SpaceX – Rugi RM20 Bilion, Tapi Bernilai RM5 Trilion

Share it

Space Exploration Technologies Corp (SpaceX) telah disenaraikan di NASDAQ menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bernilai $75 bilion (RM310 bilion), menjadikannya IPO terbesar dalam sejarah dunia. Nilai tersebut jauh mengatasi IPO Saudi Aramco yang mengumpulkan $25.6 bilion pada tahun 2019.

Dengan penilaian pasaran mencecah $2.3 trilion (RM9.4 trilion), penyenaraian SpaceX turut menjadikan Elon Musk individu pertama di dunia yang memiliki kekayaan melebihi $1 trilion.

Kekayaan Elon Musk ketika ini adalah sebanyak $1.2 trilion, iaitu bersamaan dengan RM5.1 trilion. Sebagai perbandingan, jumlah tersebut adalah kira-kira 2.5 kali lebih besar daripada keseluruhan saiz ekonomi Malaysia yang bernilai sekitar RM2 trilion.

Tiga Cabang Perniagaan

SpaceX kini beroperasi dalam tiga segmen utama iaitu angkasa, perhubungan dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam segmen angkasa, syarikat itu dilaporkan telah melaksanakan lebih 650 pelancaran roket dengan mengetengahkan teknologi roket boleh guna semula yang mengurangkan kos penghantaran ke orbit.

Bagi segmen perhubungan pula, SpaceX mengendalikan perkhidmatan internet satelit Starlink yang membolehkan capaian internet diperoleh hampir di mana sahaja melalui rangkaian lebih 9,600 satelit.

Segmen AI pula dipacu oleh platform X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter. Platform tersebut menjadi medan pembangunan dan ujikaji untuk Grok, chatbot yang dibangunkan oleh xAI.

Potensi pasaran yang diterokai oleh SpaceX mencecah $5.7 trilion

Menurut prospektus yang dikongsi sempena penyenaraian syarikat itu, gabungan ketiga-tiga segmen tersebut dianggarkan mempunyai potensi nilai pasaran mencecah $5.7 trilion (RM23 trilion).

SpaceX Masih Mencatat Kerugian

Walaupun mendapat sambutan luar biasa daripada pelabur, nilai syarikat SpaceX turut mengundang persoalan.

Sebilangan penganalisis berpendapat nilai syarikat itu terlalu tinggi berbanding prestasi kewangannya. Morningstar, misalnya, menganggarkan nilai saksama saham SpaceX sekitar $68 sesaham, jauh lebih rendah berbanding harga IPO $135 dan harga dagangan semasa sekitar $154.

Persoalan utama adalah sama ada prestasi kewangan syarikat mampu menyokong penilaian bertrilion dolar tersebut.

Pada tahun 2025, SpaceX merekodkan hasil sebanyak $18.7 bilion (RM77 bilion), namun masih mencatatkan kerugian bersih berjumlah $4.9 bilion (RM20 bilion).

Bagi suku pertama tahun ini, syarikat itu turut melaporkan kerugian sebanyak $4.9 bilion dengan hasil $4.7 bilion, meningkat daripada $4.1 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi pelabur, angka-angka ini mungkin tidak menggambarkan sebuah syarikat bernilai tinggi.

Namun dalam dunia teknologi, kerugian sering dianggap sebagai kos untuk pertumbuhan. Pelabur lazimnya lebih memberi perhatian kepada potensi penguasaan pasaran pada masa hadapan berbanding keuntungan semasa, khususnya bagi syarikat yang mempunyai kelebihan teknologi yang sukar ditandingi pesaing.

Faktor Elon Musk sendiri turut memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan pelabur.

Beliau terkenal dengan kemahiran ‘menjual’ kerana keupayaannya membina naratif pertumbuhan yang menarik minat pasaran. Oleh itu, Musk dilaporkan memperuntukkan sekitar 20% daripada saham IPO kepada pelabur runcit, sekali gus membuka ruang kepada peminat atau pentaksubnya untuk turut memiliki saham SpaceX.

Tidak hairan Elon Musk terkenal dengan ‘Sentuhan Midas’nya, kerana kebiasaannya menerima penilaian yang jauh lebih tinggi berbanding syarikat lain dalam industri yang sama.

Tesla merupakan contoh paling jelas. Walaupun syarikat itu hanya merekodkan keuntungan bersih sekitar $3.8 bilion (RM16 bilion), nilai pasarannya mencecah $1.2 trilion (RM5 trilion).

Toyota, yang merekodkan keuntungan $25 bilion (RM100 bilion) hanya mempunyai nilai pasaran sebanyak $273 bilion (RM1.1 trilion), hanya 22% daripada nilai Tesla walaupun mempunyai keuntungan lima kali ganda lebih besar.

Sebagai perbandingan esktrem, syarikat paling bernilai di Malaysia, Maybank, yang mencatat keuntungan tahunan sekitar RM10 bilion, hanya mempunyai nilai pasaran kira-kira RM135 bilion iaitu bersamaan sekitar 2.7% daripada nilai Tesla.

Pertaruhan Masa Hadapan

Sama ada penilaian SpaceX hari ini wajar atau tidak, hanya masa yang akan menentukan.

Melalui platform X, Elon Musk menyatakan sasaran syarikat itu untuk menjana hasil sebanyak $1 trilion menjelang tahun 2030. Jika sasaran tersebut berjaya dicapai, SpaceX berpotensi muncul sebagai syarikat paling bernilai serta antara syarikat dengan hasil paling tinggi di dunia.