
Laporan Social Protection Insight yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) mendedahkan bahawa terdapat jurang ketidaksamaan dalam kalangan pencarum KWSP yang begitu luas. Sejumlah 0.4% penyimpan terkaya ( 28,727 orang ) di dalam KWSP mempunyai lebih banyak wang berbanding 51.9% ataupun 3.6 juta pencarum yang lain.
Dalam lampiran yang lain, KWSP turut menunjukkan bahawa 20% pencarum terkaya KWSP yang mempunyai simpanan melebihi RM81,400 mempunyai kawalan 77% ataupun RM720.8 bilion daripada keseluruhan RM936.2 bilion aset yang diuruskan oleh KWSP.
Ini bermaksud purata simpanan pencarum yang berada di dalam kelompok Tertinggi 20% adalah sebanyak RM241,880 manakala simpanan purata pencarum yang berada di dalam kategori Terbawah 80% hanyalah RM18,064.

Menurut artikel yang ditulis oleh Jarren Tam Keat Wen, salah satu faktor yang menyumbang kepada jurang luar biasa ini adalah kerana ketiadaan had bagi pencarum yang memperoleh pendapatan yang tinggi.
” Isu pokoknya terletak terhadap hakikat bahawa caruman pekerja dan majikan terhadap pekerja mereka tidak mempunyai had maksimum; seorang pekerja boleh menyumbang seberapa banyak peratus tanpa sebarang had sumbangan, termasuklah jika seseorang itu menerima gaji RM1,000,000 sebulan. Ini mengakibatkan akaun tersebut meningkat kepada puluhan bahkan ratusan juta ringgit, tersasar jauh daripada objektif KWSP sebagai tempat simpanan persaraan “
KWSP juga mendedahkan bahawa purata simpanan 12.6 juta ahlinya yang berusia 55 tahun kebawah adalah sebanyak RM59,827, jauh daripada simpanan asas persaraan yang digariskan oleh KWSP sebanyak RM240,000. Separuh daripada mereka juga mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM18,875.
Laporan tersebut juga mendapati pencarum yang mengambil kemudahan i-Lestari dan i-Sinar membelanjakan sebahagian besar pengeluaran simpanan mereka untuk tujuan sara hidup.

84.6% dan 76.8% responden yang mengeluarkan simpanan mereka melalui skim i-Lestari dan i-Sinar membelanjakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian.
Antara kegunaan signifikan lain yang direkodkan dalam kalangan responden adalah untuk tujuan pembayaran balik pinjaman, perbelanjaan pendidikan anak-anak serta bayaran sewa bilik.
Kurang daripada 0.5% pencarum menyatakan mereka menggunakan wang tersebut untuk pembelian barangan mewah.
KWSP walaubagaimanapun menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan simpanan pencarum meskipun mengakui skim i-Lestari dan i-Sinar ini membantu mereka yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan.

CEO KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut gusar dengan situasi ini. Beliau di dalam ruangan pengantar berkata
” Pelonggaran dasar simpanan persaraan di dalam usaha untuk menharungi krisis di Malaysia ini telah mempercepatkan pengeluaran simpanan yang menyebabkan 6.3 juta pencarum ataupun 42% daripada keseluruhan 15 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 di dalam akaun 1.
Dalam masa yang sama, 9.3 juta pencarum lain dijangka mempunyai kurang dari RM10,000 di dalam akaun 2. Ramai yang akan mempunyai simpanan yang kecil apabila bersara, sekaligus merisikokan pendapatan persaraan mereka di dalam jangka masa panjang. “
Inisiatif pengeluaran simpanan KWSP ini pada tahun lalu telah menarik pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Sebilangan ahli ekonomi terkemuka tanahair mengkritik langkah tersebut yang dianggap sebagai tidak wajar kerana mengorbankan wang persaraan orang ramai di hari tua.
Laporan Social Protection Insight boleh diakses di [ sini ]