KRI – Perbelanjaan Kesihatan Malaysia Antara Yang Terendah di Rantau Asia Tenggara

Share it
Perbelanjaan kesihatan di Malaysia rendah jika dibandingkan dengan negara-negara serantau

Institut Penyelidikan Khazanah ( KRI ) di dalam Kertas Perbincangan yang diterbitkan pada 15 Disember lalu menyatakan sektor kesihatan awam Malaysia berada di bawah tekanan yang tinggi. Menurut KRI, pada tahun 2019, 70.4% daripada keseluruhan kemasukan pesakit ke dalam hospital mengambil tempat di hospital Kerajaan.

87.2% daripada keseluruhan rawatan pesakit luar di Malaysia juga dirawat di hospital awam dengan selebihnya di hospital swasta. Walaupun sektor kesihatan awam mempunyai lebih ramai kakitangan, KRI menjelaskan bahawa sektor ini lebih terbeban dalam merawat pesakit.

Doktor di hospital Kerajaan lebih terbeban di dalam merawat pesakit

Penemuan ini serupa dengan kiraan Ekonomi Rakyat pada Julai lalu dimana nisbah doktor:pesakit serta katil:pesakit lebih tinggi di sektor awam. Berdasarkan data Kementerian Kesihatan yang diperoleh, seorang doktor di hospital Kerajaan merawat 1,488 pesakit manakala seorang doktor di hospital swasta pula hanya merawat 306 orang pesakit.

Malaysia juga mempunyai perbelanjaan kesihatan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN yang lain. Pada tahun 2019, perbelanjaan kesihatan di Malaysia hanyalah bersamaan dengan 4.3% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara.

Seminar Saham

Angka ini lebih kecil berbanding perbelanjaan kesihatan Kemboja ( 6.0% ), Vietnam ( 5.9% ) dan Myanmar ( 4.8% ).

Sebahagian besar perbelanjaan kesihatan di Malaysia turut dibiayai oleh duit poket sendiri ( Out of Pocket ) . Di Malaysia, hanya 45% kos kesihatan dibiayai oleh Kerajaan manakala 35% lagi ditanggung oleh pesakit sendiri.

Lebih satu pertiga perbelanjaan kesihatan dibiayai dari poket sendiri

Insurans swasta dan majikan swasta masing-masing menanggung 7.6% dan 3.3% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan di Malaysia.

 

Situasi ini bukanlah satu perkembangan yang baik. Di negara-negara maju seperti United Kingdom, sebanyak 77.8% daripada keseluruhan kos kesihatan dibiayai oleh Kerajaan dengan rakyat hanya membelanjakan 16.7% sahaja daripada wang poket mereka sendiri.

Manakala di Jerman yang merupakan pelopor insurans kesihatan sosial, sebanyak 78.1% daripada keseluruhan kos kesihatan dibiayai oleh sumber tersebut. Perbelanjaan poket sendiri yang dikeluarkan oleh warga Jerman hanyalah 12.5%.

KRI juga mendapati bahawa golongan berpendapatan rendah juga paling terkesan sekali dengan pembiayaan poket sendiri untuk tujuan kesihatan. Perbelanjaan per kapita bagi keluarga yang berada di kumpulan 20% terbawah adalah sebanyak RM941.

Kelompok isi rumah berpendapatan 20% terendah membelanjakan RM941 bagi setiap ahli isi rumah bagi tujuan kesihatan

Kos ini jauh lebih tinggi berbanding golongan pertengahan dimana kumpulan 60% pertengahan hanya membelanjakan sekitar RM314 hingga RM485 untuk tujuan kesihatan bagi setiap ahli isi rumah. Bagi kelompok isi rumah berpendapatan 20% tertinggi pula, mereka membelanjakan sebanyak RM1,077 bagi setiap ahli isi rumah didorong oleh penggunaan tinggi perkhidmatan kesihatan swasta.

Institut penyelidik ini menyarankan Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memperkukuhkan kesihatan awam dengan meningkatkan lagi pelaburan di dalam sektor ini.

KRI turut menegaskan bahawa langkah dalam mempromosikan insurans kesihatan sosial dan insurans kesihatan swasta sebagai langkah terkebelakang. Insurans kesihatan swasta misalnya membebankan bagi golongan berpendapatan rendah manakala insurans kesihatan sosial pula akan meminggirkan golongan yang bekerja di sektor tidak formal.

Selain daripada itu, penekanan terhadap saringan kesihatan juga perlu dipertingkatkan. Menurut KRI, saringan untuk kanser payudara di Malaysia hanyalah sebanyak 21%, lebih rendah berbanding kadar saringan optimal 59% yang disarankan di United Kingdom.

Malaysia perlu lebih penekanan untuk tujuan saringan dan pencegahan

Saringan awal dapat memberikan manfaat kepada pesakit kerana penyakit ataupun isu kesihatan yang dialami dapat dikesan pada peringkat awal. Situasi sedemikian membolehkan pesakit untuk mengambil langkah-langkah awal rawatan sekaligus mengurangkan risiko kesihatan.

KRI juga menyarankan penggunaan teknologi terkini di sektor kesihatan dengan mewujudkan rekod kesihatan elektronik. Langkah ini membolehkan maklumat-maklumat penting kesihatan boleh diakses secara atas talian lantas meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan di negara ini.

Kertas Perbincangan yang diterbitkan oleh Nazihah Muhamad Noor dan Ilyana Syafiqa Mukhriz Mudaris ini boleh diakses di [ sini ]