Di Taiwan, istilah Generasi Strawberry muncul pada 90-an untuk merujuk mereka yang lahir pada tahun 80-an, generasi yang dianggap rapuh, manja dan sukar menanggung tekanan. Menariknya, label ini kini kembali digunakan, bukan lagi terhadap Millennial tetapi terhadap Gen-Z iaitu mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012.
Golongan ini yang sudah memasuki alam pekerjaan (dan ada kalanya mempunyai nombor IC seperti nombor telefon) sering dituduh manja, terlalu menekankan work life balance dan kurang tekun berbanding generasi terdahulu.
Di media sosial seperti Threads, wujud juga dakwaan bahawa Gen Z tidak selesa dengan budaya hierarki di pejabat.
Kitaran Generasi?
Fenomena label melabel ini sebenarnya bukan baharu. Setiap generasi cenderung melihat generasi selepasnya sebagai lembut dan tidak resilience. Boomer suatu masa dahulu pernah menuduh Millennial pemalas dan kurang setia pada pekerjaan.
Faktor nostalgia memainkan peranan besar kerana setiap generasi percaya pengalaman hidup mereka lebih sukar berbanding generasi yang lahir kemudian.
Perbandingan mudah ialah komunikasi. Generasi sebelumnya membesar dengan telefon awam sebelum telefon bimbit menjadi arus perdana pada 1990-an. Komunikasi memerlukan disiplin yang tinggi. Temujanji yang telah dirancang perlu dipenuhi, kerana untuk menunda temujanji sesuatu yang renyah.
Kini, semua orang boleh berkomunikasi tanpa sebarang sempadan. Membatalkan temujanji boleh dibuat di saat-saat akhir.
Perubahan teknologi ini mewujudkan persepsi bahawa segala usaha terdahulu perlu ditemani dengan usaha dan disiplin.
Tidak mustahil, suatu hari nanti Gen-Z pula akan melabel Gen Alpha dengan kritikan yang sama.
Apa Sebenarnya Yang Gen-Z Mahukan?
Data menunjukkan Gen-Z lebih menekankan keseimbangan kerja dan kehidupan. Kajian Randstad pada tahun 2022 mendapati 54 peratus Gen-Z mahukan pilihan bekerja dari rumah, jauh lebih tinggi berbanding Millennial dan Gen-X yang masing-masing berada pada 32 peratus.
Fleksibiliti waktu kerja turut menjadi keutamaan. Sebanyak 46 peratus Gen Z mahukan aturan kerja fleksibel, berbanding 44 peratus Millennial dan 43 peratus Gen X.
Angka-angka ini menunjukkan perbezaan pendekatan dan nilai kerja antara generasi.
Gen X dan Millennial Perlu Berubah
Budaya kerja sebenarnya yang menjadi medan pertembungan generasi. Mesyuarat fizikal, sebagai contoh, dianggap satu kemestian oleh generasi terdahulu. Namun bagi mereka yang membesar dengan internet, mesyuarat secara atas talian adalah normal dan dianggap lebih berkesan.
Dalam soal autoriti pula, generasi lama cenderung menerima struktur hierarki yang telah diwujudkan. Gen Z sebaliknya dikatakan mahukan ruang untuk bersuara walaupun berada di kedudukan junior. Sikap ini boleh dianggap tidak sopan oleh sesetengah majikan lama tetapi bagi Gen-Z ia sekadar cara untuk berkomunikasi.
Perubahan ini sukar diterima oleh mereka yang telah bekerja dua atau tiga dekad.
Contoh mudah, sebahagian bos-bos masih mahu menandatangani dokumen secara fizikal walaupun sudah ada ciri-ciri e-signature. Keengganan mereka untuk menyesuaikan diri menjadikan proses kerja perlahan dan kadang kala menyebabkan golongan ini dilabel old school.
Permulaan Kehidupan Yang Berbeza
Perbezaan generasi juga berpunca daripada titik mula yang tidak sama. Bagi Boomer, mencari kerja sering memerlukan penghijrahan dari Pantai Timur atau utara tanah air ke Kuala Lumpur. Persekitaran toksik di pejabat terpaksa ditadah, kerana risiko kewangan untuk berhenti sangat besar.
Generasi baru pula membesar di bandar bandar, dengan safety net yang lebih stabil. Jika suasana kerja toksik, mereka lebih berani untuk meletak jawatan dan mencari pilihan baharu. Risiko lebih rendah kerana mereka boleh kembali tinggal bersama keluarga.
Pandemik Covid 19 turut menyebabkan berlaku proses harian yang baru. Fleksibiliti untuk bekerja dari rumah telah dianggap mod default, kerana itulah yang dilalui mereka ketika menuntut di universiti-universiti.
Menilai sama ada Gen-Z benar-benar Generasi Strawberry menuntut kita memahami bagaimana pengalaman hidup mereka dibentuk oleh dunia yang berbeza. Adakah ia hanya perangai indvidu atau apa yang sering disalah anggap sebagai kemanjaan mungkin sebenarnya hanyalah cara kehidupan yang mereka mahukan.

