocricy ini bukanlah baru dalam kalangan sebilangan ahli sosial dalam merungkai tindak tanduk sebilangan negara-negara maju di Barat. Sebagai contoh, negara-negara maju yang memperjuangkan alam sekitar sering kali menghantar plastik kitar semula ke negara-negara dunia kurang maju seperti Malaysia.

Tidakkah sebagai sebuah negara maju, mereka sepatutnya memproses sendiri barangan-barangan kitar semula ini.

Dari sudut perdagangan, negara-negara Barat yang dahulunya pejuang utama perdagangan bebas kini tidak lagi berpegang kepada idea tersebut dalam membicarakan mengenai pembangunan ekonomi apabila mereka melihat negara-negara lain telah mendapat manfaat yang lebih besar daripada mereka.

Maka, perang dagang dilancarkan bagi memastikan tarif dapat dikutip agar sektor domestik kekal terjamin selain mengehadkan pergerakan warga serantau.

Isu agihan vaksin Covid-19 juga tidak terlepas dari diskriminasi negara-negara maju yang menjadi pengeluar vaksin sehingga membangkitkan kebimbangan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dan belakangan ini, minyak kelapa sawit juga antara sektor yang terkena tempias hasil daripada propaganda yang dibawa oleh negara-negara Barat.