17% Institusi Kewangan Berjaya Melaksanakan Inisiatif AI Secara Berskala Besar

Share it
Majlis Pelancaran Laporan Penyelidikan Tadbir Urus AI FIDE FORUM dan Accenture Malaysia.

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Hanya 17% institusi kewangan berjaya melaksanakan inisiatif Kecerdasan Buatan (AI) strategik pada skala besar, menurut laporan penyelidikan oleh FIDE FORUM dan Accenture Malaysia.

Jelasnya, meskipun penggunaan AI mendapat momentum dalam sektor kewangan negara, hanya segelintir institusi berjaya menterjemahkan penggunaan awal AI kepada transformasi menyeluruh di peringkat perusahaan.

“71% bank di Malaysia telah melaksanakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI, hanya 17% institusi kewangan berjaya melaksanakan inisiatif AI strategik pada skala besar,” katanya. 

Malah, tiada syarikat insurans yang berjaya melaksanakan inisiatif AI strategik pada skala besar, sekali gus menyerlahkan jurang antara penggunaan AI dan penciptaan nilai di peringkat perusahaan.

Laporan itu dipetik dalam ‘From Oversight to Advantage: How Boards Can Accelerate AI Adoption in Malaysia’s Financial Institutions’, yang ditauliahkan oleh FIDE FORUM dan dibangunkan Accenture Malaysia.

Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, ketika AI semakin diterapkan secara meluas dalam sektor kewangan, peranan lembaga pengarah juga perlu berkembang seiring dengannya.

“Cabaran hari ini bukan lagi sama ada organisasi perlu mengguna pakai AI, tetapi bagaimana ia boleh dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing, memperkukuh produktiviti dan mengekalkan kepercayaan awam.”

“Kepimpinan kukuh, tadbir urus yang mantap serta pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat akan menjadi faktor penting untuk memastikan AI dapat menjana nilai jangka panjang kepada institusi, pelanggan dan ekonomi secara keseluruhan,” katanya. 

Laporan itu turut menganggarkan penggunaan AI secara berskala besar berpotensi meningkatkan keuntungan sebelum cukai institusi kewangan Malaysia sehingga 16%, bersamaan kira-kira $1.8 bilion (RM7.7 bilion) dalam nilai tambahan.

Pada masa sama, AI dijangka mampu menyumbang sekitar $113 bilion (RM480 bilion) kepada ekonomi negara.

Pengerusi FIDE FORUM, Datuk Kamaruddin Taib memaklumkan AI bukan lagi satu pertimbangan masa depan tetapi satu keperluan strategik.

“Pelaksanaan AI pada skala besar memerlukan Lembaga Pengarah melangkaui peranan pengawasan dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk strategi, tadbir urus, pembangunan bakat serta kesiapsiagaan organisasi.”

“Pada akhirnya, AI bukan semata-mata isu teknologi. Ia adalah isu tadbir urus dan kepimpinan yang memerlukan penglibatan aktif daripada Lembaga Pengarah,” ujarnya.