Pada pagi 8 Ogos 1967 di Bangkok, lima pemimpin Asia Tenggara dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani Deklarasi Bangkok yang menjadi asas kepada penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN.
Matlamatnya jelas iaitu membina kestabilan, kemakmuran dan perpaduan di rantau yang ketika itu masih bergelut dengan perang dingin, konflik sempadan dan ketidaktentuan politik. Lebih lima dekad kemudian, ASEAN boleh berbangga bahawa rantau yang suatu ketika dahulu bergolak kini menjadi antara kawasan paling stabil di dunia membangun.
Namun timbul persoalan besar, mampukah ASEAN melangkah lebih jauh dan menjadi Kesatuan Eropah versi Asia?
Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN sering disebut sebagai satu kesatuan integrasi ekonomi dan politik yang berjaya, tetapi kedua-duanya dibina atas falsafah berbeza.
EU percaya kestabilan hanya boleh dicapai melalui integrasi politik, ekonomi dan sosial yang mendalam. Ia kini memiliki Parlimen, Suruhanjaya dan mata wang tunggal, Euro (yang digunakan di Eurozone).
ASEAN pula memilih jalan yang lebih berhati-hati. Prinsip “tidak campur tangan” menjadi asas. Setiap keputusan mesti dicapai melalui konsensus diantara negara-negara ahli.
Masing-masing mempunyai bidang kuasa yang tersendiri, dan tidak terikat dengan negara-negara ahli yang lain meskipun terdapat beberapa kerjasama seperti ASEAN Free Trade Area.
Perlukah ASEAN Mengikut Jejak Langkah Kesatuan Eropah?
Dari segi ekonomi, EU telah lama membentuk “Single Market” yang membolehkan aliran bebas barangan, perkhidmatan, modal dan tenaga kerja.
Rakyat Itali umpamanya boleh bekerja di Lyon, Perancis tanpa sebarang sekatan. Barangan yang merentasi sempadan negara tidak memerlukan sebarang pemeriksaan lanjut kastam. Tarif import yang dikenakan telah diselaraskan dengan semua negara-negara ahli.
ASEAN telah berusaha untuk mengintegrasi perdagangan di rantau ini ini melalui penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015 dengan matlamat untuk mewujudkan pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal di ASEAN.
Namun, tiada perkembangan lanjut terhadap usaha ini.
Persoalannya, adakah menjadi satu keperluan untuk ASEAN mengikut jejak langkah Kesatuan Eropah? Atau perlu fokus dalam memastikan keamanan, keharmonian dan kerjasama sesama negara anggota kekal kukuh.
Pada hujung minggu lalu, di Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump menyaksikan sendiri Perjanjian Damai diantara Perdana Menteri Thailand dan Kemboja yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Peace Accord.
Konflik di sempadan Thailand dan Kemboja ini dilaporkan telah menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Persoalan sosial juga timbul. Sama ada kita benar-benar bersedia menerima kehadiran warga asing di negara sendiri. Bayangkan Kuala Lumpur dipenuhi warga Myanmar atau Timor-Leste, manakala Singapura menjadi tumpuan pekerja dari Thailand.
Idea untuk menubuhkan Parlimen ASEAN juga kelihatan mustahil dicapai memandangkan wilayah ini mempunyai negara dengan penuh rencam. Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia mendokong demokrasi. Manakala negara-negara seperti Vietnam, Myanmar dan Brunei pula lebih autokratik.
Hanya warga ASEAN sendiri yang mampu menjawab ke mana masa depan rantau ini.
