Tatkala kerajaan menjamin bekalan minyak mencukupi sehingga Mei ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus bertindak licik apabila menjalankan sekatan ke atas semua kapal yang cuba masuk dan keluar dari Selat Hormuz pada 12 April lalu.
Langkah ini dibuat setelah rundingan di Pakistan gagal mencapai kata sepakat diantara AS dan Iran.
Malaysia mengakhiri minggu lalu dengan sebuah kapal tangki minyak berjaya melalui Selat Hormuz manakala enam lagi sedang menunggu giliran.
Tindakan Trump itu cukup membimbangkan sehingga pakar memberi peringatan terhadap kerajaan agar mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) bagi mendepani krisis tenaga global jika gangguan bekalan minyak mentah berterusan terganggu.
Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Dr. Nungsari Ahmad Radhi ketika hadir di KRI Open Table Podcast tampil mendedahkan jika krisis ini berterusan, kesan ketara akan turut dirasai oleh rakyat Malaysia susulan negara turut bergantung kepada aliran keluar bahan mentah yang melalui laluan tersebut.
“Kesan pertama daripada peperangan ini ialah aliran keluar minyak mentah, gas serta produk lain dari Teluk Parsi melalui Selat Hormuz terhenti. Kebanyakan ekonomi di sebelah timur Teluk Parsi, dari Pakistan, India hingga China bergantung kepada aliran minyak dan gas dari kawasan tersebut. Oleh itu, apabila bekalan minyak dan gas terganggu, kesannya lebih dirasai oleh negara-negara di sebelah timur ”
Selain itu, beliau turut menekankan kesan terhadap peningkatan harga minyak, gas serta bahan lain yang berkaitan dengannya.
“Harga arang batu juga meningkat kerana ia akan menjadi sumber tenaga alternatif. Jadi, kesan yang paling ketara kepada kerajaan ialah keperluan untuk menilai semula keadaan ekonomi negara terlebih dahulu,” tegasnya.
Tambahnya sebagai contoh, jika tiada bekalan bahan mentah seperti minyak mentah, ini boleh menyebabkan kilang penapisan (refinery) dalam negara dikhuatiri tidak mempunyai input untuk diproses.
Jelasnya, kilang-kilang penapisan itu merupakan sumber negara menghasilkan produk seperti RON95, diesel dan bahan api jet melalui pemprosesan minyak mentah.
Justeru ujarnya, tanpa bekalan tersebut, pengeluaran semua produk ini akan terjejas dan itu akan memberi kesan yang ketara kepada kehidupan orang ramai.
“Kita lihat dekat Thailand. Kereta tidak boleh bergerak di atas jalan raya sebab tiada minyak. Bot-bot yang tangkap ikan tidak keluar akibat tiada diesel. Itu realiti ”
Di Malaysia juga, beberapa rangkaian stesen minyak terutamanya bagi jenama-jenama stesen yang tidak mempunyai kilang penapisan di Malaysia, dilaporkan mengalami masalah bekalan minyak.
Meskipun kerajaan memberikan komitmen terhadap usaha memastikan bekalan minyak kekal mencukupi, namun situasi selepas Mei masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) setakat ini mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya terjamin sehingga akhir Jun ini, lanjutan daripada unjuran sehingga akhir Mei yang diumumkan sebelum ini.

Peralihan Tenaga Keutamaan Strategik
Sebelum ini, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keutamaan strategik negara yang perlu diperkukuh secara menyeluruh.
Tegas Fadillah, Malaysia wajib terus memperkukuh kedudukan dengan membangunkan sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi memastikan daya tahan jangka panjang.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI, Yin Shao Long yang turut ditemubual di KRI Open Table Podcast berpendapat pembangunan sumber tenaga domestik dan peralihan tenaga bukan satu jalan yang mudah serta dibimbangi rumit.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dikeluarkan pada tahun 2023 adalah pelan sehingga tahun 2050 memfokuskan kepada dua perkara, satu untuk keterjaminan tenaga dan yang kedua perubahan iklim. Tetapi, pelan itu datang dengan satu harga yang amat tinggi, memandangkan kos (jumlah pelaburan diperlukan) peralihan tenaga dianggarkan mencecah sekitar RM1.3 trilion,”
Yin turut menekankan pelan kewangan yang jelas berkaitan cara kos peralihan tenaga itu dibiayai susulan tiada penjelasan terperinci berhubung sumber dana atau mekanisme pembiayaan untuk menampung kos sebanyak RM1.3 trilion tersebut.
“Persoalannya, bagaimana kita hendak membayar semua ini dan siapa yang akan menanggung kosnya? Jika fokus diberikan kepada penjanaan elektrik, mungkin masih ada potensi keuntungan. Namun, bagi sektor pengangkutan awam, pulangannya tidak begitu tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, potensi TBB dalam negara didakwa masih terhad, dan dalam senario terbaik sekalipun, negara mungkin masih perlu mengimport sebahagian bekalan tenaga hijau tersebut. Malah katanya, perjanjian berkaitan import TBB telah pun dimeterai pada tahun lalu.
Tonton rakaman penuh KRI Open Table Podcast di saluran Youtube Khazanah Research Institute.
