Jangan Benarkan Rakyat Keluarkan Wang Persaraan Mereka, Kerajaan Perlu Tolong Rakyat

Share it

Kebelakangan ini, terdapat desakan dari pelbagai pihak untuk kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) untuk mengeluarkan simpanan mereka bagi menghadapi tekanan kewangan akibat krisis Covid-19 ini. Cadangan yang diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat respons positif dari ramai pihak.

Beliau mencadangkan agar dibenarkan untuk pengeluaran secara sekali sebanyak RM10,000 dari akaun satu KWSP pencarum yang akan melibatkan aliran wang keluar dari KWSP sekitar RM45.7 bilion.

Meskipun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi reaksi negatif terhadap cadangan ini. Beliau menyatakan bahawa agak sukar untuk mempertimbangkan cadangan ini kerana akan menyebabkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan.

Laporan media turut menunjukkan reaksi yang serupa dari ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri yang menyatakan mengeluarkan wang dari KWSP tidak sepatutnya menjadi satu-satunya cara untuk mendapatkan tunai.

KWSP sebelum ini telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sehingga RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi meringankan tekanan hidup mereka. Di antara bulan April sehingga Ogos, pencarum KWSP telah mengeluarkan RM7.48 bilion dari akaun dua mereka melalui skim i-Lestari.

Keengganan KWSP untuk mempertimbangkan perkara ini ada asasnya. Tinjauan Perlindungan Sosial yang dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan 70% pencarum aktif pada usia 54 tahun hanya mempunyai simpanan kurang dari RM50,000. Menurut KWSP, dua per tiga pesara terpaksa berbelanja kurang dari RM950 sebulan sehingga usia 75 tahun berdasarkan jumlah simpanan mereka.

Laporan ini juga menunjukkan 13.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri dan tidak berada di dalam tenaga buruh tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial seperti simpanan KWSP. Ini menunjukkan cadangan mengeluarkan simpanan KWSP tidak akan membantu semua pihak.

Membenarkan pengeluaran wang simpanan hari tua pencarum KWSP tidak sepatutnya menjadi satu-satunya cara buat kerajaan untuk membantu rakyat. Kerajaan sepatutnya bertindak menggunakan dasar-dasar fiskal dan rizab yang ada bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

Pada detik-detik yang sukar seperti ini, segala pilihan yang ada perlu diteliti tanpa mengorbankan masa depan rakyat. Rizab Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM437 bilion boleh dicairkan bagi membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi yang paling dahsyat ini.

Untuk memberikan satu lagi pusingaan Bantuan Prihatin Nasional, ia hanya memerlukan sekitar 2.3% atau RM10 bilion dari keseluruhan rizab yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia.

Ya. Cadangan ini sememangnya tidak ortodoks. Namun kita perlu mengakui hakikat bahawa kita berada di dalam keadaan yang begitu terdesak.

Nilai ini bukanlah suatu jumlah yang besar buat Bank Negara Malaysia. Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia mencatatkan keuntungan RM8.9 bilion pada tahun lalu menurut Laporan Tahunan mereka.

Situasi Bank Negara memberikan dividen kepada Kerajaan Malaysia bukanlah suatu keadaan yang asing atau tidak pernah berlaku. Pada tahun 2018 dan 2019, Bank Negara Malaysia telah memberikan RM2.5 bilion dividen tahunan kepada kerajaan. Dalam kata lain, cadangan untuk menggunakan rizab atau hasil keuntungan Bank Negara bukanlah satu langkah yang mustahil untuk dilakukan.

Cadangan Kedua

Cukaikan Bilionair Malaysia

Kerajaan boleh menggunakan dasar fiskal bagi memungut hasil cukai terutamanya dalam kalangan golongan yang tidak terkesan dengan pandemik ini. Pada tahun lalu, bilionair Malaysia mempunyai kekayaan RM335 bilion dimana ia bersamaan dengan 23% saiz ekonomi Malaysia.

Mengenakan cukai kekayaan 10% seperti yang dicadangkan oleh pakar ekonomi Perancis, Emmanuel Saez dan Gabriel Zucman, dapat memberikan hasil sebanyak RM33.5 bilion kepada kantung kerajaan. Sekali lagi, wang-wang ini boleh digunakan untuk disalurkan kepada rakyat ataupun menambah peruntukan sebanyak dua kali ganda daripada peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun lepas.

Rakyat serta pakar ekonomi tidak perlu risau dengan ancaman bahawa bilionair ini akan memindahkan operasi perniagaan mereka ke luar negara jika cukai kekayaan dilaksanakan. Hakikatnya, 94% kekayaan bilionair Malaysia ini datang daripada sektor rent-seeking / projek-projek atau lesen-lesen perniagaan yang telah ‘dianugerahkan’ oleh kerajaan yang mana agak mustahil bagi mereka memindahkan operasi  perniagaan mereka.

Bagaimanakah mereka ingin memindahkan ladang-ladang kelapa sawit, kasino, stesen janakuasa ataupun pelabuhan jika hak ekslusif untuk mereka menjalankan perniagaan tersebut hanya boleh diperoleh dari kerajaan Malaysia?

Cadangan-cadangan ini agak radikal. Namun bukan bermaksud ia tidak boleh dilaksanakan. Pepatah Mat Salleh ada berkata, ” unprecedented times require unprecedented measures “. Situasi genting seperti inilah waktu untuk kita menggunakan segala simpanan yang kita kumpul selama ini.

Rakyat tidak seharusnya melihat bahawa mengeluarkan wang simpanan KWSP sebagai satu-satunya cara untuk membantu mereka di saat ini. Terdapat pelbagai cara lagi yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.

Tanggungjawab membantu rakyat kini terletak di tangan kerajaan. Jika tidak, apa gunanya ada kerajaan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *