Kutipan Zakat Lebih RM4 Bilion Setahun – Ke Mana Hala Tuju Institusi Zakat di Malaysia?

Share it

Zakat memainkan peranan yang amat besar kepada umat Islam bukan sahaja dari sudut ibadah, malah dari segi impaknya terhadap ekonomi dan sosial. Menurut data Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), jumlah kutipan zakat bagi negeri-negeri di Malaysia (kecuali Perlis) mencecah RM4.18 bilion pada 2022.

Walaupun angka ini jauh lebih kecil berbanding kutipan cukai pendapatan korporat dan individu yang berjumlah RM115.9 bilion pada tahun yang sama, ia tetap mencerminkan kepentingan sistem zakat sebagai salah satu daripada instrumen pengagihan kekayaan di Malaysia, khususnya dalam kalangan umat Islam.

Namun, di sebalik jumlah kutipan zakat yang amat besar ini, terdapat sebilangan pihak yang merasakan bahawa agihannya kepada golongan yang memerlukan masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Mereka berpendapat walaupun jumlah kutipan terus meningkat saban tahun, masih ramai individu dan keluarga asnaf yang hidup serba daif serta berdepan dengan pelbagai rintangan ekonomi tanpa menerima bantuan yang sewajarnya daripada institusi-institusi zakat ini.

Kadangkala, tular di media sosial mengenai kisah-kisah keluarga miskin yang tidak menerima bantuan mencukupi, baik daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri mahupun institusi-institusi zakat. Apabila kisah mereka viral, barulah berduyun-duyun bantuan muncul dalam pelbagai bentuk untuk membantu mereka, termasuk bantuan zakat.

Kisah-kisah sebegini menimbulkan persoalan tentang peranan zakat yang sepatutnya menjadi benteng pertama dalam membantu golongan susah sehingga ada pihak yang mempersoalkan peranan pusat-pusat zakat dalam mencari mereka yang memerlukan pertolongan.

Kenapa Orang Ramai Kurang Yakin Terhadap Institusi Zakat?

Antara isu utama yang sering dibangkitkan ialah kerenah birokrasi yang wujud dalam pengagihan zakat, sehingga menyebabkan bantuan tidak sampai kepada penerima. Selain itu, terdapat juga persoalan yang timbul terhadap penggunaan dana zakat, yang kadangkala dilihat tidak selari dengan tujuan asalnya seperti yang digariskan dalam syariat Islam. 

Beberapa insiden yang berlaku sebelum ini telah menimbulkan tanda tanya mengenai ketelusan institusi zakat dalam menguruskan dana yang dikutip. 

Antara perbelanjaan menggunakan duit zakat di bawah kategori asnaf fisabilillah yang dilakukan MAIWP seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1.

Sebagai contoh, Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 telah menegur Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana sebanyak RM14.73 juta wang zakat bagi asnaf fisabilillah didapati tidak digunakan untuk tujuan yang sepatutnya. Ada antara duit zakat tersebut digunakan untuk bantuan sumbangan wang tunai Aidilfitri kepada warga JAWI, pembelian pakaian seragam pegawai penguatkuasa JAWI, anugerah kecemerlangan warga JAWI serta program ‘retreat’ untuk imam-imam dan pegawai bahagian pengurusan masjid. Perbelanjaan-perbelanjaan ini yang sepatutnya dibiayai menerusi peruntukan mengurus tahunan JAWI, namun sebaliknya ia dibiayai menggunakan duit zakat yang dikutip MAIWP.

Kesemua perbelanjaan-perbelanjaan ini dilakukan di bawah kategori asnaf fisabilillah. Laporan yang sama turut mendedahkan bahawa agihan zakat di bawah kategori fisabilillah adalah yang tertinggi berbanding kategori-kategori lain yang lebih mustahak seperti asnaf fakir dan miskin.

Petikan Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2018

Manakala di Perlis misalnya, Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2018 menegur Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) kerana tidak mengagihkan sepenuhnya kutipan zakat yang diterima sehingga mempunyai lebihan zakat terkumpul sebanyak RM590 juta. Dalam tempoh lima tahun antara 2014-2018, hanya 60-65% sahaja pendapatan zakat tahunan yang telah diagihkan MAIPs.

Begitu juga dengan kisah yang viral di media sosial tidak lama dahulu, apabila anak kepada seorang bekas menteri agama dan mufti telah menerima biasiswa penuh tajaan zakat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Insiden-insiden sebegini ternyata menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, khususnya para pembayar zakat, yang mengharapkan wang zakat mereka digunakan sebaiknya untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan. Sekiranya isu-isu sebegini tidak ditangani segera, ia mungkin boleh menyebabkan semakin ramai orang teragak-agak untuk menunaikan kewajipan membayar zakat.

Prof Baharom Abd Hamid ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat pada Januari 2025

Baru-baru ini, Ekonomi Rakyat telah berkesempatan menemu ramah Profesor Baharom Abdul Hamid, seorang pakar ekonomi yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. Dalam wawancara tersebut, beliau menjelaskan bahawa apa yang uniknya pada sistem zakat ini ialah ia bukan sahaja berperanan sebagai instrumen pengagihan kekayaan semata-mata, sebagaimana sistem percukaian.

Malah, kewajipan menunaikan zakat sebenarnya merupakan satu bentuk instrumen bagi membendung ketamakan dan mencegah sikap mengumpul harta secara melampau dalam kalangan umat Islam. 

“Mungkin ramai yang tak tahu benda ini. Kenapa hukuman? Sebab zakat dia kata kalau ada harta, gunakan harta itu untuk kepentingan. Jangan simpan. Jadi zakat ini sebenarnya kalau kita lihat dari segi falsafahnya kenapa dia diperkenalkan? Selain daripada membantu mereka yang memerlukan, zakat juga memaksa umat Islam itu untuk tidak menyimpan harta, sorok harta. Jangan simpan, (sebaliknya) gunakan harta untuk kepentingan, pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan. Jadi kita kena lihat zakat daripada konteks yang lebih luas.”

Kutipan Zakat di Malaysia Hanya di Tahap 20%-30% Potensi Sebenar

Prof Baharom turut berkesempatan berkongsi penemuan utama daripada salah satu kajian terbarunya mengenai kutipan zakat di negeri-negeri di Malaysia. Menurut kajian tersebut, potensi kutipan zakat di kebanyakan negeri masih berada pada tahap yang rendah, iaitu sekitar 20% hingga 30% sahaja daripada jumlah sebenar yang boleh dikutip. 

Beliau menegaskan keadaan ini mungkin berpunca daripada tahap keyakinan masyarakat yang masih rendah terhadap institusi zakat, sehingga menyebabkan orang ramai mungkin lebih rela untuk menyalurkan sumbangan mereka melalui saluran lain seperti badan kebajikan, NGO, atau terus kepada penerima yang memerlukan, berbanding membayar zakat melalui institusi rasmi.

Lebih membimbangkan, terdapat trend dalam kalangan masyarakat Muslim untuk lebih patuh dalam membayar cukai pendapatan berbanding zakat walaupun zakat diberikan rebat cukai 100%. Situasi ini menunjukkan bahawa institusi-institusi zakat di Malaysia perlu segera melakukan pembaharuan menyeluruh bagi mengoptimumkan kutipan dan agihan zakat.

Hal ini kerana sekiranya potensi kutipan zakat kekal rendah, jumlah dana yang tersedia mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan golongan asnaf yang semakin meningkat. Dalam jangka panjang, ia juga berisiko melemahkan fungsi zakat sebagai instrumen pengagihan kekayaan yang efektif. 

Bagi menangani krisis ketidakpercayaan dalam kalangan pembayar zakat di Malaysia, Prof Baharom mencadangkan beberapa langkah penting yang perlu diambil oleh institusi-institusi zakat di Malaysia.

Jangan Hanya Lapor Kutipan Zakat, Laporkan Juga Agihan Zakat

Menurut beliau, apabila orang ramai membayar zakat, mereka sudah tentu mahu melihat impak positif yang dapat dijana daripada duit zakat yang mereka sumbangkan. Oleh yang demikian, institusi-institusi zakat perlu lebih proaktif, bukan sahaja dalam meningkatkan jumlah kutipan zakat, tetapi juga dalam melaporkan dengan jelas ke mana perginya dana tersebut dan bagaimana ia dimanfaatkan oleh golongan asnaf.

Pelaporan yang jelas mengenai agihan dana zakat bukan sahaja akan menyebabkan orang ramai berasa lebih yakin, malah dalam jangka panjang boleh memperkasakan sistem zakat di Malaysia, ujar Prof Baharom.

“Jadi bila orang melihat “Oh duit zakat yang saya bayar itu dapat membantu orang meningkatkan pendidikan, jadi saya nak bayar lebih lah. Saya tidak mahu bayar cukai, saya nak bayar zakat.” Jadi, bila orang seronok, orang nampak pulangan, maka kita secara tidak langsung, kita dapat memperkasakan kewangan Islam sosial, khasnya zakat.”

Apabila ditanyakan mengenai tahap pelaporan agihan dana zakat yang dilakukan oleh institusi-institusi zakat di Malaysia pada masa ini, Prof Baharom berpandangan bahawa ia masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Beliau menegaskan bahawa pelaporan yang dibuat oleh institusi-institusi zakat sering kali bersifat umum dan kurang terperinci, menyebabkan masyarakat sukar untuk memahami dengan jelas bagaimana dana zakat digunakan serta sejauh mana keberkesanannya dalam membantu golongan asnaf.

“Kurang ataupun tiada. Kita hanya dapat pelaporan kutipan zakat. Setiap negeri melaporkan: “Kami berjaya mengutip banyak ini, kami berjaya mengagih banyak ini”. Agih dengan cara apa? Macam mana dia meninggalkan kesan? Macam mana dia memberikan manfaat? Berapa ramai asnaf yang dapat keluar daripada kepompong asnaf?”

Menurut Prof Baharom, pelaporan yang dibuat oleh institusi zakat haruslah berasaskan indikator-indikator yang bersifat outcome-based dan boleh diukur impaknya dengan jelas kepada penerima bantuan zakat, bukan hanya sekadar menyenaraikan jumlah kutipan dan agihan semata-mata.

Walau bagaimanapun, proses pelaporan ini mungkin menghadapi cabaran besar kerana rata-rata pegawai institusi zakat mempunyai latar belakang akademik yang lebih tertumpu kepada pengajian agama semata-mata. Walaupun kepakaran dalam bidang syariah dan fiqh sangat penting, Prof Baharom berpendapat bahawa sistem pengurusan zakat yang moden dan efektif memerlukan gabungan kepakaran dari pelbagai disiplin seperti ekonomi, multimedia dan sains aktuari bagi memastikan pengurusan zakat yang lebih strategik.

Selain daripada pelaporan agihan dana zakat yang lebih telus, Prof Baharom turut menyeru institusi zakat supaya lebih bertanggungjawab, terutamanya dalam menguar-uarkan sebarang keputusan berkaitan penggunaan dana zakat. 

“Setiap kali bila kita buat keputusan, kita bagi tahu. Kita kata, “Kami telah bermesyuarat, melihat kepada hukum yang ini, kitab yang ini, menerima pandangan ini dan sebagainya.” Jadi orang senang hati. Jadi saya ingin menggalakkan semua institusi zakat di Malaysia agar menjadi lebih telus dalam menyuarakan keputusan.”

Kontroversi Kripto: Pembayaran Zakat dengan Mata Wang Digital

Prof Baharom turut berkesempatan mengulas mengenai pengumuman oleh salah sebuah institusi zakat di Malaysia mengenai pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto. Menurut institusi zakat berkenaan, langkah ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang menyediakan pilihan pembayaran zakat melalui mata wang digital seperti kripto.

Bagaimanapun, Prof Baharom menyuarakan pandangan berbeza berhubung perkara tersebut. Hal ini kerana menurut beliau, kripto amat berbahaya kerana nilainya yang sangat mudah turun naik atau ‘volatile’, sehingga menyebabkannya tidak sesuai sebagai medium pembayaran zakat. 

“ Siapa yang nak bertanggungjawab jika duit zakat yang diterima daripada kripto nilianya jatuh 50%? Siapa nak bertanggungjawab jika anda tidak dapat akses kripto dia? Itu saya kata, di dalam kita mengejar teknologi ini, kita harus fikir impak yang baik, impak yang buruk dan kesan keseluruhannya “

Transaksi yang berlaku di sebalik perdagangan kripto juga umumnya bersifat ‘anonymous’ dan menjadikan sumber serta asal-usulnya sukar untuk dijejaki. 

“Kajian terbaru telah menunjukkan secara empirikal, satu perempat daripada mata wang kripto yang berlegar di dunia, kebanyakan transaksi melibatkan aktiviti-aktiviti haram seperti perjudian, pelacuran, dadah. Nampak tak bahaya kripto ini? Dan kita nak bangga kita menghalalkan kripto? Tak kena bagi saya.”

Selain itu, timbul juga isu dari segi definisi mata wang kripto itu sendiri. Beliau menjelaskan isu zakat kripto ini sebenarnya boleh dilihat daripada dua cabang, iaitu (i) mengenakan zakat terhadap perdagangan kripto dan (ii) membayar zakat menggunakan kripto. 

Menurut Prof Baharom, walaupun kripto tidak pernah diberi kelulusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai means of payments ataupun kaedah pembayaran, namun ia telah dibenarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengklasifikasikan kripto sebagai ‘mal’ atau harta.

Walaubagaimanapun, Prof Baharom mempersoalkan keputusan ini kerana ‘mal’ menurut beberapa kamus terkemuka didefinisikan sebagai “ sesuatu yang boleh dilihat, dipegang, disentuh dan diketahui siapa pemiliknya” – yang mana kesemua sifat ini tidak wujud pada mata wang kripto.

Beliau juga bingung dengan keputusan membenarkan pembayaran zakat menggunakan kripto kerana pada asalnya penggunaannya dibenarkan oleh SC sebagai salah satu bentuk harta, bukannya sebagai satu bentuk ‘means of payment’ termasuklah untuk tujuan pembayaran zakat.

Prof Baharom turut mempersoalkan keperluan tindakan sebilangan institusi zakat di Malaysia yang berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama di dunia dalam memperkenalkan inisiatif baharu seperti pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto, sedangkan terdapat banyak lagi perkara lain yang perlu diberikan keutamaan.

Beliau menegaskan bahawa fokus sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh asas pengurusan zakat, terutamanya dalam aspek meningkatkan kadar kutipan dan pengagihan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Awak baru kutip 20%-30% daripada potensi (kutipan zakat), fokus dekat situ. Fokus macam mana nak yakinkan orang. Fokus macam mana nak agihkan kepada tempat-tempat yang produktif. Bukan mengejar glamour. Bukan mengejar rekod dunia. “Saya yang pertama di dunia”. Tidak! Fokus dekat perkara-perkara asas. Kita masih lagi banyak perkara asas belum diselesaikan.”