Selepas Oriental Kopi disenaraikan di Bursa Malaysia, kini giliran Empire Premium Food Berhad pula untuk mengikut jejak langkah itu.
Dengan 132 outlet di seluruh Malaysia, Empire Premium mengoperasikan rangkaian Empire Sushi dimana kebanyakan outlet mereka berada di lokasi-lokasi strategik seperti di shopping mall, pasar raya dan pusat beli belah di lapangan terbang.
Kini, Empire Sushi menjadi peneraju kepada pasaran sushi di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 2013, jenama tempatan ini berkembang daripada sebuah kios kecil kepada empayar makanan Jepun moden dengan hasil tahunan melebihi RM235 juta.
Siapa Di Sebalik Empire Sushi?
Empire Sushi diasaskan oleh Nicole Lim dan Jordan Tan, dua usahawan muda yang berkongsi visi untuk menjadikan sushi sebagai hidangan harian yang mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.
Nicole, kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengambil keputusan berani meninggalkan pengajiannya pada 2011 demi mengembangkan perniagaan ini. Bersama Jordan, yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO), mereka membuka cawangan pertama di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.
Pertumbuhan Yang Mengagumkan

Menurut prospektus syarikat, pendapatan Empire Sushi meningkat daripada RM137.1 juta pada 2023 kepada RM235.6 juta pada 2025, lonjakan hampir 72% dalam tempoh dua tahun.
Keuntungan selepas cukai pula melonjak daripada RM14.6 juta kepada RM37.9 juta. Margin keuntungan meningkat dari 10.6% kepada 16.1%, menandakan terdapat kecekapan operasi seiring dengan pertumbuhan bilangan outlet Empire Sushi.
Dalam tempoh 2023 hingga 2025, Empire Sushi terus mengekalkan kedudukan kukuh berbanding pesaing utama seperti Sushi King dan Sushi Zanmai.

Margin keuntungan mereka juga jauh mengatasi margin keuntungan pesaingnya seperti Sushi King (1.9%) dan Sushi Zanmai (8.3%).
Asas kekuatan Empire Sushi terletak pada model pelbagai format (multi-format) yang menggabungkan konsep grab-and-go pantas dengan pengalaman quick dine-in yang mudah diakses.
Apa Selepas IPO?
Menurut prospektus, langkah untuk ke Pasaran Utama Bursa Malaysia bakal menjadi pemangkin kepada fasa pertumbuhan yang seterusnya. Dana hasil penyenaraian awam awal (IPO) akan disalurkan kepada:
-
Pengembangan cawangan baharu (60.5%)
-
Naik taraf cawangan sedia ada (9.6%)
-
Modal kerja (23.9%)
-
Perbelanjaan penyenaraian (6.0%)
Langkah ini bagi memperkukuhkan kedudukan Empire Sushi sebagai peneraju makanan sushi di negara ini, selain memperluaskan rangkaian outlet mereka di seluruh negara.
Menjelang 2029, Empire Sushi menyasarkan untuk meluaskan empayar mereka dengan membuka lebih 50 cawangan baharu, dengan fokus pada bandar-bandar utama di seluruh Malaysia.
Wang IPO yang diterima juga bakal digunakan untuk penjenamaan digital, pembangunan aplikasi pesanan dan pengambilan serta inovasi bagi meningkatkan pengalmanan pengalaman.
