“90% Pelajar Melayu Tidak Minat Bidang STEM” – Di Manakah Silapnya?

Share it

Bidang sains dan teknologi memainkan peranan besar dalam menggerakkan kemajuan dunia yang dirasai hari ini. Inovasi yang lahir daripada disiplin ini telah menghasilkan pelbagai jenis ciptaan, daripada sekecil-kecil cip dalam telefon pintar sehinggalah kepada ciptaan yang besar seperti kapal terbang.

Namun, pencapaian yang luar biasa ini tidak berlaku dengan magik secara tiba-tiba. Sebaliknya ia terhasil melalui buah fikiran golongan cendekiawan seperti saintis, jurutera dan penyelidik yang gigih merintis jalan inovasi dalam dunia yang penuh dengan cabaran.

Dalam konteks pembangunan ekonomi, bidang sains dan teknologi merupakan pemangkin penting dalam memacu kemajuan negara. Buktinya dapat dilihat pada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun yang secara konsisten berbelanja besar dalam program-program penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Pelaburan strategik yang dilakukan oleh negara-negara ini bukan sahaja menghasilkan pencapaian luar biasa dalam bidang sains dan teknologi, malah turut merangsang pertumbuhan industri berteknologi tinggi, mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing ekonomi mereka di peringkat antarabangsa.

Dasar-dasar Sains dan Teknologi di Malaysia: Banyak Rancangan, Kurang Hasil

Di Malaysia, pelbagai dasar berkaitan sains dan teknologi telah dilancarkan sejak puluhan tahun lepas. Walau bagaimanapun, kebanyakannya gagal dilaksanakan secara menyeluruh dan mencapai objektif yang disasarkan. 

Salah satu contohnya ialah Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada awal 1990-an. Antara objektif utama dasar ini ialah untuk membentuk masyarakat saintifik yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi semata-mata, tetapi juga menjadi penyumbang kepada kemajuan saintifik dan teknologi masa depan. 

Namun begitu, memasuki tahun 2025, realiti yang dihadapi menunjukkan jurang besar yang wujud antara sasaran dasar dan pencapaian sebenar. Malaysia pada hari ini masih bergelut dengan 1,001 masalah seperti kebergantungan yang tinggi kepada tenaga buruh asing kurang mahir, kekurangan saintis dan penyelidik tempatan, isu brain drain tenaga pakar ke luar negara serta ekosistem R&D yang kurang mantap dan tidak mendapat sokongan padu oleh industri dan sektor swasta yang lebih selesa mengekalkan ‘cara lama’ dalam menjalankan perniagaan.

Pelan untuk mengembangkan bidang sains dan teknologi di Malaysia sebenarnya sudah bermula lebih awal lagi daripada itu. Pada tahun 1967, misalnya, Kerajaan telah menetapkan sasaran supaya 60% pelajar peringkat pendidikan menengah atas dan tinggi mengikuti pengajian dalam bidang sains dan teknikal. 

Namun begitu, sasaran tersebut nampaknya tidak menjadi kenyataan kerana semakin ramai pelajar di negara ini tidak mahu menyambung pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). 

Daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, 15.2% yang dilaporkan mengambil aliran Sains Tulen. Kajian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula mendapati hampir 90% pelajar Melayu tidak berminat menyambung pengajian dalam bidang STEM

Isu ini bukanlah sesuatu yang baru sahaja berlaku semalam. Malah, ianya sudah berlarutan sejak sekian lama, dengan simptom-simptom yang semakin bertambah parah dalam beberapa tahun kebelakangan ini. 

Mengapa Semakin Ramai Pelajar Tidak Berminat Menyambung Bidang STEM?

Pelbagai pihak telah tampil ke hadapan menyuarakan pendapat masing-masing bagi mengenal pasti punca kemerosotan minat pelajar di Malaysia terhadap bidang sains.

Ada yang menyalahkan sistem pendidikan di negara ini yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga membunuh motivasi dan rasa seronok untuk belajar dalam kalangan pelajar, khususnya dalam subjek sains dan matematik. Kaedah pengajaran guru-guru sains juga dikritik kerana dikatakan tidak relevan dengan peredaran zaman, di samping kurangnya aktiviti-aktiviti praktikal yang boleh membangkitkan minat pelajar dengan menunjukkan aplikasi apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian. 

Malah, ada pakar-pakar akademik yang turut menyalahkan infrastruktur makmal sains di sekolah-sekolah yang serba kekurangan sehingga menyebabkan pelajar-pelajar tidak lagi berminat untuk menyambung bidang sains.

Walaupun kesemua punca yang disebutkan di atas masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri dalam isu ini, adilkah sekiranya permasalahan ini hanya dilihat dari sudut ‘supply-side’ sistem pendidikan semata-mata? 

Realiti Pasaran Kerja STEM di Malaysia

Hal ini kerana aspek permintaan pasaran kerja juga wajar diberi perhatian. Apa yang berlaku pada hari ini ialah prospek kerjaya dalam bidang STEM di Malaysia sering kali tidak selari dengan tahap pendidikan, kemahiran dan harapan graduan.

Graduan bidang STEM sering berdepan fenomena “job mismatch“, di mana pekerjaan yang ada dalam pasaran tidak selari dengan bidang pengajian atau tahap kelayakan mereka. Dalam kebanyakan kes, graduan terpaksa bekerja dalam sektor yang tiada kaitan dengan latar belakang akademik atau lebih parah, mengambil pekerjaan di bawah tahap kelayakan mereka – sebuah situasi yang disebut sebagai “underemployment“.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), terdapat lebih dua juta pekerja yang tergolong dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ketika ini. Mereka ini adalah individu-individu yang memiliki tahap pendidikan tinggi, namun bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah.

Setiap tahun, lebih 300,000 graduan menamatkan pengajian di Malaysia. Namun, hanya sekitar 50,000 pekerjaan mahir tersedia dalam pasaran. Kekurangan pekerjaan mahir menimbulkan saingan sengit dan membawa kepada masalah “underemployment”.

Isu ini bukanlah sebuah kisah dongeng yang direka-reka. Namun, ianya turut diakui oleh Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim yang menyifatkan situasi ini sebagai “paradoks pendidikan-pekerjaan”. Menurut beliau, Malaysia melahirkan sekitar 300,000 graduan setiap tahun, dengan satu pertiga daripadanya merupakan bidang STEM. Namun, hanya 50,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji lumayan yang tersedia setiap tahun. 

Ini bermaksud secara puratanya, enam graduan terpaksa bersaing bagi setiap satu pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji setimpal!

Tidak cukup dengan isu peluang pekerjaan yang terhad, graduan STEM turut berdepan dengan gaji permulaan yang rendah. Laporan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menunjukkan hampir 35% jurutera menerima gaji permulaan di bawah RM2,000. Kenaikan gaji juga didapati tidak selari dengan kadar inflasi sekaligus menambahkan lagi tekanan kos sara hidup.

Singapura menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi kepada graduan STEM, sekali gus mendorong kepada fenomena brain drain di Malaysia.

Dalam hal ini, Malaysia mungkin boleh mencontohi Singapura yang dilihat memiliki ekosistem pasaran buruh yang lebih menghargai graduan STEM. Sebagai contoh, seorang saintis yang merupakan tulang belakang pembangunan sains dan teknologi boleh meraih sehingga RM23,000 sebulan di Singapura, berbanding kira-kira RM2,600 sebulan yang diterima seorang saintis di Malaysia.

*Bagi setiap RM1,000 yang diterima gaji pekerja di Malaysia, warga Singapura hanya perlu dibayar S$564 untuk menjalani kehidupan dengan kualiti hidup yang sama.

Melihat kepada situasi ini, maka tidak hairanlah ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan yang memilih untuk berhijrah ke negara-negara maju seperti Singapura, Australia dan United Kingdom yang menawarkan gaji yang jauh lebih baik. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ¾ daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura adalah terdiri daripada pekerja separuh mahir atau mahir. 

Malah, siswazah yang baru menamatkan pengajian juga mampu meraih gaji yang bermaruah dan setaraf dengan kelayakan mereka di negara-negara tersebut. Purata gaji permulaan yang diterima oleh siswazah Nanyang Technological University (NTU) dalam bidang kejuruteraan awam ialah sebanyak $4,012 (~RM13,142) – jauh meninggalkan Malaysia.

Dalam sesetengah kes, gaji permulaan yang ditawarkan kepada jurutera, saintis atau pegawai penyelidik sains di Malaysia adalah lebih rendah berbanding bidang lain seperti perbankan dan perundangan. Hal ini memberi isyarat negatif kepada pelajar dan ibu bapa bahawa bidang STEM tidak menawarkan pulangan yang berbaloi dari segi kewangan dan prospek kerjaya, sekali gus menghakis motivasi dan minat mereka untuk menceburi bidang ini.

Rata-rata graduan bidang STEM menerima gaji permulaan yang rendah di bawah RM2,000 sebulan, hanya sedikit lebih tinggi daripada gaji minimum.

Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2023, hampir separuh daripada graduan dalam bidang sains semulajadi, matematik dan statistik masih menerima gaji di bawah RM2,000. Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding bidang-bidang lain seperti sains sosial, kewartawanan dan maklumat (41.6%) serta perniagaan, pentadbiran dan perundangan (36.0%).

Selain isu gaji dan peluang pekerjaan yang terhad, graduan bidang sains dan teknologi turut berdepan cabaran pengiktirafan dalam organisasi. Ada sesetengah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan sains dan teknologi, seperti dalam sektor telekomunikasi dan tenaga – tetapi diketuai oleh CEO yang berkelulusan dalam bidang bukan STEM seperti perakaunan atau pengurusan perniagaan.

Isu ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Malah, syarikat seperti Boeing juga pernah beberapa kali melantik CEO yang bukan terdiri daripada latar belakang jurutera. Tindakan ini menerima kritikan hebat daripada ramai golongan profesional yang berpandangan bahawa pemimpin tertinggi dalam syarikat seharusnya memiliki pengalaman luas dan pemahaman teknikal yang kukuh dalam bidang tersebut.

Namun, kadangkala perkara ini tidak berlaku kerana organsisasi lebih mementingkan soal keuntungan dan kecekapan pengurusan kewangan berbanding kepakaran teknikal, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Perkara ini juga berlaku kerana di dalam dunia korporat moden, kejayaan sering diukur berdasarkan prestasi kewangan jangka pendek seperti pertumbuhan pendapatan dan pulangan kepada pemegang saham yang lazimnya boleh dimanupulasi dengan baik oleh individu-individu berlatar belakangkan perniagaan atau kewangan.

Walau bagaimanapun, pendekatan ini boleh mendatangkan risiko jangka panjang, terutama bagi syarikat yang bergantung besar kepada kecekapan teknikal dan inovasi. CEO yang berlatar belakang perniagaan mungkin lebih cenderung membuat keputusan dengan mentaliti “untung vs rugi” semata-mata, tanpa memahami implikasinya dengan lebih mendalam membabitkan aspek teknikal produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Sebagai contoh, demi menjimatkan kos dan memaksimumkan keuntungan, mereka mungkin membuang ciri-ciri keselamatan atau inovasi terkini yang ada pada sesuatu produk. Akibatnya, kualiti produk mungkin terjejas, keselamatan pengguna diabaikan serta daya saing syarikat menjadi semakin lemah.

Risiko ini mungkin dapat dikurangkan sekiranya organisasi, khususnya yang terlibat dalam perniagaan berasaskan teknologi, memberi pengiktirafan sewajarnya dengan melantik CEO daripada latar belakang sains yang lebih memahami aspek-aspek teknikal tersebut.

Dari Dasar ke Realiti

Hakikatnya, Malaysia telah lama menyedari kepentingan bidang sains dan teknologi sebagai pemacu utama kemajuan negara. Namun begitu, usaha ke arah membina masyarakat saintifik masih lagi jauh daripada sasaran. 

Kegagalan untuk melaksanakan dasar-dasar sains dan teknologi secara berkesan, kelemahan dalam sistem pendidikan serta ketiadaan ekosistem pekerjaan yang menghargai graduan STEM – kesemuanya ini menjadi faktor yang membawa kepada kemerosotan minat pelajar di Malaysia terhadap bidang sains. 

Malaysia tidak boleh lagi menutup sebelah mata dengan hanya melihat isu ini dari sudut ‘supply-side’ atau menyalahkan satu pihak semata-mata. Sebaliknya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan penjajaran keperluan pendidikan dan industri, pelaburan strategik dalam R&D, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengiktirafan yang lebih baik terhadap kepakaran saintifik dalam organisasi perlu digerakkan dengan lebih serius. 

Hanya dengan menilai semula keseluruhan rantaian nilai, dari sistem pendidikan hingga ke pasaran kerja, barulah impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan sains dan teknologi dapat direalisasikan, dan tidak kekal sebagai retorik dalam dokumen dasar semata-mata.