” Kenapa Kita Tergesa-Gesa Tandatangan Perjanjian ART? ” – Ahli Ekonomi, Dr Muhammed Khalid

Share it

Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang dimeterai antara Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadi tumpuan utama ketika lawatan Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

Kerajaan menyifatkan perjanjian ini sebagai satu pencapaian penting, khususnya apabila Malaysia muncul sebagai antara dua negara terawal yang menandatangani ART dengan Amerika Syarikat tatkala dunia masih dibelenggu ketegangan perang dagang antara Washington dan Beijing.

Hasil utama perjanjian tersebut ialah penurunan kadar tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat daripada 25% kepada 19%. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz menyifatkannya sebagai kejayaan besar dalam menghapuskan ketidaktentuan perdagangan dan melindungi kepentingan eksport negara.

Namun di sebalik naratif kejayaan yang diketengahkan kerajaan, pemeteraian ART tidak sepi daripada kritikan. Beberapa pihak termasuk wakil rakyat Kerajaan sendiri serta NGO menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang perjanjian tersebut.

Ahli Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid antara yang mempersoalkan keperluan Malaysia bertindak tergesa-gesa dalam menandatangani perjanjian berkenaan. Menurut beliau, Malaysia tidak memperoleh kelebihan strategik yang jelas sebagai negara terawal menandatangani ART, memandangkan kebanyakan negara serantau memilih untuk belum berbuat demikian.

Beliau menegaskan bahawa hanya Kemboja turut menandatangani perjanjian yang sama, manakala negara serantau lain seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand sekadar menandatangani kerangka perjanjian tanpa komitmen muktamad, namun masih menikmati kadar tarif yang hampir setara.

” Hujah yang kata kalau kita tidak tandatangani, seduit pun eksport kita tak boleh masuk Amerika tak masuk akal dan tidak pernah berlaku… Indonesia pun tak tandatangan, dapat 19% tarif juga. Vietnam pun tak tandatangan, dapat lebih kurang juga. Filipina dan Thailand pun tidak tandatangan. Mereka hanya tandatangan Kerangka Perjanjian sahaja “

Wajarkah Berkompromi Demi Penurunan Tarif Dari 25% Kepada 19%?

Dalam wawancara bersama Ekonomi Rakyat di pejabatnya di Kuala Lumpur, Dr Muhammed turut mempersoalkan sama ada wajar Malaysia berkompromi dengan pelbagai komitmen besar semata-mata untuk menurunkan tarif kepada 19%.

Beliau menyentuh isu percukaian digital, yang menurutnya memperlihatkan ketidakseimbangan komitmen antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

” Banyak yang kita terpaksa berikan untuk tandatangani perjanjian ini dan menurunkan tarif dari 25% kepada 19%. Kita kena labur $70 bilion di Amerika Syarikat dalam masa 10 tahun… Kita juga setuju untuk dia (Amerika Syarikat) tak perlu bayar cukai digital. Maxis, TIME, Telekom kena bayar kepada dana yang diuruskan MCMC. “

Menurutnya, banyak senarai barang yang mendapat pengecualian seperti kelapa sawit, getah, nenas dan sebagainya bukanlah eksport utama Malaysia ke Amerika Syarikat sekaligus tidak memberi kesan yang signifikan terhadap perdagangan negara.

Antara perkara lain yang terpaksa dikompromi melalui Perjanjian ini adalah soal perolehan syarikat milik Kerajaan, import produk Amerika Syarikat serta maklumat-maklumat bantuan yang diberikan terhadap syarikat-syarikat milik Kerajaan.

Dr Muhammed juga menolak dakwaan bahawa kritikan terhadap ART didorong oleh motif politik semata-mata. Menurutnya, Malaysia telah lama menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan bebas tanpa menimbulkan reaksi negatif yang sama dalam kalangan rakyat.

” Wong Chen, Rafizi, Hassan Karim bangkitkan isu ini. MCA turut suarakan isu ini. Think Tank seperti IDEAS, CAP, Sahabat Alam Malaysia, C4 dan Galen Center juga bangkitkan isu ini. Takkan nak kata semua ini kritikan politik disebabkan tak suka Kerajaan. Itu satu pandangan yang kebudak-budakan lah “

Apabila ditanya tentang apa yang boleh dilakukan, Dr Muhammed menggesa Kerajaan mendedahkan minit mesyuarat kabinet berkaitan ART agar rakyat dapat menilai secara telus proses dan pertimbangan yang membawa kepada keputusan menandatangani perjanjian tersebut.

Rakaman penuh wawancara bersama Dr Muhammed Abdul Khalid di saluran Youtube Ekonomi Rakyat.