Kekurangan Bekalan Baja Ancam Keselamatan Makanan?

Share it

Ketegangan di Asia Barat terutamanya penutupan Selat Hormuz berikutan konflik antara Iran dan Israel-Amerika Syarikat telah mengubah pasaran baja. Sebelum ini, pasaran ini mengalami ketidakstabilan harga, namun kini ia menuju kearah keruntuhan bekalan struktural. 

Penutupan Selat Hormuz 

Perbandingan Import Baja Nitrogen ASEAN Dari Teluk Parsi (2024)

Selat Hormuz merupakan nadi utama yang menyalurkan makanan kepada tanah pertanian dunia.

Perairan ini bukan sekadar laluan utama minyak global, malah turut menjadi nadi penting bagi perdagangan bahan mentah baja berasaskan nitrogen, dengan sebahagian besar eksport dunia melalui titik genting maritim ini.

Sejak laluan maritim terhenti pada Mac lepas, aliran urea yang dianggarkan sekitar 18.5 juta tan setahun tersekat, sekaligus mengakibatkan rantaian bekalan global diselubungi ketidaktentuan.

Dalam masa yang sama, dunia menyaksikan harga urea melonjak 46% dalam masa satu bulan sahaja.

Selain itu, syarikat gergasi seperti QAFCO di Qatar terpaksa menghentikan operasinya apabila fasiliti mereka diserang Iran.

Manakala ketiadaan bekalan dari Iran pula meninggalkan kesan besar yang gagal dipenuhi oleh mana-mana negara lain.

Ramai yang tidak sedar bahawa baja nitrogen sebenarnya adalah produk yang dihasilkan daripada sumber gas asli.

Apabila fasiliti tenaga Iran diserang pada Februari 2026, pasaran gas asli dunia mengalami kejutan luar biasa dengan kenaikan harga sehingga 45% dalam tempoh 48 jam.

Di pasaran global, harga urea mencecah AS$780 setan, satu angka yang membimbangkan buat pembeli-pembeli baja. Ini sekali gus memberikan impak sangat besar terhadap para petani.

Keadaan ini bukan sekadar turun naik harga biasa tetapi merupakan sebuah krisis tenaga, seterusnya akan bertukar menjadi krisis input pertanian yang sangat membimbangkan.

Peratusan Penerimaan Sulfur, DAP/MAP Mengikut Rantau

Impak Terhadap Malaysia & Asia Tenggara

Sebagai negara yang masih bergantung kepada import baja bernilai RM6.3 bilion setahun, Malaysia kelihatan tidak mempunyai banyak ruang untuk bernafas.

Data perdagangan menunjukkan volum import negara mula merosot sejak awal tahun 2026.

Ini adalah amaran awal yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak.

Sektor kelapa sawit, yang mana eksportnya menyumbang lebih RM100 bilion setahun kini berdepan risiko kejatuhan hasil sehingga 20% akibat kekurangan baja yang kritikal. Situasi ini jika berlarutan boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit buat syarikat-syarikat perladangan.

Tanpa tindakan segera, pendapatan eksport komoditi utama negara akan terhakis.

Di peringkat serantau, negara pertanian terbesar seperti India dan Pakistan juga sedang bergelut dengan kebimbangan yang serupa.

Dalam pada itu, laporan unit Fitch Ratings mendedahkan kenaikan harga baja akibat konflik berpanjangan boleh meningkatkan risiko penurunan pengeluaran bijirin bagi musim tanaman 2026/27.

Dengan musim penanaman utama semakin hampir, harga tinggi berterusan bagi baja berasaskan nitrogen boleh mengakibatkan petani mengurangkan kadar penggunaan, sekali gus menjejaskan hasil tuaian di masa hadapan.

Ini meletakkan jutaan petani dan pekebun kecil dalam risiko kehilangan punca pendapatan.

Ancaman Kebuluran Global: The Hunger Cliff

Krisis baja ini akhirnya akan menjadi satu titik hitam iaitu krisis makanan sejagat.

Bank Dunia memberi amaran bahawa 45 juta lagi nyawa bakal terjerumus ke kancah kebuluran menjelang pertengahan tahun ini.

Apabila indeks harga bijirin naik mendadak, ia adalah isyarat jelas bahawa sekuriti makanan kita berada dalam keadaan yang begitu rapuh.

Jika Malaysia tidak mengambil sebarang inisiatif yang drastik, keadaan ini sebenarnya mungkin akan mengheret negara ke kancah krisis.

Namun, Jabatan Pertanian sebelum ini mendakwa bekalan baja di negara ini masih mencukupi dan berada pada tahap terkawal.

Menurut mereka, ketidaktentuan di Asia Barat berpotensi meningkatkan tekanan terhadap kos pengeluaran global, selain turut dipengaruhi oleh turun naik kadar pertukaran mata wang dan kos bahan api pengangkutan.

Bagi pasaran tempatan, sebarang kenaikan dijangka kekal sederhana dan terkawal, bergantung kepada kestabilan pasaran tenaga dunia.

Tambah Jabatan Pertanian lagi, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk turut menggalakkan penggunaan baja organik dan biofertiliser sebagai pelengkap bagi mengurangkan kebergantungan serta tekanan permintaan terhadap baja kimia import.