13 Tahun Selepas Penyenaraian FGV – Bagaimana FELDA Dibelenggu Hutang Lebih RM13 Bilion?

Share it

Penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) pada tahun 2012 mencetuskan sensasi antarabangsa apabila langkah korporat tersebut direkodkan sebagai Tawaran Awam Permulaan (IPO) kedua terbesar di dunia selepas Facebook, dan terbesar di Malaysia sejak November 2010.

FGV yang merupakan pengendali minyak sawit ketiga terbesar dunia, disenaraikan pada 28 Jun 2012 dengan harga RM4.55 sesaham, sekaligus mencerminkan nilai permodalan pasaran (market cap) sebanyak RM16.5 bilion.

Daripada langkah penyenaraian ini, FGV berjaya meraih RM4.5 bilion hasil penjualan saham kepada pelabur.

Peneroka-peneroka FELDA pula mendapat habuan besar apabila menerima RM15,000 one-off payment setiap seorang sebagai pemberian khas, setelah FELDA menerima RM6.0 bilion hasil penjualan saham mereka ketika IPO.

Dengan hasil setinggi RM12.89 bilion dan keuntungan sebanyak RM905.1 juta direkodkan FGV pada tahun 2012 – FELDA, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan GLIC-GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan) antara yang mendapat manfaat setelah memegang lebih 67% saham FGV pada ketika itu.

Namun, selepas 13 tahun, FELDA yang kini merupakan pemilik utama FGV (kini dikenali sebagai FGV Holdings Berhad) dengan 82% pegangan saham terus dibelenggu pelbagai masalah kewangan.

FGV yang pernah mencapai harga tertinggi sebanyak RM5.32 sesaham pada awal-awal penyenaraian, kini hanya diniagakan pada RM1.31 sesaham. Ini menyebabkan FELDA terpaksa merekodkan penjejasan nilai (impairment) di dalam penyata kewangan mereka akibat kehilangan nilai pelaburan mereka apabila harga FGV merudum.

Walaubagaimanapun, FGV bukanlah punca mengapa FELDA dibelenggu masalah. FGV sejak disenaraikan pada tahun 2012 telah merekodkan keuntungan keseluruhan sebanyak RM4.6 bilion, disebalik model perniagaan yang agak unik berbanding syarikat-syarikat perladangan yang lain.

Ini kerana kebanyakan syarikat perladangan di negara ini seperti SD Guthrie, KLK, IOI dan United Plantations memproses hasil sawit daripada ladang yang diusahakan mereka sendiri.

Berbeza dengan FGV, dimana lebih ⅔ hasil sawit diproses dari ladang luar kecil sekaligus menjadikan FGV antara syarikat perladangan terbesar di dunia yang memproses hasil sawit dari peneroka-peneroka dan pekebun-pekebun kecil.

Selain itu, FGV juga memiliki kilang gulanya yang tersendiri iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dimana FGV mengawal 51% pegangan. Segmen ini kurang menarik buat syarikat-syarikat kelapa sawit lain di Malaysia disebabkan keperluan kawal selia yang tinggi kerana harga gula ditetapkan oleh Kerajaan. 

Disebalik prestasi yang memberangsangkan FGV, kedudukan kewangan FELDA terus merudum apabila merekodkan kerugian saban tahun, dengan prestasi terburuk pada tahun 2017 dimana FELDA merekodkan kerugian sebanyak RM4.9 bilion.

Kini, FELDA juga dikatakan menanggung hutang melebihi RM13 bilion daripada beberapa institusi kewangan, bagi membiayai pelbagai transaksi korporat yang diambil sebelum ini.

Keadaan mendesak FELDA ini mendapat perhatian YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Berbuka Puasa pada Mac lalu. Beliau menggesa FELDA untuk membentangkan Pelan Hala Tuju yang baru dengan segera, bagi memperbaiki kedudukan kewangan dan menentukan peranan agensi berkenaan.

Di Mana Silapnya?

Isu yang membelenggu FELDA ini bukanlah masalah yang baru tiba beberapa tahun lalu, tetapi berpunca daripada pelbagai siri kesilapan strategi korporat sejak sekian lama.

Salah satu faktor yang menyebabkan FELDA berdepan dengan krisis kewangan ini adalah disebabkan perbelanjaan tidak produktif setelah menerima berbilion ringgit tunai setelah IPO FGV.

Daripada RM10.5 bilion hasil yang diterima melalui IPO, FELDA meraih RM6.0 bilion manakala FGV menerima RM4.5 bilion. Walaupun menerima bayaran yang tinggi, FELDA tidak membelanjakan wang itu sebaiknya yang boleh memberikan pulangan pelaburan buat agensi Kerajaan tersebut.

FELDA menerima RM6 bilion hasil penyenaraian FGV, namun 76.1% wang yang diterima digunakan untuk tujuan yang tidak produktif menurut Kertas Putih FELDA

Kertas Putih Kerajaan yang dibentangkan pada tahun 2019 menunjukkan bahawa 76% daripada wang yang diterima iaitu kira-kira RM4.6 bilion dibelanjakan untuk tujuan-tujuan tidak produktif.

Antara perbelanjaan tersebut adalah:

  • RM1.69 bilion untuk pemberian khas kepada peneroka
  • RM550 juta sebagai sumbangan one-off kepada kerajaan negeri
  • RM400 juta untuk pinjaman pembesaran rumah peneroka

Hanya RM1.4 bilion (23.9%) digunakan untuk tujuan pelaburan atau pengambilalihan syarikat baharu yang boleh menjana pulangan pada masa hadapan.

Tindakan memberi bayaran one-off RM15,000 kepada warga peneroka dikritik hebat oleh sebilangan pihak kerana dianggap bermotifkan politik, apabila Barisan Nasional cuba menarik sokongan daripada pengundi-pengundi FELDA di 54 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Taktik ini meskipun mengakibatkan implikasi kewangan buat FELDA, namun membuahkan hasil dari sudut politik, setelah UMNO berjaya meningkatkan bilangan kerusi Parlimen daripada 78 kerusi kepada 86 kerusi.

Kontroversi Pembelian Eagle High Plantations

FELDA turut terpalit dengan kontroversi apabila membeli 37% saham PT Eagle High Plantations (EHP) pada Disember 2016 daripada bilionair Indonesia, Peter Sondakh pada harga US$505.4 juta – 96% lebih tinggi daripada harga pasaran ketika itu.

Kajian forensik mendapati saham Eagle High Plantations dibeli oleh FELDA pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran

Transaksi perniagaan ini menimbulkan rasa kurang senang sebilangan pihak yang menyifatkan langkah korporat ini sebagai satu bentuk bailout kepada Peter Sondakh, yang diketahui rapat dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak. 

Peter Sondakh dikhabarkan berdepan dengan masalah kewangan akibat kejatuhan minyak sawit mentah global. Pada tahun 2014, harga minyak sawit mentah berlegar pada harga sekitar RM2,800 setan, dan merudum kepada RM2,000 setan pada tahun 2015.

Struktur pembelian saham EHP juga membayangkan bahawa pembelian tersebut bukanlah bersifat komersial, tetapi lebih menjurus kepada bantuan kewangan kepada Peter Sondakh memandangkan FELDA diberi keistimewaan untuk menjalankan put option, dimana FELDA boleh menjual kembali pegangan mereka kepada Rajawali Corporation International (RCI) – syarikat milik Peter Sondakh – dengan tambahan faedah 6% setiap tahun.

Meskipun FELDA telah menjual pegangan 37% kepada RCI pada Mei 2022, namun pelaburan yang dibuat terhadap EHP ini tidak membuahkan sebarang keuntungan dan dividen kepada FELDA. 

Hal ini kerana meskipun saham dijual pada harga yang lebih tinggi (termasuk kadar faedah 6%) berbanding harga pembelian, namun FELDA perlu melunaskan komitmen kewangannya kepada entiti milik Kerajaan, GovCo Holdings Berhad yang membiayai pembelian tersebut pada tahun 2017.

RM3.6 bilion pinjaman digunakan untuk tujuan operasi FELDA

Langkah-langkah korporat ini telah memberikan implikasi negatif buat kewangan FELDA, apabila terpaksa berhutang untuk membiayai operasi syarikat. Dari tahun 2014 hingga 2017, RM3.6 bilion pinjaman yang diperoleh dari Maybank, CIMB Bank, Affin Bank dan Hong Leong Bank digunakan untuk tujuan operasi.

Hutang FELDA secara keseluruhan telah meningkat dengan mendadak sekali apabila naik dari RM0.1 bilion pada tahun 2007 kepada RM12.1 bilion pada tahun 2017.

Pinjaman besar yang dibuat FELDA ini telah menyebabkan peningkatan kos kewangan ataupun kos faedah hutang. Menurut Kertas Putih yang dibentangkan, kos faedah hutang naik dari sekitar RM3 juta dari tahun 2007 dan 2008 kepada RM260 juta dari tahun 2009 hingga tahun 2017.

FELDA rekodkan kerugian terbesar sebanyak RM4.9 bilion pada tahun 2017

FELDA mula mengalami kerugian sejak tahun 2013, dengan kerugian tertinggi direkodkan sebanyak RM4.9 bilion pada tahun 2017. 

Keadaan ini menyebabkan kedudukan kewangan FELDA bertambah parah, sekaligus memaksa FELDA untuk melakukan langkah korporat untuk memulihkan kembali ke prestasi dan kedudukan kewangan FELDA.

Persoalannya, adakah langkah korporat yang ingin dilaksanakan FELDA ini adalah langkah yang tepat?

Artikel bahagian kedua – Wajarkah FELDA Teruskan Aktiviti Perniagaan, Atau Perlu Kembali Ke Objektif Asal?

One thought on “13 Tahun Selepas Penyenaraian FGV – Bagaimana FELDA Dibelenggu Hutang Lebih RM13 Bilion?

Comments are closed.