Dato’ Ridza Abdoh, bekas Pengarah Urusan Renong Group berpendapat bahawa konglomerat gergasi tersebut runtuh akibat hutang korporat yang terlalu tinggi.
Renong merupakan pre-cursor kepada UEM Group yang dikenali sekarang, dimana sebelum ini dikuasai oleh bilionair, Tan Sri Halim Saad. Renong dilabel sebagai ‘Darling of the Government’ ketika pentadbinan Mahathir 1.0 apabila meraih pelbagai projek mega daripada Kerajaan seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Projek Jambatan Kedua Singapura.

Ridza ketika menghadiri sesi podcast bersama Ekonomi Rakyat yang dihoskan oleh Mathew Achari menjelaskan bahawa sistem yang ada pada operasi Renong amat baik sekali,
” Dulu saya di Jabatan Kerja Raya. Kerajaan ini, bila kita nak buat kerja, banyak sangat prosedur-prosedur yang kena ikut… Jadi sebab itu banyak projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan lambat, ataupun sukar dilaksanakan dengan baik.
Tapi, bila saya berpindah ke Renong Group, saya dapati bahawa Renong mempunyai satu sistem yang baik. Orang kata memberi kebebasan untuk kami melaksanakan projek. Ada juga check and balance. Tak ada hanky-panky di situ. “
Walaubagaimanapun, Ridza berkata kegagalan Renong adalah disebabkan kebanyakan projek yang dijalankan mereka dibiayai dengan hutang. Hutang-hutang menjadi masalah kepada Renong apabila Krisis Kewangan Asia melanda negara yang menyebabkan nilai matawang Ringgit merosot
” Kegagalan Renong bukan disebabkan operasi. Semua projek Renong seperti PLUS, Jambatan Kedua Singapura siap tepat pada masanya. Renong mengambil banyak hutang untuk membiayai projek.
Bila hutang tinggi, dan nilai matawang susut. Renong tetap perlu membayar hutang-hutang tersebut mengikut perjanjian. Jadi dimana Renong nak cari duit? “
Ketika di kemuncak Krisis Kewangan Asia, Renong dilaporkan mempunyai hutang sebanyak RM26 bilion, yang bersamaan dengan 7% daripada keseluruhan nilai sistem perbankan di negara ini.
Halim Saad, anak kelahiran Perlis dilabel sebagai protege kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Beliau antara individu yang mendapat ‘layanan istimewa’ ketika itu, dimana pentadbiran Mahathir cuba mewujudkan sekumpulan kapitalis-kapitalis Melayu seperti Tajuddin Ramli (MAS-CELCOM), Wan Azmi Wan Hamzah(Land & General), Amin Shah (PSC Industries) dan Rashid Hussain (RHB Bank-walaupun cenderung ke kem Anwar Ibrahim).
Pada tahun 1992, akhbar The Business Times melaporkan Halim dan isterinya, mempunyai kekayaan mencecah RM2.5 bilion melalui saham-saham di Renong.
Renong Bukan Milik UMNO
Ketika ditanya sama ada Renong dimiliki UMNO, beliau berpendapat perkara itu tidak benar kerana tiada campur tangan UMNO ketika beliau menerajui beberapa anak syarikat Renong. Ridza juga mengatakan bahawa syarikat ini melalui proses audit yang sewajarnya.
Ridza berpendapat tragedi ini bukannya salah sesiapa, tetapi sebagai pemimpin korporat, Tan Sri Halim Saad yang merupakan bos Renong pada ketika itu perlu bertanggungjawab.
Disebabkan itu, Kerajaan terpaksa menyelamatkan Renong apabila Khazanah Nasional membeli Renong Group dengan nilai RM4 bilion, meskipun syarikat itu mempunyai hutang lebih RM12 bilion.

 
                         
                         
                         
                         
                         
                         
			 
			 
			 
			