Pekerja asing sudah menjadi komponen penting dalam pasaran buruh negara sejak sekian lama. Setakat tahun 2023, terdapat lebih dua juta pekerja asing di Malaysia, mewakili hampir 13% daripada keseluruhan penduduk bekerja. Angka tersebut belum dicampurkan lagi dengan jumlah pekerja asing tidak berdaftar yang bekerja secara tidak sah.
Menurut sebuah kajian Bank Dunia yang bertajuk Who is Keeping Score? Estimating the Number of Foreign Workers in Malaysia, pekerja asing tanpa dokumen dianggarkan boleh mencecah sehingga 1.5 juta orang di Malaysia. Ini menunjukkan pekerja asing mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi negara, terutamanya dalam mengisi pekerjaan-pekerjaan berkemahiran rendah serta 3D, iaitu kotor (dirty), sukar (difficult) dan berbahaya (danger) yang tidak menjadi pilihan rakyat tempatan.
Sumbangan yang diberikan oleh pekerja asing kepada ekonomi negara dapat dilihat dengan ketara semasa pandemik COVID-19 apabila banyak industri terjejas kerana tidak cukup pekerja, terutamanya dalam sektor pembuatan dan pertanian yang masih bergantung besar kepada kaedah pengeluaran yang berintensifkan buruh.
Menurut Majlis Getah Malaysia (MRC), misalnya, industri getah negara dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM30 bilion antara tahun 2019-2021 akibat kekurangan pekerja asing. Begitu juga dengan industri sawit negara yang menanggung rugi hampir RM8 bilion setahun kerana menghadapi isu yang sama.
Meskipun memainkan peranan penting terhadap ekonomi negara, pekerja asing seringkali mendapat layanan yang berbeza berbanding pekerja tempatan. Diskriminasi terhadap pekerja asing ini wujud dengan ketara, lebih-lebih lagi melibatkan isu-isu seperti gaji, hak asasi dan akses kepada perlindungan sosial. Isu-isu sebegini, jika tidak ditangani segera, boleh memberi impak negatif kepada imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Tambahan pula, diskriminasi terhadap pekerja asing boleh menghalang Malaysia daripada mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.
Baru-baru ini, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia bercadang untuk mewajibkan pekerja bukan warganegara mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berperingkat. Perdana Menteri menjelaskan langkah ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk “memberikan memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa”.
Walau bagaimanapun, seperti yang sudah dijangka, pengumuman ini walaupun dialu-alukan oleh kebanyakan golongan akademik, ianya menerima reaksi yang agak negatif dalam kalangan pemain industri. Majoriti daripada mereka memberi alasan langkah ini bakal menambahkan beban kos kewangan kepada para peniaga, lebih-lebih lagi apabila ada di antara mereka yang sedang bergelut untuk membina semula perniagaan setelah dilanda pandemik. Tambahan pula, mereka juga berdepan dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang turut diumumkan dalam belanjawan tersebut. Langkah ini, menurut mereka, akan memberikan impak besar kepada struktur kos perniagaan dan mengurangkan margin keuntungan mereka.
Namun begitu, untuk berlaku adil, penilaian terhadap cadangan ini perlu dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira kesannya dari kedua-dua sudut jangka pendek dan panjang.
Adakah Patut Pekerja Asing Diwajibkan Caruman KWSP?
Antara tujuan utama langkah ini diperkenalkan adalah untuk meningkatkan akses perlindungan sosial bagi pekerja asing, sepertimana yang telah disarankan oleh piawaian-piawaian perburuhan antarabangsa. Perlindungan sosial sepatutnya menjadi hak asasi manusia secara universal tanpa dihadkan kepada golongan ataupun kumpulan tertentu sahaja.
Perkara ini ada dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat oleh PBB yang menetapkan bahawa “setiap orang, sebagai ahli masyarakat, mempunyai hak terhadap keselamatan sosial“. PBB turut menggalakkan negara-negara anggotanya memastikan pekerja asing diberikan akses kepada perlindungan sosial melalui inisiatif Global Compact for Safe, Orderly and Regular Migration (GCM). Inisiatif ini yang telah disokong oleh 164 negara, termasuk Malaysia, pada Disember 2018, merupakan satu usaha global untuk memastikan perlindungan sosial yang lebih baik bagi pekerja migran.
Begitu juga dengan Artikel 6 dalam Konvensyen Migrasi untuk Pekerjaan (Disemak), 1949 (No. 97) oleh ILO yang menggariskan keperluan untuk negara-negara anggota memberikan layanan sama rata kepada pekerja asing. Ini termasuklah dengan menggubal undang-undang dan dasar yang membolehkan pekerja asing mengakses perlindungan sosial untuk melindungi mereka daripada risiko-risiko seperti kecederaan di tempat kerja, bersalin, penyakit, ketidakupayaan dan usia tua.
Langkah mewajibkan caruman simpanan persaraan bagi pekerja asing bukanlah sesuatu yang baru, malah ia telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun. Selain itu, langkah ini juga boleh memberikan impak positif terhadap ekosistem pasaran buruh secara keseluruhan, dengan mewujudkan suasana yang lebih kompetitif untuk pekerja tempatan. Apabila majikan diwajibkan untuk membuat caruman simpanan persaraan bagi pekerja asing, ia akan membantu merapatkan jurang kos antara pengambilan pekerja asing dan tempatan.
Dalam konteks Malaysia, contohnya, sebelum ini, majikan mungkin lebih cenderung untuk menggajikan pekerja asing disebabkan oleh kos yang lebih rendah kerana tidak perlu mencarum KWSP. Sebagai contoh, sekiranya seorang pekerja asing menerima gaji bulanan sebanyak RM1,700 mengikut kadar gaji minimum baharu, majikan tidak perlu membayar caruman KWSP sebanyak RM2,652 setahun, berbanding pekerja tempatan.
Penjimatan tersebut menguntungkan majikan kerana kadar levi tahunan yang dikenakan untuk mengambil pekerja asing adalah lebih rendah, di mana kadar levi tahunan tertinggi hanyalah RM1,850 sahaja seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam erti kata lainnya, majikan boleh jimat sehingga RM802 setahun kerana perbezaan yang wujud antara caruman KWSP dan levi pekerja asing tersebut. Dengan mewajibkan caruman simpanan persaraan untuk pekerja asing, kos ini menjadi lebih setara, sekaligus mengurangkan kelebihan kos yang ada dalam menggajikan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.
Sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan, pihak majikan dan industri ada dua pilihan yang ideal, sama ada mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing, ataupun membuat pelaburan terhadap kaedah pengeluaran yang lebih berintensifkan modal, terutamanya dalam teknologi dan inovasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Pilihan yang kedua sudah tentu pilihan yang lebih baik kerana ia akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ kepada majikan dan pekerja. Di samping dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, pelaburan dalam kaedah pengeluaran berintensifkan modal juga dilihat dapat menjadikan industri lebih berdaya tahan terhadap gangguan ekonomi, seperti yang telah berlaku semasa pandemik COVID-19 yang menyebabkan krisis kekurangan tenaga buruh.
Dalam jangka panjang, pelaburan dalam teknologi canggih seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) juga akan membantu negara melonjakkan produktiviti, sekali gus keluar dari rantaian nilai yang rendah, satu masalah yang telah lama membelenggu Malaysia dan menyebabkan negara terperangkap dalam ‘middle-income trap’. Isu ini telah mendapat perhatian dalam beberapa siri Rancangan Malaysia dan dasar ekonomi sebelum ini, termasuk Model Baru Ekonomi (NEM) 2010-2020, yang menekankan kepentingan menangani cabaran ini melalui intervensi dasar yang lebih praktikal.
Produktiviti Tinggi, Peluang Pekerjaan Lebih Baik untuk Rakyat
Sekiranya diperhatikan, peningkatan yang ketara dalam jumlah pekerja asing berlaku semasa Malaysia melalui fasa pengindustrian besar-besaran yang berlaku ketika era 1980-an. Pada tahun 1982, pekerja asing hanya mewakili 2.6% sahaja daripada keseluruhan penduduk bekerja di Malaysia. Namun begitu, kira-kira empat dekad kemudian, angka tersebut telah meningkat kepada 12.7% setakat tahun 2023, menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap model pengeluaran berasaskan buruh dan pekerja asing terus berlaku walaupun ekonomi negara semakin berkembang.
Sekiranya produktiviti negara dipertingkatkan, ini berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih tinggi kepada rakyat. Isu-isu seperti pengangguran belia dan ketidaksepadanan pekerjaan juga akan dapat diatasi dalam jangka panjang. Hal ini kerana antara punca wujudnya masalah-masalah tersebut adalah disebabkan oleh struktur ekonomi negara dan sikap pemain-pemain industri yang sekian lama berada dalam zon selesa mengamalkan kaedah pengeluaran berasaskan buruh dengan mengambil begitu ramai pekerja asing.
Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2018, misalnya, ada menyebutkan bahawa kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing menyebabkan majikan tidak berminat untuk melabur di dalam teknologi ataupun automasi. Keadaan ini menyebabkan gaji pekerja di Malaysia secara keseluruhannya sukar ditingkatkan kerana kurangnya bilangan pekerjaan-pekerjaan bergaji tinggi dan berkemahiran tinggi yang dapat diwujudkan. Siswazah yang menamatkan pengajian juga ramai yang terpaksa bekerja di bawah kelayakan mereka disebabkan oleh peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang terhad. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat hampir dua juta pekerja di Malaysia yang memiliki pendidikan tertiari, namun bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah atau sederhana.
Akibatnya, gaji pekerja di Malaysia kekal rendah kerana rata-rata pekerjaan tersebut menerima gaji yang rendah. Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2023 yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hampir 40% graduan ijazah pertama menerima gaji permulaan di bawah RM2,000 sebulan. Selain isu gaji rendah, rata-rata pekerja di Malaysia juga turut berhadapan dengan isu peningkatan gaji yang terlalu perlahan. Ini dibuktikan dengan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati bahawa separuh pekerja di Malaysia hanya menerima kenaikan gaji sebanyak RM56 setahun antara tempoh 2010-2019. Angka ini menggambarkan betapa gaji di Malaysia bersifat ‘stagnant’ dan peningkatan gaji yang dirasai adalah sangat minimal, terutamanya apabila sektor yang berorientasikan buruh terus didominasi oleh pekerja asing.
Selain itu, kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Global 2024 yang diterbitkan oleh IMD juga mengalami penurunan, jatuh tujuh anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Ini merupakan pencapaian yang mengecewakan, kerana Malaysia kini buat pertama kalinya berada di belakang negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dalam indeks tersebut. Kejatuhan ini mencerminkan cabaran besar yang dihadapi oleh Malaysia dalam mengekalkan daya saing global di tengah-tengah persaingan ekonomi yang semakin sengit.
Untuk memperbaiki keadaan ini, Malaysia perlu memberi tumpuan yang lebih besar kepada inovasi dan teknologi. Pelaburan dalam teknologi canggih dan automasi akan membolehkan negara mempertingkatkan produktiviti, yang pada akhirnya akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik. Dengan memberi fokus kepada transformasi ekonomi yang berasaskan teknologi serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, barulah Malaysia lebih bersedia untuk menghadapi cabaran global, meningkatkan daya saingnya dan membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mampan di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada menyatakan bahawa kuota pekerja asing di Malaysia sudah semakin hampir mencapai had yang telah ditetapkan sebanyak 2.5 juta pekerja atau 15% daripada tenaga kerja. Oleh yang demikian, cadangan mewajibkan pekerja asing mencarum dalam KWSP mungkin boleh dianggap sebagai salah satu dasar praktikal yang mampu membantu mengatasi kebergantungan tinggi Malaysia terhadap pekerja asing dan seterusnya melonjakkan produktiviti negara.