Kenapa Produk Kosmetik China ‘Banjiri’ Pasaran Malaysia?

Share it

Dari Pasaran Pengguna Ke Hab Global 

Pasaran kecantikan kini menyaksikan peningkatan jenama China yang bukan sahaja memperkukuh penguasaan mereka dalam pasaran domestik, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor kecantikan global. 

Buktinya, jenama dari negara itu seperti Judy Doll, Skintific, Flower Knows, Into You dan TimePhoria ‘membanjiri’ rangkaian farmasi seperti Watson dan Guardian di Malaysia. 

Bagaimana China boleh transformasi daripada sekadar ‘kilang dunia’ kepada hab inovasi industri kecantikan?

Evolusi China Dalam Industri Kecantikan 

Sekitar tahun 1990 sehingga 2010, China menjadi salah satu pasaran pertumbuhan paling penting bagi syarikat kecantikan global.

Ini susulan wujud permintaan yang tinggi terhadap produk kecantikan antarabangsa kerana pengguna di negara itu melihat jenama Barat sebagai simbol berkualiti dan status sosial.

Syarikat multinasional seperti L’Oreal, Estee Lauder dan Shiseido melabur secara agresif bagi mengukuhkan kedudukan mereka di negara tersebut.

Pada dekad seterusnya, China mula beralih daripada sekadar pengguna kepada pengeluar apabila negara itu membangunkan ekosistem pengilangan yang semakin maju, didorong oleh pelaburan besar dalam teknologi, automasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D).

Kilang Original Equipment Manufacturer (OEM) dan Original Design Manufacturer (ODM) tempatan mula meningkatkan keupayaan sehingga mampu menghasilkan produk yang memenuhi piawaian antarabangsa. 

ODM merupakan syarikat yang mereka bentuk dan mengeluarkan produk yang kemudiannya dijenamakan serta dijual oleh syarikat lain dibawah nama jenama mereka sendiri.

Pada masa sama, syarikat-syarikat China mula membangunkan formulasi, pembungkusan dan teknologi mereka sendiri.

Bermula tahun 2020, China memasuki fasa baharu apabila negara itu tidak lagi sekadar mengeksport produk siap, sebaliknya mula mengeksport keupayaan industri secara menyeluruh.

Hari ini, China menjadi sumber kepada pelbagai elemen kritikal dalam industri kecantikan global termasuk pembangunan formulasi, teknologi pembuatan, bahan mentah, reka bentuk pembungkusan, penyelidikan saintifik serta kepakaran profesional.

Selain itu, kemajuan dalam bidang bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan e-dagang turut memperkukuh kedudukan China sebagai pusat pembangunan industri kecantikan global.

Industri Kecantikan China Berkembang Global 

Pada 2025, Biro Statistik Kebangsaan China (NBS) melaporkan jualan runcit produk kosmetik mencecah 456.3 bilion yuan (RM274 bilion), meningkat 5.1% berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, China Association of Fragrance Flavour and Cosmetic Industries melaporkan nilai transaksi kosmetik pada tahun sama merentasi semua saluran jualan melebihi 1.1 trilion yuan (RM700 bilion), meningkat 2.8% tahun ke tahun.

Data daripada persatuan itu menunjukkan bahawa dalam kalangan 500 jenama teratas mengikut nilai transaksi pada 2025, bilangan jenama yang mencecah jualan melebihi 100 juta yuan (RM60 juta) telah meningkat daripada 746 pada 2023 kepada 839.

Pada masa yang sama, bahagian pasaran (market share) jenama tempatan negara itu meningkat kepada 57.37%, menunjukkan pertumbuhan lima tahun berturut-turut dan memberi isyarat peralihan dalam kuasa pasaran.

Bahagian pasaran itu meningkat daripada 52.22% (2023) kepada 55.2% (2024), iaitu peningkatan 2.9 mata peratusan sebelum terus naik 2.1 mata peratusan sebanyak 57.37% pada tahun 2025.

Menariknya, 10 perniagaan kecantikan tempatan China teratas menjana jumlah hasil melebihi 60 bilion yuan (RM36 bilion), dengan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak 7.16 bilion yuan (RM36 bilion) pada 2025.

Malah, untuk berada dalam kedudukan 10 tangga teratas perniagaan kecantikan di China, syarikat tersebut perlulah meraih sekurang-kurangnya tiga bilion yuan (RM1.8 bilion).

Ini merupakan lonjakan besar berbanding 2024, apabila jumlah hasil yang dicatatkan berjumlah 54.37 bilion yuan (RM32.62 bilion) dan keuntungan bersih pada 4.88 bilion yuan (RM2.93 bilion)

Bagi pengguna di China, kesedaran jenama, reputasi jangka panjang dan kepercayaan pelanggan sangat penting dalam menentukan penerimaan harga dan pembelian berterusan.

Justeru, mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan jenama-jenama kecantikan bagi menghasilkan produk-produk yang berkualiti.

Tambahan pula, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pasaran kecantikan China seperti percubaan mekap maya, perisian diagnostik kulit, perkhidmatan kosmetik dan pelbagai aplikasi teknologi runcit berkaitan membantu pasaran tersebut.

Meski pun masih di peringkat awal, pasaran teknologi kecantikan China yang merangkumi AI, realiti terimbuh (AR) dan teknologi boleh pakai (wearable technology) menjana hasil sebanyak 40.16 bilion yuan (RM25.83 bilion) pada tahun 2024.

Teknologi boleh pakai ialah peranti elektronik pintar yang direka untuk dipakai pada tubuh badan dan mampu mengumpul, memproses serta menghantar data secara masa nyata seperti Apple Watch dan Fitbit Charge.

Dalam konteks industri kecantikan, teknologi boleh pakai digunakan untuk memantau keadaan kulit dan cadangan produk berasaskan AI.

Impak Terhadap Pasaran Malaysia 

Kini, penggemar kecantikan dalam negara dapat merasai sendiri gelombang jenama ‘C-beauty’ dengan kemasukan agresif produk kecantikan dari China melalui platform dalam talian seperti Shopee, TikTok Shop dan Lazada dipengaruhi trend kecantikan China melalui platform seperti Xiaohongshu dan Douyin.

Selain kehadiran di platform e-dagang, jenama C-beauty turut menggunakan strategi pemasaran influencer seperti Key Opinion Leader (KOL)  untuk menembusi pasaran serantau, termasuk Malaysia.

Menerusi kerjasama dengan pempengaruh kecantikan tempatan di TikTok dan Instagram, jenama-jenama ini berjaya membina kepercayaan pengguna dengan lebih pantas berbanding kaedah pengiklanan tradisional.

Ini secara langsung turut memberi tekanan kepada rangkaian farmasi tempatan seperti Watson, Guardian dan Caring Pharmacy untuk membawa produk-produk masuk ke dalam pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan.

Dalam pada itu, ia turut mewujudkan ekosistem kebergantungan pasaran tempatan terhadap China khususnya rantaian bekalan.

Hal ini kerana majoriti bahan aktif kosmetik seperti peptida, niacinamide, asid hyaluronik akan diimport dari China menyebabkan pengilang tempatan dijangka bergantung kepada China untuk pembungkusan dan bahan mentah.

Tetapi jika dilihat daripada sudut positif, ia juga boleh membantu Malaysia meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) kerana kebanyakan jenama kosmetik China kini berusaha untuk pergi ke peringkat global, dengan Asia Tenggara menjadi destinasi pertama mereka.

Sebagai contoh, syarikat induk jenama Judydoll dan Joocyee, Joy Group akan membuka kedai di Malaysia menjelang akhir tahun ini, selepas membuka butik pertama di Singapura tahun lepas.

Dengan perkembangan ini, Malaysia mempunyai potensi sebagai tapak OEM/ODM sekali gus dapat mencipta peluang pekerjaan dalam pengeluaran, R&D dan logistik buat rakyat tempatan.

Kebangkitan industri kecantikan China membawa kesan, peluang dan cabaran yang berbeza kepada pasaran Malaysia. Selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna tempatan dan membuka ruang pelaburan baharu, ia turut menuntut industri kecantikan domestik untuk lebih inovatif.

Jika Malaysia ingin memanfaatkan gelombang ini, dasar yang menyokong pembangunan kapasiti tempatan sama ada dalam pengeluaran, R&D mahupun penjenamaan adalah penting agar negara tidak sekadar menjadi pasaran pengguna, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam rantaian nilai industri kecantikan serantau.